Terkini
Kurangkan subsidi T20, penjimatan besar negara tingkat ekonomi
Pengurangan subsidi kepada golongan kaya (T20) adalah satu penjimatan yang besar kepada negara, sekali gus membantu meningkatkan semula ekonomi.
- Ia dapat wujudkan pemberian subsidi bersasar kepada golongan yang layak.
- “Ketika ini kerajaan berbelanja besar untuk subsidi dapat dinikmati semua golongan termasuk bukan rakyat Malaysia, seperti rakyat Thailand dan Singapura terutama subsidi petrol dan diesel. Ini satu pembaziran sejak sekian lama dan tidak sepatutnya berlaku.”- Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
- Pengurangan subsidi golongan T20 sepatutnya dilaksanakan sejak sekian lama kerana ketika ini, mereka tidak sepatutnya mendapat subsidi turut menikmatinya. – Presiden dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan
KUALA LUMPUR: Pengurangan subsidi kepada golongan kaya (T20) adalah satu penjimatan yang besar kepada negara, sekali gus membantu meningkatkan semula ekonomi.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin, berkata ia juga dapat mewujudkan pemberian subsidi bersasar kepada golongan yang layak.
Katanya, selain golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), golongan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40) juga semakin terkesan dengan keadaan ekonomi ketika ini.
“Ketika ini kerajaan berbelanja besar untuk subsidi yang dapat dinikmati oleh semua golongan termasuk bukan rakyat Malaysia, seperti rakyat Thailand dan Singapura terutama subsidi petrol dan diesel.
“Ini adalah satu pembaziran sejak sekian lama dan tidak sepatutnya berlaku.
“Oleh itu FOMCA berharap supaya subsidi bersasar selepas ini dapat dilaksanakan dengan sewajarnya,” katanya kepada BH, hari ini.
Media melaporkan kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau cukai kepenggunaan lain dalam Belanjawan 2023 bagi menjana pendapatan negara dan menyelesaikan hutang kerajaan.
Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan akan memperkenalkan langkah lain dalam usaha mengurangkan perbelanjaan dan menyelesaikan hutang negara yang kini mencecah RM1.5 trilion, mewakili 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Antara langkah itu katanya, termasuklah pengurangan subsidi bagi T20 seperti dilakukan dalam isu subsidi elektrik.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, menyambut baik hasrat kerajaan yang tidak bercadang untuk memperkenalkan semula GST atau cukai kepenggunaan lain.
Katanya, ini kerana ketika ini rakyat sudah terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Jadi jika ada cukai kepenggunaan yang kerajaan berusaha mahu perkenalkan, sudah pasti akan terus membebankan terutama kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Berkenaan pengurangan subsidi bagi golongan T20 pula katanya, ia sepatutnya dilaksanakan sejak sekian lama kerana ketika ini, mereka yang tidak sepatutnya mendapat subsidi turut menikmatinya.
Katanya, subsidi bersasar perlu dilaksanakan segera supaya hanya mereka yang layak dapat menerima bantuan yang sewajarnya.
“Mungkin selepas ini boleh laksanakan cara siapa yang layak dan perlukan subsidi seperti subsidi petrol dan diesel perlu membuat permohonan.
“Dengan cara ini, hanya mereka yang layak sahaja yang akan peroleh subsidi dan bukan lagi rakyat negara lain yang sering mengambil kesempatan ketika ini,” katanya.
Sumber : Berita Harian