Antarabangsa
Kumpulan advokasi Uighur gesa PBB bertindak ke atas China
Kumpulan advokasi Uighur, semalam menggesa badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan terhadap China atas pencabulannya terhadap etnik minoriti Islam itu, selepas pakar PBB menyemak semula rekod hak asasi oleh Beijing minggu ini.

- Pengarah Eksekutif Projek Hak Asasi Manusia Uighur, Omer Kanat, dalam satu kenyataan bersama Kongres Uighur Sedunia, berkata sekumpulan lagi pakar bebas PBB menimbulkan kebimbangan serius mengenai kekejaman berterusan yang dihadapi Uighur.
- “Sekali lagi kerajaan China terus menafikan dan mengalih perhatian daripada bukti fakta yang dikemukakan.
- “Sudah lama seharusnya sistem PBB bertindak balas dengan cara yang lebih komprehensif,” katanya.
- “Disebabkan tiada prospek untuk kemajuan yang konkrit, EU harus menangguhkan dialog dan menggandakan usahanya untuk PBB bertindak ke atas rekod buruk China dan ke arah kebertanggungjawaban bagi jenayah antarabangsa yang dilakukan di Xinjiang,” kata pengarah EU di Human Rights Watch, Philippe Dam.
GENEVA: Kumpulan advokasi Uighur, semalam menggesa badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan terhadap China atas pencabulannya terhadap etnik minoriti Islam itu, selepas pakar PBB menyemak semula rekod hak asasi oleh Beijing minggu ini.
Ketika kajian semula selama dua hari oleh Jawatankuasa Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (CESCR) PBB di Geneva, peserta bertanya kepada delegasi China mengenai layanan negara itu terhadap minoriti, termasuk Uighur di wilayah barat Xinjiang dan langkah diambil antara lain untuk menamatkan buruh paksa dan penahanan sewenang-wenangnya.
Beijing sekeras-kerasnya menafikan melakukan perbuatan itu.
Pengarah Eksekutif Projek Hak Asasi Manusia Uighur, Omer Kanat, dalam satu kenyataan bersama Kongres Uighur Sedunia, berkata sekumpulan lagi pakar bebas PBB menimbulkan kebimbangan serius mengenai kekejaman berterusan yang dihadapi Uighur.
“Sekali lagi kerajaan China terus menafikan dan mengalih perhatian daripada bukti fakta yang dikemukakan.
“Sudah lama seharusnya sistem PBB bertindak balas dengan cara yang lebih komprehensif,” katanya.
Misi tetap China ke Pejabat PBB di Geneva dan Jawatankuasa Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya PBB tidak segera memberi maklum balas ketika diminta mengulas isu berkenaan yang dikemukakan.
Laporan yang dikeluarkan pada Ogos lalu oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB ketika itu, Michelle Bachelet, beberapa jam sebelum menamatkan tugasnya, mendapati penahanan China terhadap Uighur dan orang Islam lain mungkin adalah jenayah terhadap kemanusiaan.
Tawaran yang diketuai Barat untuk mengadakan perbahasan mengenai layanan China terhadap penduduk Islam di Majlis Hak Asasi Manusia PBB, bagaimanapun, gagal diluluskan.
Human Rights Watch, yang pada Isnin lalu, menggesa PBB membuat susulan terhadap laporan itu, menyertai beberapa kumpulan lain, semalam bagi menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk menggugurkan apa yang disifatkan sebagai rundingan hak yang ‘tidak bermakna’ dengan Beijing.
“Disebabkan tiada prospek untuk kemajuan yang konkrit, EU harus menangguhkan dialog dan menggandakan usahanya untuk PBB bertindak ke atas rekod buruk China dan ke arah kebertanggungjawaban bagi jenayah antarabangsa yang dilakukan di Xinjiang,” kata pengarah EU di Human Rights Watch, Philippe Dam.
Sumber: Berita Harian
