Terkini
KPM berjaya bawa 6,832 murid cicir kembali ke sekolah
Seramai 5,121 orang murid sekolah rendah dan 1,711 orang murid sekolah menengah berjaya dikembalikan ke sekolah pada 2022, menerusi program outreach murid cicir.
- Seramai 5,121 orang murid sekolah rendah dan 1,711 orang murid sekolah menengah berjaya dikembalikan ke sekolah pada 2022, menerusi program outreach murid cicir.
- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, program itu dijalankan menerusi semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama komuniti setempat.
- Program itu bertujuan beri intervensi berfokus bagi membantu murid cicir untuk kembali bersekolah.
- Terdapat pelbagai lagi inisiatif dilakukan KPM untuk tangani permasalahan keciciran pelajar akibat pandemik COVID-19.
KUALA LUMPUR – Seramai 5,121 orang murid sekolah rendah dan 1,711 orang murid sekolah menengah berjaya dikembalikan ke sekolah pada 2022, menerusi program outreach murid cicir.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, program itu dijalankan menerusi semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama komuniti setempat.
Katanya, program itu bertujuan memberi intervensi berfokus bagi membantu murid cicir untuk kembali bersekolah.
“KPM menyedari pandemik COVID-19 yang bermula pada tahun 2020 telah memberi kesan kepada keciciran murid.
“KPM amat memandang serius kepada isu keciciran dan pelbagai langkah diambil bagi mengurangkan kadar keciciran murid.
“Pihak KPM telah menyediakan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC) dan dikuatkuasakan ke semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit.
Sabri meminta Menteri Pendidikan menyatakan inisiatif khas Kementerian itu dalam menangani isu keciciran pelajar akibat pandemik COVID-19.
Mengulas berkenaan GPMBC, KPM berkata langkah itu bertujuan membantu pihak sekolah mengenal pasti murid berisiko cicir serta mengurus murid berisiko cicir secara berkesan dan sistematik.
Katanya, GPMBC juga bertujuan memastikan pemantauan murid khususnya murid berisiko cicir dapat dilaksanakan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), PPD dan sekolah secara berterusan.
KPM turut menyediakan modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) sebagai panduan kepada sekolah untuk melaksanakan intervensi dalam menangani isu berkenaan.
“Program Ziarah Prihatin turut dilaksanakan dengan mengadakan lawatan ke rumah murid bagi mengenal pasti dan mengesan punca keciciran murid serta memastikan masalah dihadapi murid dapat ditangani.
“Melalui SUDI dan program ziarah, aktiviti sokongan yang sistematik dapat dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan murid kekal bersekolah sehingga tamat persekolahan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya KPM juga menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk murid seperti Biasiswa Kecil Persekutuan, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dan Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform (BPS).
KPM menyatakan keyakinan bahawa inisiatif dilaksanakan itu akan membolehkan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara berkesan, seterusnya dapat menangani keciciran murid sekaligus memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan negara. – The Merdeka Times