Connect with us

Kolumnis

Khitan wanita: Fahami asas pensyariatan hukum sebelum pengkelasan FGM

Saya ingin memberi maklumbalas kepada ulasan Profesor Dr Dayang Anita Abdul Aziz berhubung dengan kajian beliau bertajuk ‘Kajian Rintis Knowledge, Attitude And Practice (KAP) Pengetahuan, Sikap dan Amalan Ibu Bapa dan Golongan Profesional Terhadap Impak Kesihatan FGM’ yang dijadikan asas beliau menggesa pengharaman khitan Wanita bagi semua kategori Female Genital Mutilation (FGM).

Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Published

on

Foto: Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Saya ingin memberi maklumbalas kepada ulasan Profesor Dr Dayang Anita Abdul Aziz berhubung dengan kajian beliau bertajuk ‘Kajian Rintis Knowledge, Attitude And Practice (KAP) Pengetahuan, Sikap dan Amalan Ibu Bapa dan Golongan Profesional Terhadap Impak Kesihatan FGM’ yang dijadikan asas beliau menggesa pengharaman khitan Wanita bagi semua kategori Female Genital Mutilation (FGM).

Kajian tersebut pernah dibentangkan kepada Persatuan Ulama Malaysia dengan kehadiran beberapa pakar-pakar perubatan lain termasuk saya sendiri.

Saya menilai dari sudut metodologi kajian yang dibentangkan. Beberapa teguran telah diberi kerana kajian tersebut mempunyai beberapa kelemahan dari sudut metodologi, seterusnya menatijahkan dapatan kajian yang tidak tepat.

DEFINISI ILMUAN AGAMA YANG TIDAK JELAS DAN MENGELIRUKAN

Profesor Dr Dayang Anita melaporkan  bahawa sebanyak 57.5% ilmuan agama dalam kajian beliau mengatakan khitan wanita tidak wajib dilakukan.

Pertamanya, pengumpulan data kajian itu dilakukan secara kajiselidik menggunakan aplikasi GoogleForm . Tiga capaian atau link disebarluaskan melalui aplikasi media sosial seperti FB dan WhatsApp mengikut 3 kategori.

Advertisement

Daripada 3 capaian atau link ini,  responden kajian dipelawa menjawab dengan memilih sendiri kategori mereka sama ada sebagai ibubapa, pengamal perubatan atau ilmuan agama.

Justeru, penyelidik tidak dapat membuat verifikasi/mengenalpasti/mengesahkan adakah responden yang menjawab soalan2 tersebut, benar-benar menepati takrifan kategori seperti yang dikehendaki kajian.

Apabila dilihat kepada keputusan yang dibentangkan, nyata berlaku bias persampelan (sampling bias) di dalam kategori agamawan di mana terdapat responden agamawan yang melaporkan tahap pendidikan mereka adalah sehingga di peringkat menengah sahaja.  

Justeru, definisi dan kategori ilmuan Islam/agamawan  dalam kajian ini tidak tepat dan telah mengelirukan responden. Bidang pengkhususan/kepakaran agama juga tidak dinyatakan.

Pemakaian statistik agamawan seperti dalam dapatan kajian ini dapat diragui kesarjanaan mereka dan tidak wajar dijadikan hujah menolak pandangan Muzakarah Fatwa dari para Mufti yang mujtahid yang mengadakan perbincangan secara bersemuka dan mencapai keputusan secara kolektif dalam menentukan hukum-hakam.

TRAUMA DAN EMOSI IBUBAPA

Advertisement

Dilaporkan juga oleh kajian ini,  66% daripada ibubapa/penjaga merasa bimbang dengan amalan khitan bayi tersebut.

Merujuk kepada keputusan kajian,  soalan tentang kebimbangan ditanya secara umum iaitu “Perasaan Responden Ketika Khitan Dijalankan Ke Atas Anak” yang meliputi “Risau, Cemas, Takut, Berdebar-debar, Gemuruh, Ngilu, Menangis dan lain-lain bentuk perasaan yang umum”.

Reaksi anak-anak yang dikhitan pula menurut kajian dilaporkan sebagai 51.2% mendiamkan diri, 50% menangis dan 2.3% meronta.

Jika kita berfikir secara kritis, jawapan yang sama boleh diperolehi jika prosedur khitan bayi perempuan diganti dengan prosedur kesihatan yang lain seperti vaksinasi bayi, khatan bayi lelaki dan prosedur pembedahan kerana soalan-soalan mengenai kebimbangan ibubapa adalah sangat subjektif, apatah lagi melalui soalselidik GoogleForm yang tidak memungkinkan ibubapa menghuraikan dengan tepat perasaan mereka.

Justeru untuk mengatakan ia sebagai satu sebab yang wajar untuk pengharaman khitan adalah tidak wajar kerana kita tidak mengharamkan prosedur yang lain yang melahirkan kebimbangan yang sama.

Kajian turut menyatakan tentang komplikasi dimana 34% responden melaporkan pendarahan dan 2% melaporkan lebam.

Advertisement

Pendarahan di sini berlaku kerana sebahagian dari tatacara khitan wanita sendiri adalah terdapat sedikit/setitik kesan darah pada kapas yang dianggap lengkaplah upacara khitan wanita.

Takrifan komplikasi adalah kesan yang tidak diingini. Justeru pendarahan seperti yang dijawab melalui kajiselidik maya itu tidak menggambarkan satu bentuk komplikasi. Penyelidik mungkin mengkelaskan ia sebagai komplikasi sedangkan ibubapa sekadar melaporkan apa yang mereka nampak .

PENGKELASAN FGM YANG BERUBAH-UBAH

Pada tahun 1990, dalam sesi ke 9 persidangan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita, The Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW), satu kenyataan dikeluarkan dinamakan rekomendasi nombor 14 yang menyeru ke arah penghapusan FGM. Amalan-amalan yang dirujuk ketika ini adalah dari amalan FGM yang diamalkan secara keterlaluan dan tidak selamat di Afrika seperti pemotongan dan pembuangan bibir faraj (labia minora dan labia majora) dengan pemotongan klitoris.

Pada tahun 1995, Malaysia telah menandatangani CEDAW dengan beberapa artikel dikecualikan (reserved). Pada tahun 1997 Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO mengklasifikasikan FGM kepada empat kategori melalui satu mesyuarat yang dinamakan “Technical Working Group on Female Genital Mutilation” , bertujuan untuk menarik perhatian dunia berkenaan amalan ini dan akibatnya daripada sudut kesihatan.

Desakan dari pihak feminis di Malaysia turut menggesa agar Malaysia  mengharamkan khitan wanita walaupun pihak berkuasa agama Malaysia telahpun memberi penerangan demi penerangan, bahawa khitan wanita bukanlah FGM.

Advertisement

Berhadapan dengan fakta ini dimana kaedah khitan wanita tidak menepati pengkategorian asal FGM, kaedah yang digunakan WHO adalah dengan memperbaharui takrifan dan pengklasifikasian FGM itu sendiri tanpa ada justifikasi atau bukti mudarat khitan wanita seperti yang diamalkan Malaysia.

WHO kemudiannya pada tahun 2007 menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk membahagi-bahagikankan lagi pengkategorian FHM ini untuk merangkumi jenis-jenis mutilasi genital wanita dengan lebih terperinci lalu mereka mendatangkan klasifikasi FGM baru yang turut memasukkan teknik atau amalan khitan perempuan di bawah klasifikasi FGM sehingga terma baru FGM/FC (female circumcision) atau FGM-C.

Jadi adalah tidak wajar dan tidak saintifik apabila kita bergantung kepada pengkelasan WHO yang berubah-rubah dan diperbaharui sedangkan amalan khitan wanita ini telah lama diamalkan dalam masyarakat kita tanpa ada komplikasi besar sementelah khitan wanita mempunyai asas dalam agama.

ADAKAH MANFAAT KESIHATAN (MEDICAL BENEFITS) ITU SEBAGAI SATU SYARAT KEABSAHAN SESUATU AMALAN?

Walaupun dari sudut saintifik setakat ini kita tidak dapat membuktikan kesan positif daripada amalan khitan wanita,  tetapi kita sebagai umat Islam perlu memahami bahawa apabila datangnya sesuatu syariat, ianya pasti ada hikmah.

Seperti mana Imam Sulayman al-Bujayrami berkata: “Sesuatu perkara yang tidak diketahui makna oleh akal, pasti mempunyai sebab walaupun kita tidak tahu”.

Advertisement

Sebagai contoh kita tidak tahu kenapa bilangan rakaat berbeza-beza, jadi kita serahkan maksudnya kepada Allah.

Ketiadaan manfaat positif sesuatu amalan yang ditaklifkan kepada kita, tidak bermakna ianya membawa kesan negatif. Dalam era di mana setiap tahun terdapat desakan hebat untuk  pengharaman khitan wanita, dan di mana terdapat negara-negara tertentu yang telahpun menjadikan khitan wanita sebagai jenayah, adalah sukar untuk mendapatkan kebenaran penyelidikan klinikal melibatkan khitan wanita, tidak seperti penyelidikan khatan lelaki.

Khitan lelaki sering dijadikan perbandingan bahawa ia mempunyai manfaat perubatan, justeru amalan ini diterima dengan baik. Bahkan prosedur khatan lelaki telahpun diangkat dalam seminar antarabangsa bagi memperbaiki amalannya dan ia mempunyai garispanduan sendiri dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Khatan wanita, sehingga kini tiak mempunyai garispanduan kerana pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menggunapakai kerangka WHO untuk tidak mengiktiraf khitan wanita sebagai satu prosedur perubatan.

Walaubagaimanapun, penemuan bahawa khatan lelaki dapat melindungi dari kanser zakar/penis hanya diketahui dalam sekitar tahun 1932, tidak sampai 100 tahun yang lalu. Antara kajian terawal di Amerika Syarikat mendapati dalam 1103 kes barah penis di rekodkan, tiada dari kes ini melibatkan kaum Yahudi yang mengamalkan khatan walaupun populasi Yahudi seramai 3%.

Kajian kes kontrol melibatkan tentera Amerika pula pada tahun 1947 menunjukkan barah penis adalah kurang dikalangan mereka yang berkhatan semasa kecil. Dalam tahun 1960an, kajian ekologi di Timur Afrika menunjukkan barah penis kurang dari kalangan etnik yang melakukan khatan berbanding dengan etnik yang tidak berkhatan .

Kajian-kajian di atas tidaklah menjadi sebab kenapa khatan lelaki di amalkan di negara kita,  bahkan umat Islam melakukannya kerana perkara tersebut ada nas dalam agama sejak Rasulullah SAW berpesan dalam hadis beliau 1400 tahun yang lalu. Begitulah juga sikap kita terhadap khitan wanita.

Advertisement

Ada yang berhujah wajar diharamkan khitan wanita kerana kes-kes jangkitan kuman atau pendarahan teruk dilaporkan. Komplikasi khatan lelaki sebenarnya lebih tinggi berbanding khitan wanita. Kadang-kadang berlaku kes kecuaian pihak-pihak doktor/bidan yang tidak terlatih menyebabkan ada laporan kes terpencil tetapi kaedah dalam feqah juga menyebut

1) الحكم الغالب. والنادر لا يظهر في مقابلة الغالب

Maksudnya: Sesuatu hukum ditetapkan ke atas perkara yang lazim berlaku. Perkara yang jarang berlaku tidak menunjukkan hukum yang berlawanan dengan perkara yang lazim.

2) الحكم يبنى على الغالب دون النادر

Maksudnya: sesuatu hukum terbina di atas perkara yang lazim berlaku, bukan pada perkara yang jarang berlaku.

Kemudaratan pada kes terpencil tidak sewenang-wenangnya menyebabkan berlakunya pengharaman ke atas kes tersebut. Malah hukum yang telah jelas tentang kewajipan berkhitan bagi wanita tetap terpakai.

Advertisement

Penetapan hukum tidak boleh hanya disandarkan kepada kes-kes terpencil sebagai hukum yang terpakai untuk semua pihak yang berkaitan. Ia menjadikan hukum itu sempit dan tidak konsisten.

Sebaliknya, jika berlaku kemudaratan bagi sesetengah kes, kelonggaran atau pengecualian boleh dipertimbangkan berdasarkan asas-asas pensyariatan yang jelas.

Pesakit kencing manis yang teruk, mungkin mengalami kekurangan gula (hipoglisemia) jika berpuasa dan akan memudaratkan beliau. Adakah kita mengharamkan ibadah puasa? Tidak, sebaliknya pesakit tersebut mendapat kelonggaran untuk tidak berpuasa kerana menjaga nyawa beliau.

Sewajarnya kita sebagai umat Islam perlu mengetahui secara asas akan usul fiqh dan bertanya kepada yang pakar sebelum kita terus menggunapakai konvensyen-konvensyen antarabangsa seperti rekomendasi CEDAW, kategori FGM oleh WHO dan lain-lain. Ini perlu agar kita bersifat objektif, konsisten dan telus dalam mengemukakan bukti-bukti perubatan dalam berhadapan isu-isu terkait dengan syariat Islam.

Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Advertisement

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Kolumnis

Dilema Ahli Parlimen: Mewakili parti politik atau rakyat?

Assalamualaikum wrt wbt. Moga para pembaca sihat sejahtera. Perkara sedih berlaku dalam negara, terutamanya hal kehilangan jiwa, namun kita perlu hadapi jua. Moga Allah terus berkati usaha dan memakbulkan doa kita. 

Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz

Published

on

Dilema Ahli Parlimen: Mewakili parti politik atau rakyat?
Foto: Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Assalamualaikum wrt wbt. Moga para pembaca sihat sejahtera. Perkara sedih berlaku dalam negara, terutamanya hal kehilangan jiwa, namun kita perlu hadapi jua. Moga Allah terus berkati usaha dan memakbulkan doa kita. 

Pagi ini saya terjaga dari tidur agak awal. Seperti dalam mimpi, bila terjaga saya terus membuka laptop yang berada di hujung katil, terus menekan keyboard dan menulis tajuk yang terpapar di atas. 

Seolah tanpa fikir tajuk di atas keluar dari minda saya. Selepas menulis tajuk tersebut, saya bertanya pada diri sendiri, adakah saya perlu menulis tentang perkara ini? Sekiranya saya perlu menulis, kenapa saya perlu lakukannya? 

Setelah seketika bermonolog, saya mengambil keputusan untuk meneruskan tulisan dengan tajuk ini. Kenapa agak sukar bagi saya untuk mengambil keputusan membuat penulisan ini? 

Sebab utama ialah, kerana perkara ini lebih terkait dengan disiplin sains politik, bukan sepenuhnya terangkum dalam urusan undang-undang Perlembagaan, iaitu bidang pengkhususan saya. 

Satu lagi sebab yang membuat saya berfikir dua kali untuk membuat paparan ini ialah kerana, saya fikir masyarakat sudah memahaminya. Saya percaya telah banyak tulisan dan pengucapan berkaitan perkara ini. 

Advertisement

Namun, saya mengambil keputusan untuk menulis kerana ada baiknya untuk saya berkongsi pandangan saya berdasarkan penulisan atau idea yang telah sedia ada dalam bidang ini. Tulisan ini mungkin mampu membantu rakan pembaca yang belum begitu dekat dengan isu atau perkara ini. Sebenarnya saya telah lama berfikir tentang ini. 

Namun saya belum pasti bilakah masa yang paling sesuai untuk berkongsi dengan para pembaca. Saya tidak tahu, sama ada ini adalah masa yang sesuai ataupun tidak. Namun saya fikir, saya tidak boleh bertangguh lagi untuk mula mengutarakan pandangan tentang hal ini. Kita sudah hampir dengan pembukaan sesi pertama Parlimen ke-15, dan “kita” perlu jelas tentang perkara ini. 

“Kita” di sini saya maksudkan kita semua, termasuk para ahli parlimen, pimpinan parti politik, ahli parti politik dan juga rakyat yang telah mengundi, bahkan termasuk juga rakyat tidak layak, atau tidak membuang undi. Mungkin ini masa yang sesuai. Selamat membaca. Moga tulisan ini menyampaikan ilmu bermanfaat dunia akhirat untuk kita semua. 

Sebelum ini saya pernah menyebut dalam beberapa pembentangan dan pengucapan saya bahawa, setelah seseorang itu dipilih sebagai wakil rakyat melalui pilihan raya, dia bukan semata-mata wakil rakyat bagi rakyat yang memilihnya atau wakil bagi parti politik yang membenarkannya dan mencalonkannya sebagai calon pilihan raya bagi parti politik tersebut. 

Beliau adalah wakil bagi keseluruhan rakyat dan keseluruhan negara. Wakil rakyat adalah penggubal undang-undang atau legislator bagi negara. Justeru itu, dalam melaksanakan amanah yang digalasnya, seorang wakil rakyat itu hendaklah bijaksana dan dadanya penuh hikmah (wisdom) dalam membuat keputusan yang terbaik bagi keseluruhan negara, bukan semata-mata untuk parti politiknya atau kawasan pilihan raya yang telah memilihnya sebagai wakil rakyat. 

Tulisan Edmund Burke.

Advertisement

Bagi membicarakan perkara di dalam tajuk ini, saya telah beberapa lama meneliti ucapan Edmund Burke. Para pembaca boleh mencari maklumat tentang siapa Edmund Burke dan apakah idea dan penulisan beliau dalam hal yang saya sedang diperkatakan ini. 

Pengucapan Edmund Burke yang saya rujuk adalah petikan dari penerbitan The Works of the Right Honourable Edmund Burke. 6 vols. London: Henry G. Bohn, 1854-56, iaitu pengucapan yang dibuat pada tahun 1774. 

Pengucapan Edmund Burke ini telah lama, namun pada pengamatan saya, idea dan prinsip yang diperkenalkan dalam tulisan ini masih lagi sesuai dan sepadan untuk diterima dalam amalan demokrasi semasa di negara kita.

Apabila meneliti tulisan klasik ini, saya lebih memahami tentang hubungan antara wakil rakyat dan rakyat yang diwakilinya, dan secara “tidak langsung” mengenai hubungan antara wakil rakyat dan parti politiknya. 

Untuk hubungan antara wakil rakyat dan parti politiknya saya sebut secara tidak langsung kerana Edmund Burke tidak menyatakan perkara ini secara jelas dalam tulisan yang saya rujuk ini. 

Saya masih mencari sumber yang jelas untuk prinsip hubungan antara wakil rakyat dan parti politiknya, terutamanya setelah wakil rakyat tersebut terlibat dalam perbahasan atau dalam membuat keputusan sebagai “ahli Dewan Rakyat”. Justeru itu, pandangan saya dalam perkara ini adalah lebih bersandarkan kepada prinsip yang dijelaskan oleh Edmund Burke. Saya kongsikan di bawah ini antara intipati penting idea Edmund Burke. 

Advertisement

Intipati Fikiran Edmund Burke 

Saya bahagikan intipati Fikiran Edmund Burke kepada beberapa perkara: 

Pertama 

Seharusnya dan sepatutnya adalah menjadi kebahagiaan dan kemuliaan seorang wakil untuk hidup dalam kesatuan yang paling rapat, perhubungan yang paling intim, dan komunikasi yang tiada sekatan dengan pengundinya. Hasrat pengundi sepatutnya menjadi amanah yang besar dan berat untuk dipikul oleh seorang wakil rakyat. 

Pendapat mereka, iaitu rakyat yang diwakili, hendaklah diberikan penghormatan yang tinggi. Hal ehwal rakyat yang diwakili hendaklah diberikan perhatian tanpa henti oleh setiap wakil rakyat. 

Adalah menjadi kewajipan wakil rakyat untuk mengorbankan ketenangannya, kesenangannya serta kepuasannya demi rakyat yang diwakilinya. Ringkasnya, wakil rakyat, dalam semua keadaan hendaklah sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat yang diwakili berbanding kepentingan dirinya sendiri. 

Advertisement

Kedua 

Pendapat wakil rakyat hendaklah tidak berat sebelah. Wakil rakyat hendaklah membuat keputusan, penilaian yang matang dengan penuh hikmah, dengan hati nuraninya yang tercerah. Justeru itu, wakil rakyat tersebut tidak sepatutnya mengorbankan kebijaksanaannya, hikmahnya dan penghayatan dalam hati dan nuraninya kepada semata-mata kehendak rakyat yang diwakilinya atau kepada sesiapa jua sekalipun. 

Perkara ini bukan datangnya daripada kemahuan wakil rakyat itu sendiri, serta tidak juga datang daripada undang-undang atau Perlembagaan. Ia adalah amanah yang datang daripada “Providence”, iaitu “the protective care of God or of nature as a spiritual power” atau boleh diterjemahkan sebagai penjagaan atau perlindungan Tuhan atau alam semulajadi sebagai kuasa rohani. 

Dalam konteks keimanan Islam, ia adalah amanah melaksanakan Syariah Allah. Justeru itu, para wakil rakyat berhutang kepada rakyat bukan hanya kerana rakyat memilih mereka sebagai wakil, tetapi juga wakil rakyat itu berhutang kepada dirinya dan Tuhannya untuk menunaikan amanah. 

Amanah tersebut ialah amanah untuk melaksanakan tugas dan kewajipannya dengan menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan yang dimilikinya dan penghayatan terhadap anutan dan ajaran agamanya serta naluri rohaninya. Sekiranya seorang wakil rakyat hanya bertugas memuaskan hati rakyat yang diwakilinya, tetapi mengorbankan kebijaksanaan dan hikmahnya, maka itu adalah satu pengkhianatan kepada amanah yang digalas oleh wakil rakyat tersebut. 

Ketiga

Advertisement

Sesungguhnya melaksanakan amanah sebagai sebuah kerajaan dan amanah menggubal undang-undang adalah soal akal dan pertimbangan yang berhikmah. Ia bukan soal kecenderungan semata-mata, seperti kecenderungan terhadap parti politik atau kecenderungan individu. 

Apakah akal dan pertimbagan itu? Adakah ia merupakan keputusan yang diambil sebelum berlakunya perbincangan dalam kalangan mereka yang memegang amanah? Atau adakah ia merupakan perbincangan sekumpulan orang lain dan keputusannya dibuat oleh kumpulan yang lain? Atau adakah keputusan dibuat oleh mereka yang berada jauh daripada perbincangan atau berhujah? 

Sesungguhnya menyampaikan pendapat, adalah hak semua orang; suara rakyat yang diwakili adalah pendapat yang hendaklah sentiasa dihormati dan wakil rakyat hendaklah sentiasa gembira menerima dan menghargai pendapat atau suara rakyat yang diwakilinya. Wakil rakyat hendaklah memberi pertimbangan serius kepada suara atau pandangan rakyat. 

Walaupun begitu, adakah wakil rakyat sentiasa terikat dan hendaklah sentiasa patuh kepada “arahan” atau mandat yang diberikan oleh rakyat untuk berhujah atau mengundi dalam Parlimen? Adakah wakil rakyat hendaklah terikat dan berhujah di Parlimen menurut kehendak rakyat (atau parti politiknya) atas perkara yang bertentangan dengan keyakinan dalam diri wakil rakyat itu sendiri? Adakah wakil rakyat boleh membuat keputusan sebagai seorang wakil rakyat dengan penuh hikmah dan keyakinan dalam hati nuraninya sahaja? 

Perkara ini tidak dinyatakan dalam Perlembagaan atau undang-undang kita, dan keadaan ini merupakan suatu kesalahan asas dalam struktur atau sistem perundangan dan Perlembagaan kita. Kita perlu tambah baik undang-undang kita dengan menjelaskan duduk perkara tentang ini. Atau kita perlu bina amalan yang lebih baik untuk menjadikan konsep perwakilan dalam Parlimen menjadi lebih baik untuk negara. 

Keempat 

Advertisement

Parlimen bukan tempat pertemuan wakil yang mempunyai kepentingan berbeza atau puak-puak yang bermusuhan, tetapi Parlimen merupakan perhimpunan musyawarah bagi keseluruhan negara. Melalui musyawarah dalam Parlimen kita membentuk satu negara dengan satu kepentingan, iaitu kepentingan dan kebaikan umum, bagi keseluruhan negara. Ia bukan semata-mata bersifat tempatan kepada kawasan pilihan raya yang dimenanginya. 

Parlimen hendaklah dan sepatutnya menjadi forum atau wahana yang membimbing ke arah kebaikan dan kepentingan umum keseluruhan negara. Maksudnya di sini ialah, seseorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat pada suatu Kawasan Parlimen bukan lagi wakil rakyat kepada rakyat dalam Kawasan tersebut sahaja, Wakil rakyat tersebut adalah “ahli Parlimen”. 

Justeru itu, setiap wakil rakyat, sebagai seorang ahli Parlimen memikul satu amanah dan tanggungjawab yang lain yang lebih berat daripada mewakili kawasannya. Jika rakyat di kawasan parlimen yang diwakilinya mempunyai kepentingan tertentu yang jelas bertentangan dengan kebaikan sebenar bagi kumpulan masyarakat yang lain, wakil rakyat tersebut tidak seharusnya terikat dengan keinginan masyarakat tempatan yang telah memilih beliau. 

Undang-Undang Jenayah Menjaga Amanah Ahli Parlimen. 

Setelah memahami prinsip berkaitan peranan wakil rakyat atau ahli Parlimen, perlu saya kongsi juga undang-undang kita. Dalam undang-undang kita, di bawah kategori undang-undang jenayah, iaitu di bawah Kanun Keseksaan, kita dapati terdapat peruntukan yang tegas tentang menghukum mereka yang cuba menghalang seseorang ahli Parlimen daripada melaksanakan tugasnya yang sah sebagai ahli Parlimen. 

Seksyen 124 Kanun Keseksaan, antara lain memperuntukkan: “Barang siapa, dengan niat hendak mendorong atau memaksa atau sedang cuba mendorong atau memaksa seseorang ahli Parlimen atau mana-mana ahli Dewan Negeri atau mana-mana ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya menjalankan atau jangan menjalankan dengan apa-apa cara kuasa-kuasa ahli itu yang sah di sisi undang-undang, menyerang atau menghalang dengan salah, atau mencuba dengan dengan salah menghalang, atau mempertakutkan dengan jalan kekerasan jenayah, atau dengan menunjukkan kekerasan jenayah, atau mencuba dengan demikian, mempertakutkan ahli itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda”. 

Advertisement

Saya mohon maaf kerana banyak bercakap mengenai perkara ini dalam situasi politik semasa. Namun, kita perlu berfikir tentang perkara ini supaya apa sahaja masalah atau cabaran yang kita lalui dan hadapi dalam aplikasi demokrasi ini dapat kita selesaikan dan huraikan menerusi kefahaman dalam konsep yang jelas, terutamanya peranan para wakil rakyat atau ahli Parlimen berdasarkan undang-undang. – The Merdeka Times

Sumber: Facebook Shamrahayu Aziz

Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz adalah Penyandang Kursi, Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan merupakar Pakar Perlembagaan.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

 

Advertisement
Teruskan Membaca
Advertisement

Kata Kunci

Advertisement

Trending