Terkini
Isu sekolah daif perlu perancangan lima tahun dan komitmen kerajaan – pensyarah
Perancangan jangka panjang dan komitmen kerajaan perlu dalam menyelesaikan isu sekolah daif di seluruh negara ketika ini.
- Perlu ada perancangan lima tahun dalam usaha menyelesaikan isu sekolah daif dengan mengambil kira peruntukan yang boleh mencecah berbilion ringgit setiap tahun.
- Faktor kewangan adalah kekangan besar menyelesaikan isu sekolah daif memandangkan peruntukan yang besar perlu disalurkan bagi membiayai projek baik pulih atau pembinaan semula bangunan yang tidak lagi boleh digunakan.
- “Rakyat faham isu sekolah daif ini tidak dapat diselesaikan segera, ia memerlukan masa. Yang rakyat mahu dan ingin dengar komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu sekolah daif ini.
- “Bukan setakat janji tetapi komitmen termasuk jadual pelaksanaan, tarikh, masa, fasa dan yang kita mudah cakap adalah pelan strategik kepada isu penyelesaian sekolah daif ini. Komitmen ini yang rakyat harapkan dan minta,” – Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM, Dr Anuar Ahmad
PUTRAJAYA: Perancangan jangka panjang dan komitmen kerajaan perlu dalam menyelesaikan isu sekolah daif di seluruh negara ketika ini.
Menyifatkan rakyat faham mengenai kekangan serta tempoh realistik untuk menyelesaikan isu yang sudah sekian lama membelenggu sistem pendidikan negara, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata perkara itu sememangnya memerlukan tindakan segera.
Beliau berkata, perlu ada perancangan lima tahun dalam usaha menyelesaikan isu sekolah daif dengan mengambil kira peruntukan yang boleh mencecah berbilion ringgit setiap tahun.
Katanya, beliau sememangnya gembira dan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Sabtu lalu yang mahu isu sekolah daif segera diselesaikan berikutan masalah itu berlaku di hampir semua negeri.
“Kebanyakan sekolah ini adalah sekolah lama yang dibina sejak kita mencapai kemerdekaan lagi. Keadaan sekolah ini sangat tidak memuaskan, daif, mengalami banyak kerosakan termasuk ada yang reput dan tidak berganti.
“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk mengenal pasti sekolah yang perlu dinaik taraf, sekolah yang perlu dirobohkan dan didirikan bangunan baharu kerana terlalu uzur atau tidak selamat dan sekolah yang mungkin perlu ditambah baik tanpa memerlukan banyak perubahan atau pembaikan struktur,” katanya kepada BH.
Anuar berkata, faktor kewangan adalah kekangan besar untuk menyelesaikan isu sekolah daif memandangkan peruntukan yang besar perlu disalurkan bagi membiayai projek baik pulih atau pembinaan semula bangunan yang tidak lagi boleh digunakan.
Justeru, beliau mencadangkan perancangan dan penyelesaian selama lima tahun yang memerlukan bukan saja peruntukan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) malah juga peruntukan khas daripada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk projek khas.
“Ia perlu diberikan dalam tempoh lima tahun. Mungkin setiap tahun ia memerlukan beberapa bilion ringgit dan dalam tempoh lima tahun kita sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan isu sekolah daif yang serius ini.
“Rakyat faham bahawa isu sekolah daif ini tidak dapat diselesaikan segera, ia memerlukan masa. Yang rakyat mahu dan ingin dengar adalah komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu sekolah daif ini.
“Bukan setakat janji saja tetapi komitmen termasuk jadual pelaksanaan, tarikh, masa, fasa dan yang kita mudah cakap adalah pelan strategik kepada isu penyelesaian sekolah daif ini. Komitmen ini yang rakyat harapkan dan minta,” katanya.
Turut dicadangkan adalah perkongsian maklumat mengenai projek berkenaan yang boleh diakses dengan mudah melalui laman sesawang KPM, seperti yang pernah dilaksanakan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang mewujudkan ‘dashboard’ untuk membolehkan rakyat melihat perkembangan projek bawah kementerian itu.
Anuar berkata, dengan adanya komitmen dan perkongsian maklumat berkaitan isu sekolah daif ini, rakyat akan dapat memahami kekangan yang dihadapi kerajaan khususnya berkaitan dengan kewangan.
Beliau berkata, selain kewangan, ada juga isu komitmen oleh KPM untuk menyelesaikan isu yang sudah berlarutan sejak sekian lama termasuk membabitkan sumber manusia, penjadualan dan sebagainya selain perlu ada usaha dan keinginan yang bersungguh-sungguh dalam kalangan pengurusan KPM.
“Kita tidak mahu juga apabila peruntukan sudah dikeluarkan tetapi proses kerja masih lambat, masih bertangguh dan tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh serta berlaku kebocoran dan ketirisan.
“Semua pihak mahukan peruntukan itu digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan isu sekolah daif supaya anak-anak kita dapat menggunakan kemudahan itu dengan baik untuk belajar,” katanya.
Sumber: Berita Harian