Terkini
Harga sayur dinaikkan ‘orang tengah’
Harga sayuran yang dijual ‘orang tengah’ dinaikkan mengikut kos yang dikeluarkan mereka itu.
- Jika diikuti harga itu sebenarnya tidak dapat tampung kos input pertanian dikeluarkannya terutama apabila tanaman tidak menjadi dan faktor cuaca seperti hujan atau panas.” – Pekebun sayur
- “Saya memang tolak RM1.50 untuk sekilogram tiga jenis sayur itu setakat ini tetapi harga orang tengah untuk peniaga pula berbeza kerana sudah pasti mereka kira kos seperti pengangkutan, pekerja dan minyak juga.”
- “Memang tidak dinafikan orang tengah turut memainkan peranan dalam isu harga sayur kerana ada pihak memainkan harga bekalan itu terutama pada musim banjir atau hujan menyebabkan bekalan agak berkurangan,” katanya.
Kuala Lumpur: Harga sayuran yang dijual ‘orang tengah’ dinaikkan mengikut kos yang dikeluarkan mereka itu.
Namun diakui ada harga yang dinaikkan terlalu tinggi terutamanya ketika musim hujan.
Pekebun sayur yang enggan dikenali berkata, dia jual sayuran berdaun iaitu kangkung, bayam hijau dan bayam merah kepada orang tengah pada harga RM1.50 sekilogram.
Menurutnya, jika diikuti harga itu juga sebenarnya tidak dapat menampung kos input pertanian yang dikeluarkannya terutama apabila tanaman tidak menjadi dan faktor cuaca seperti hujan atau panas.
“Setakat ini, bekalan masih baik dan tiada masalah. Dalam seminggu saya dapat mengeluarkan tiga tan sayur yang diambil oleh orang tengah sebelum diagihkan kepada pelanggan mereka.
“Saya memang tolak RM1.50 untuk sekilogram tiga jenis sayur itu setakat ini tetapi harga orang tengah untuk peniaga pula berbeza kerana sudah pasti mereka perlu mengira kos seperti pengangkutan, pekerja dan minyak juga,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun katanya, memang tidak dinafikan orang tengah turut memainkan peranan dalam isu harga sayuran kerana ada pihak yang memainkan harga bekalan itu terutama pada musim banjir atau hujan menyebabkan bekalan agak berkurangan.
“Pernah juga harga dijual mereka lebih RM4 tetapi itu diluar kawalan pekebun. Jika mahu menyentuh harga naik atau murah, rugi atau untung pekebun juga adalah yang paling terkesan sebenarnya.
“Ini kerana kami menanggung semua kos seperti baja dan racun, malah belum termasuk kos jika tanaman tidak menjadi,” katanya.
Seorang peniaga sayur wanita berusia 50-an berkata, tidak semua sayuran mahal dan masih ada yang murah serta dijual pada harga lebih rendah dari harga yang ditetapkan.
“Saya juga ambil sayur dari orang tengah dan tidak semua sayuran mahal, seperti hari ini bendi, buncis, limau kasturi dan terung agak mahal berbanding beberapa hari lalu.
“Biasanya bekalan sedikit memang harga jadi mahal, jika bekalan sayur banyak harga lebih murah sedikit selain melihat kualiti dan gred sayuran berkenaan,” katanya yang berniaga di Pasar Harian Selayang.
Katanya, mereka tiada pilihan untuk mendapatkan bekalan sayuran daripada orang tengah dan turut mengakui boleh menerima kenaikan harga sayur berdasarkan faktor munasabah, cuma ia tidak sepatutnya terlalu tinggi.
“Hari ini bendi dijual RM10, buncis RM16 dan terung juga lebih RM10 untuk sekilogram.
“Limau kasturi paling ketara kerana sebelum ini saya boleh jual RM6 sekilogram tetapi hari ini RM10.
“Boleh cakap peningkatan harga untuk sayuran ini antara RM1 hingga RM4 tetapi harga tidak menentu dan mengikut gred jenis sayuran itu juga.
“Macam cili padi hijau saya beli sekotak kira-kira 6.5 kilogram (kg) pada harga RM45. Jadi untuk sekilogram harganya jatuh pada RM6.90 tetapi untuk peniaga terpaksa naikkan harga sebanyak RM1 hingga RM2 untuk kos lain juga,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro di Pasar Harian Selayang di sini, mendapati ada beberapa jenis sayuran harganya masih kekal tinggi, manakala jenis lain masih rendah dan dijual lebih murah.
Berdasarkan perbezaan harga terkini dipaparkan pada laman web Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan tinjauan pasar berkenaan mendapati kenaikan harga membabitkan kacang buncis, terung panjang dan limau kasturi.
Bagi terung panjang berlaku kenaikan harga iaitu RM9 kepada RM10 dan buncis RM15 kepada RM16.
Sayuran berdaun seperti kangkung dan bayam yang dijual seikat pula antara RM2 hingga RM3, manakala harga untuk pasaran runcit sayuran itu adalah RM5.50 dan RM6 untuk sekilogram.
Sementara itu, harga cili kulai atau cili besar merah dijual lebih murah iaitu RM12 hingga RM16 tetapi harga pasaran runcit adalah RM17 sekilogram dan cili hijau pula kekal RM12 termasuk beberapa jenis lain.
Sumber: Harian Metro