Terkini
BERNAS bantu kerajaan jamin sekuriti makanan, pesawah
Kerajaan menetapkan 10 obligasi sosial yang perlu dipatuhi syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai strategi menjamin sekuriti makanan negara.
- Obligasi itu juga selaras dengan usaha kerajaan untuk memartabatkan industri padi dan beras negara. – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin
- “Ia juga termasuk kurangkan implikasi kewangan besar kepada negara dalam uruskan industri.”
- “AP (permit import) masih dikenakan ke atas beras untuk lindungi komoditi strategik makanan ruji rakyat Malaysia serta pesawah terlibat dalam industri beras tempatan.”
- “Kaedah itu seperti termaktub bawah skim subsidi harga padi yang jadi salah satu cara kementerian melalui BERNAS untuk bantu petani tempatan bangunkan industri beras tempatan,” katanya.
KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan 10 obligasi sosial yang perlu dipatuhi syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai strategi menjamin sekuriti makanan negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata obligasi itu juga selaras dengan usaha kerajaan untuk memartabatkan industri padi dan beras negara.
Menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata antara obligasi berkenaan merangkumi jumlah stok simpanan beras.
Selain itu, katanya, ia juga termasuk mengurangkan implikasi kewangan besar kepada negara dalam menguruskan industri.
“AP (permit import) masih dikenakan ke atas beras untuk melindungi komoditi strategik makanan ruji rakyat Malaysia serta pesawah yang terlibat dalam industri beras tempatan.
“Bagi komoditi beras, pemegang AP yang tunggal iaitu BERNAS yang diberi tanggungjawab untuk mengimport beras menerusi konsesi yang dilanjutkan selama 10 tahun bermula 2020.
“Setakat ini kerajaan melalui BERNAS telah memastikan bekalan beras dalam negara mencukupi pada setiap masa,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai usaha kerajaan untuk memastikan negara tidak bergantung kepada beras import, Foong Hin berkata BERNAS selaku pemegang AP tunggal turut membantu petani menerusi pembayaran subsidi.
Jelasnya, kaedah itu seperti termaktub di bawah skim subsidi harga padi yang menjadi salah satu cara kementerian melalui BERNAS untuk membantu petani tempatan membangunkan industri beras tempatan.
“Selain sumbangan RM60 juta seperti disentuh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semasa membentangkan Belanjawan 2023, ia disediakan untuk pesawah miskin maka BERNAS bersetuju membuat perkongsian keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus keuntungan kepada pesawah,” katanya.
Sumber: Berita Harian