Terkini
Ahli Parlimen Kepala Batas kutuk intimidasi politik ke atas Tiktoker wanita
Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad mengutuk intimidasi politik terhadap pempengaruh TikTok yang tidak berpihak kepada kerajaan.

- Budaya intimidasi politik ini bertentangan dengan slogan reformasi yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Perlakuan itu menyebabkan pempengaruh media sosial berkenaan dibuli siber sehingga tahap ugutan bunuh.
- Dr Siti Mastura Muhammad juga menuntut Menteri Komunikasi dan Digital agar tidak bersikap ‘double standard’ dan hanya fokus mengawal pengaruh PN di Tiktok.
- Sebagai signal penolakan terhadap intimidasi politik ke atas wanita muda, Ahli Parlimen Kepala Batas itu telah membuat laporan polis pada hari ini.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad mengutuk intimidasi politik terhadap pempengaruh TikTok yang tidak berpihak kepada kerajaan.
Katanya, budaya ini adalah jauh bertentangan dengan slogan reformasi yang sekian lama dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami mengutuk intimidasi politik yang telah dilakukan ke atas tiga orang Tiktoker wanita muda rentetan video kritikan terhadap pemimpin kerajaan.
“Gambar dan maklumat peribadi tiga wanita muda ini dikongsi secara malafide telah mengundang buli siber bersifat gangguan seksual malah sehingga ke tahap UGUTAN BUNUH,” katanya dalam hantaran Facebook baru-baru ini.
Saper la akk ni hina semua orang. Habis agong pon dia hina pic.twitter.com/B1G2TF20dy
— CIKY🅰️NIE (@lady_bugg11) February 13, 2023
Ketua Pengarah Ameerah Malaysia itu berkata kebebasan bersuara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelihatan terhad dan cuba disekat.
“Sikap tidak terbuka pemimpin kerajaan dengan kritikan pembangkang begitu ketara sehingga pendekatan PM pernah ditegur pasukan peguam.
“Intimidasi politik melarat ke peringkat bawah apabila kelompok penyokong PH terus menerus melakukan buli siber di media sosial terutama kepada golongan wanita dan terkini Tiktokers wanita PN menjadi mangsa buli ekstrem mereka,” katanya.
Katanya, pihaknya turut mengecam tekanan yang dilakukan ke atas pempengaruh media sosial berkenaan bagi tujuan mengugut dan menakutkan pihak yang membangkang kerajaan.
“Pembulian siber dengan mendedahkan butiran peribadi seterusnya mengundang komen-komen lucah, jijik dan hina fizikal tidak boleh dibiarkan menjadi budaya baru masyarakat yang mahu mencapai negara Madani.
“Kami menuntut Menteri Komunikasi dan Digital agar tidak bersikap ‘double standard’ dan hanya fokus mengawal pengaruh PN di Tiktok, namun tiada tindakan serius diambil bagi menghentikan budaya buli siber terhadap wanita di media sosial sama ada Twitter, Facebook, Tiktok dan mana-mana platform media sosial.
“Sebagai tanda solidariti dan signal penolakan terhadap intimidasi politik ke atas wanita muda, Ameerah Malaysia telah membuat laporan polis pada hari ini ke atas pemilik-pemilik akaun yang mendedahkan maklumat peribadi secara malafide. Laporan polis akan dibuat oleh Ameerah seluruh negara,” katanya. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Ameerah Malaysia
