Antarabangsa
Seorang polis UK mengaku rogol 12 wanita
Seorang pegawai Polis Metropolitan London yang masih berkhidmat, dipercayai antara pesalah seksual dan perogol bersiri paling teruk dalam sejarah moden United Kingdom (UK), selepas dia mengaku salah atas 24 pertuduhan merogol membabitkan 12 wanita sepanjang 17 tahun.
- David Carrick, 48, mengaku bersalah atas 49 kesalahan yang berlaku 2003 dan 2020. Pihak berkuasa sudah keluarkan kenyataan mohon maaf pada mangsa selepas Carrick dilaporkan atas 9 insiden termasuk dakwaan rogol, keganasan rumah tangga dan gangguan seksual antara 2001 dan 2021. – Metro UK
- Carrick tidak menghadapi sekatan jenayah atau penemuan salah laku, sebaliknya hanya digantung tugas pada Oktober 2021, selepas ditangkap berikutan aduan kedua jenayah rogol.
- Carrick sebelum ini berkhidmat dalam angkatan tentera, menyertai Polis Metropolitan London pada 2001 sebelum dinaikkan pangkat sebagai pegawai bersenjata dalam Komando Pakar Perlindungan Parlimen dan Diplomatik pada 2009.
- Dia mengaku bersalah atas beberapa kesalahan terhadap seorang wanita berusia 40 tahun pada 2003 ketika dia dihadapkan di Mahkamah Crown Southwark.
- Terdahulu di mahkamah Old Bailey pada Disember, Carrick berasal dari Stevenage, Hertfordshire, mengakui 43 pertuduhan terhadap 11 wanita lain antara Mac 2004 dan September 2020.
London: Seorang pegawai Polis Metropolitan London yang masih berkhidmat, dipercayai antara pesalah seksual dan perogol bersiri paling teruk dalam sejarah moden United Kingdom (UK), selepas dia mengaku salah atas 24 pertuduhan merogol membabitkan 12 wanita sepanjang 17 tahun.
Metro UK melaporkan David Carrick, 48, secara keseluruhan mengaku bersalah atas 49 kesalahan yang berlaku antara 2003 dan 2020. Pihak berkuasa sudah pun mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada mangsa selepas Carrick juga dilaporkan atas 9 insiden termasuk dakwaan rogol, keganasan rumah tangga dan gangguan seksual antara 2001 dan 2021.
Namun, Carrick tidak menghadapi sekatan jenayah atau penemuan salah laku, sebaliknya hanya digantung tugas pada Oktober 2021, selepas ditangkap berikutan aduan kedua jenayah rogol.
Datuk Bandar London, Sadiq Khan berkata, dia “sangat muak dengan jenayah dilakukan Carrick” dan berkata, pasukan polis mesti menjawab ‘soalan serius’ mengenai bagaimana lelaki itu dibenarkan menyalahgunakan kedudukan.
Jurucakap rasmi Perdana Menteri Rishi Sunak menyifatkan kes itu sebagai ‘mengerikan’ dan berkata, pemimpin itu mengambil berat nasib mangsa Carrick.
Carrick, yang sebelum ini berkhidmat dalam angkatan tentera, menyertai Polis Metropolitan London pada 2001 sebelum dinaikkan pangkat sebagai pegawai bersenjata dalam Komando Pakar Perlindungan Parlimen dan Diplomatik pada 2009.
Dia mengaku bersalah atas beberapa kesalahan terhadap seorang wanita berusia 40 tahun pada 2003 ketika dia dihadapkan di Mahkamah Crown Southwark, pada Isnin.
Terdahulu di mahkamah di Old Bailey pada Disember, Carrick berasal dari Stevenage, Hertfordshire, mengakui 43 pertuduhan terhadap 11 wanita lain antara Mac 2004 dan September 2020.
Dia bertemu dengan beberapa mangsanya di laman janji temu termasuk Tinder dan Badoo, atau pada majlis sosial, meyakinkan mereka bahawa dia boleh dipercayai kerana dia seorang pegawai polis.
Penolong Pesuruhjaya, Barbara Gray, berkata, beliau bagi pihak Perkhidmatan Polis Metropolitan London meluahkan rasa sangat kesal kerana mereka sudah menderita akibat perbuatan pegawai polis itu.
Sumber: Harian Metro