Antarabangsa
Pelajar universiti ditikam hanya kerana dia ‘seorang cina’
Seorang pelajar Universiti Indiana, Amerika Syarikat (AS) ditikam di kepala berulang kali ketika di dalam bas pada Rabu lalu hanya kerana dia ‘seorang cina’.

- Rabu lalu, seorang pelajar Universiti Indiana di Amerika Syarikat berusia 18 tahun ditikam di kepala berulang kali oleh seorang wanita, Billie Davis, 56 ketika di dalam bas pada hari Rabu.
- Billie menyasarkan pelajar itu hanya kerana kaumnya dan berkata tindakannya itu akan ‘mengurangkan seorang yang akan meletupkan negara kita’.
- Billie kini ditahan di Penjara Daerah Monroe atas tuduhan cubaan membunuh, selepas pihak hospital menemui tujuh luka tikaman pada kepala mangsa.
Seorang pelajar Universiti Indiana, Amerika Syarikat (AS) ditikam di kepala berulang kali ketika di dalam bas pada Rabu lalu hanya kerana dia ‘seorang cina’.
Memetik laporan New York Post, pelajar berusia 18 tahun itu ditikam seorang wanita bernama Billie Davis, 56.
Billie memberitahu polis, tiada sebab lain dia menyasarkan pelajar itu di Bloomington melainkan kerana kaumnya.
Wanita itu berkata tindakannya akan ‘mengurangkan seorang yang akan meletupkan negara kita’.
Dia disoal siasat semula pihak polis pada Khamis selepas pihak hospital mengesahkan terdapat tujuh luka tikaman pada kepala mangsa.
Selepas mengaku menggunakan pisau lipat untuk menikam mangsa, pihak polis mendakwa Billie dengan tuduhan cubaan membunuh.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada dia akan didakwa dengan jenayah kebencian.
Menurut pihak polis, tiada sebarang provokasi yang menyebabkan serangan berlaku.
Pelajar yang dirahsiakan identitinya oleh pihak polis dikatakan hendak keluar dari bas pada jam 4.45 petang, namun langsung diserang Billie ketika dia sedang menunggu pintu bas dibuka.
Billie kemudian beredar dari lokasi kejadian dan meninggalkan mangsa yang berlumuran darah, demikian menurut rakaman video dilihat pihak polis.
Seorang saksi bertindak mengekori Billie bagi membantu polis menjejaki lokasinya.
Menurut rekod mahkamah dalam talian, Billie kini ditahan di Penjara Daerah Monroe dengan bon penjamin $100,000 (RM432,750) dan bon tunai $1,000 (RM4,327.50).
Sumber: New York Post
