Terkini
Malaysia, Singapura boleh bersatu anjur resolusi keamanan di PBB
Dua negara berjiran yang sama-sama harmoni dalam kepelbagaian masyarakatnya wajar bersama dalam menganjurkan projek keamanan di pentas dunia.
- Keakraban Malaysia dengan Singapura, walaupun ada beberapa pertikaian, adalah sesuatu yang jarang berlaku di dunia.
- “Malaysia dan Singapura merupakan negara yang mempunyai kepelbagaian agama, kaum dan dalam diplomasi antarabangsa, kita boleh mengambil posisi yang lebih kurang sama. – Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun.
- “Dan, mungkin boleh mengemukakan projek-projek bersama untuk memupuk semangat harmoni di pentas dunia. katanya.
KUALA LUMPUR: Dua negara berjiran yang sama-sama harmoni dalam kepelbagaian masyarakatnya wajar bersama dalam menganjurkan projek keamanan di pentas dunia.
Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berpendapat, Malaysia dan Singapura boleh menganjurkan resolusi yang mempromosi keharmonian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, keakraban Malaysia dengan Singapura, walaupun ada beberapa pertikaian, adalah sesuatu yang jarang berlaku di dunia.
Ia ketika di kebanyakan negara di dunia, khususnya di Eropah, hubungannya sering tegang dengan negara-negara jirannya.
“Malaysia dan Singapura merupakan negara yang mempunyai kepelbagaian agama, kaum dan dalam diplomasi antarabangsa, kita boleh mengambil posisi yang lebih kurang sama.
“Dan, mungkin boleh mengemukakan projek-projek bersama untuk memupuk semangat harmoni di pentas dunia.
“Ini lebih meyakinkan dunia kerana ia bukan dikemukakan oleh sebuah negara sahaja, tetapi dua negara yang berjiran,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebangkitan ‘Islamophobia’ di Eropah susulan insiden pembakaran Al-Quran di Stockholm, Sweden tempoh hari.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan sehari ke Singapura.
Antara yang turut serta dalam lawatan rasmi pertama Anwar ke negara itu selepas menyandang jawatan Perdana Menteri ialah, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Sumber: Astro Awani