Terkini
Kenyataan Rafizi akhirnya ‘memakan diri’, harga barang tidak turun
Kenyataan Rafizi Ramli sebelum ini bahawa pemimpin PN yang mempertikai kenyataan beliau berhubung isu penawaran dan permintaan..
- Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, Menteri Ekonomi itu dengan yakinnya memaklumkan pemimpin PN akan terduduk namun hakikatnya harga barangan masih belum turun lagi.
- “Saya turun ke bawah, pasar-pasar raya dan sebagainya harga barangan mentah termasuk telur khususnya masih belum turun lagi meskipun Rafizi kata sudah turun.”
- “Rafizi perlu berusaha lagi bagi memastikan harga barangan turun. Kita faham keadaan ekonomi dunia sekarang dan Rafizi perlu berusaha lebih lagi,” katanya.
KANGAR : Kenyataan Rafizi Ramli sebelum ini bahawa pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mempertikai kenyataan beliau berhubung isu penawaran dan permintaan barangan akan ‘terduduk’ dalam sebulan lagi akhirnya memakan diri.
Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, Menteri Ekonomi itu dengan yakinnya memaklumkan pemimpin PN akan terduduk namun hakikatnya harga barangan masih belum turun lagi.
Justeru kata Pesuruhjaya Pas negeri itu, Rafizi perlu berusaha lebih keras bagi memastikan harga barang turun kerana ia semakin membebankan rakyat atau pengguna.
“Saya turun ke bawah, pasar-pasar raya dan sebagainya harga barangan mentah termasuk telur khususnya masih belum turun lagi meskipun Rafizi kata sudah turun.
“Rafizi perlu berusaha lagi bagi memastikan harga barangan turun. Kita faham keadaan ekonomi dunia sekarang dan Rafizi perlu berusaha lebih lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, golongan peniaga mendakwa harga bahan mentah tidak turun malah kebanyakannya masih sama seperti sebelum ini, sekali gus menyukarkan mereka menurunkan harga jualan makanan seperti disarankan Rafizi.
Kumpulan peniaga gerai makanan dan restoran yang ditemui turut tidak bersetuju dengan teguran Rafizi yang mendakwa sesetengah mereka sengaja enggan menurunkan harga makanan dan minuman.
Bulan lalu Rafizi memaklumkan pemimpin PN yang mempertikai kenyataannya berhubung isu penawaran dan permintaan barangan akan ‘terduduk’ dalam sebulan lagi setelah langkah itu difahami seluruh rakyat dengan rasional.
Menurut Rafizi, usaha untuk menyuntik keanjalan dalam permintaan diperlukan sebagai satu mekanisme kawalan harga.
“Kerajaan banyak data harga yang boleh digunakan rakyat. Kita mula dengan yang ini.
Jangan takut dengan pandangan umum. Insya-Allah rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta.
“Dalam sebulan lagi, geng-geng PN yang pertikai semua akan terduduk. Sama macam mereka terduduk soal-soal lain yang asalnya kontroversial tapi bila hujahnya dibentang satu persatu, rakyat yang cerdik faham,” katanya dalam akaun Twitter beliau.-UTUSAN
Sumber: Utusan Malaysia