Antarabangsa
Kanak-kanak perempuan maut akibat cabaran tular ‘choking challenge’ di Tiktok
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Argentina meninggal dunia selepas melakukan ‘choking challenge’ yang tular di Tiktok.
- Milagros Soto, 12, ditemui tergantung di rumahnya di Capitán Bermudez, Santa Fe Province, Argentina pada 13 Januari lalu.
- Dia maut akibat melakukan ‘choking challenge’ yang tular di Tiktok.
- Menerusi rakaman video, dia gagal melepaskan tali yang melilit lehernya dalam cubaan kali ketiganya melakukan cabaran itu.
- Cabaran yang juga dikenali sebagai ‘blackout challenge’ itu menggalakan pengguna laman sosial untuk membuat diri sesak nafas sehingga pitam.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Argentina meninggal dunia selepas melakukan ‘choking challenge’ yang tular di Tiktok.
Memetik laporan New York Post, Milagros Soto ditemui tergantung pada tali gantung buatan sendiri di rumahnya di Capitán Bermudez, Santa Fe Province pada 13 Januari lalu.
Difahamkan, Milagros berjaya melakukan cabaran itu sebanyak dua kali sebelum ini.
Malangnya, cubaan kali ketiganya membawa gagal selepas dia tidak dapat melepaskan lilitan tali pada lehernya, demikian kejadian yang dirakam menerusi kamera itu.
Masih belum jelas apa yang mendorong Milagros untuk mencuba cabaran maut itu.
Namun ibu saudaranya, Laura Luque mendakwa Milagros menerima mesej WhatsApp dengan pautan video cabaran itu selepas dibuli di sekolah.
Milagros bukanlah kanak-kanak pertama yang terkorban akibat cabaran ini.
Sepanjang musim panas, Leon Brown, 14, dan Archie Battersbee, 12, dari Britain didakwa meninggal dunia akibat aksi sama.
Cabaran tular membawa maut yang juga dikenali sebagai ‘blackout challenge’ itu menggalakan pengguna laman sosial untuk membuat diri sesak nafas sehingga pitam.
Pakar memberi amaran trend pelik itu berbahaya dan boleh mengakibatkan pengsan, kerosakan otak, sawan dan lain-lain yang lebih teruk.
Dalam pada itu, pengguna Tiktok disarankan untuk melaporkan mana-mana kandungan cabaran tersebut yang terdapat di laman sosial itu.
Sumber: New York Post