Terkini
Jurulatih, guru sukan dicadang wajib ikuti kursus hak asasi manusia dan kanak-kanak – Suhakam
Suhakam mencadangkan semua jurulatih dan guru sukan diwajibkan mengikuti kursus hak asasi manusia dan hak kanak-kanak sebelum..
- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) cadangkan semua jurulatih dan guru sukan wajib ikuti kursus hak asasi manusia dan hak kanak-kanak sebelum dapatkan lesen pengajar.
- Cadangan dibuat supaya insiden jurulatih bola tampar yang menampar dua pemainnya yang tular sebelum ini tidak berulang. – Pengerusinya, Rahmat Mohamad
- “Selaku penandatangan pada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak 1989 (CRC) adalah jadi tanggungjawab negara pastikan hak kanak-kanak untuk libatkan diri secara bebas dalam aktiviti permainan dan rekreasi diiktiraf dan dihormati,”
- “Suhakam sarankan ibu bapa atau penjaga laporkan kes kekasaran atau insiden menjatuhkan maruah anak mereka pada polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), KBS atau KPM,” katanya.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mencadangkan semua jurulatih dan guru sukan diwajibkan mengikuti kursus hak asasi manusia dan hak kanak-kanak sebelum mendapatkan lesen pengajar.
Pengerusinya, Rahmat Mohamad, berkata cadangan itu dibuat supaya insiden jurulatih bola tampar yang menampar dua pemainnya yang tular sebelum ini tidak berulang.
“Selaku penandatangan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak 1989 (CRC) adalah menjadi tanggungjawab negara memastikan hak kanak-kanak untuk melibatkan diri secara bebas dalam aktiviti permainan dan rekreasi diiktiraf dan dihormati,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Rahmat berkata tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) membatalkan lesen jurulatih terbabit adalah isyarat tegas kepada semua jurulatih dan guru sukan untuk tidak mengasari anak murid mereka.
Katanya, tindakan itu memberi jaminan kanak-kanak dan remaja tidak akan dikasari dan dijatuhkan maruah oleh mana-mana pihak apabila menyertai aktiviti sukan, kesenian atau kebudayaan.
“Sekiranya insiden sebegini tidak ditangani sewajarnya, dikhuatiri emosi kanak-kanak akan terganggu dan mereka mungkin berasa takut untuk bermain serta menyertai aktiviti sukan,” katanya.
Pada 12 Jan lalu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata jurulatih yang menampar dua pemainnya tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan itu terutama untuk murid sekolah.
Hannah memaklumkan Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bola Tampar Malaysia sebulat suara memutuskan jurulatih itu sepatutnya hilang kelayakan menjadi jurulatih, selepas siasatan dimuktamadkan.
Sementara itu, Rahmat berkata Suhakam turut menyarankan ibu bapa atau penjaga melaporkan kes kekasaran atau insiden menjatuhkan maruah anak mereka kepada polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), KBS atau KPM.
Katanya, ini sebagai usaha kolektif untuk menangani isu dengan lebih proaktif.
Sumber: FreeMalaysiaToday