Terkini
Johari lantik peguam bantu selesai isu Kampung Sungai Baru
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani terus berusaha mencari penyelesaian permasalahan yang dihadapi oleh pemilik rumah teres dan penduduk flat Kampung Sungai Baru di sini, yang masih belum berpindah.
- Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani berusaha mencari penyelesaian permasalahan yang dihadapi oleh pemilik rumah teres dan penduduk Kampung Sungai Baru.
- Johari juga turut membawa peguam untuk memudahkan mereka mendapat nasihat perundangan mengenai permasalahan itu.
- “Saya menyarankan pemilik yang memerlukan lebih masa untuk berpindah membuat surat rayuan kepada Jabatan Tanah & Galian dan pemaju,” katanya.
- Beliau juga akan menyokong setiap permohonan dan penduduk yang belum mendapat rumah akan ditempatkan di rumah sewa awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani terus berusaha mencari penyelesaian permasalahan yang dihadapi oleh pemilik rumah teres dan penduduk flat Kampung Sungai Baru di sini, yang masih belum berpindah.
Dalam perkembangan terbaharu, Johari mengadakan dialog selama empat jam bersama penduduk untuk membincangkan masalah yang dihadapi mereka.
Johari berkata, dialog dua hala ini penting untuk beliau mendapatkan input sebenar secara terus daripada penduduk mengenai permasalahan dan situasi yang sedang dihadapi.
“Saya juga turut membawa peguam untuk memudahkan mereka mendapatkan nasihat perundangan mengenai apa sahaja persoalan dan permasalahan yang membabitkan isu-isu perundangan yang berkaitan secara telus,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Sebelum ini, Johari dilaporkan berkata, penduduk terbabit memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan bagi mencari tempat tinggal baharu.
“Saya menyarankan kepada pemilik yang memerlukan lebih masa untuk berpindah agar membuat surat rayuan kepada Jabatan Tanah & Galian dan pemaju.
“Saya akan menyokong setiap permohonan tersebut. Pertemuan juga sudah dibuat dengan Datuk Bandar bertujuan membantu menempatkan baki penduduk yang belum mendapat rumah untuk berpindah, supaya dapat ditempatkan di rumah sewa awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” Katanya.
Katanya, beliau juga akan melantik peguam bagi mewakili 90 peratus pemilik yang telah berpindah daripada kawasan itu, agar dapat memantau supaya pemaju dapat memulakan projek berkenaan dengan segera, sekali gus memastikan unit baharu kediaman dikembalikan kepada pemilik yang sudah menunggu begitu lama.
Tambahnya, pemilik yang telah dibayar pampasan sepenuhnya oleh pemaju perlu ditawarkan unit baharu, sekiranya mereka berminat untuk membeli kediaman itu apabila siap kelak.
Johari turut mengkritik ketiadaan koordinasi yang baik di antara pemaju, wakil rakyat dan Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini, sebelum pemilik diarahkan berpindah pada 2019 dan menyebabkan perkara itu menjadi “rumit” apabila lebih 90 peratus telah bersetuju untuk berpindah.
Sumber: Berita Harian