Antarabangsa
Individu 65 tahun ke atas diunjur lebih dua kali ganda menjelang pertengahan abad ini
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua negara memikirkan semula dasar dan kembangkan peluang seiring peningkatan usia penduduk dunia, menurut laporan baharu badan dunia itu semalam.

- Laporan Sosial Sedunia 2023 syorkan semua negara ‘memikirkan semula dasar dan amalan lapuk berkaitan mata pencarian serta pekerjaan’, susulan individu berumur 65 tahun ke atas diunjurkan melebihi dua kali ganda.
- Bersama-sama tangani ketidaksamaan ketika ini untuk manfaat generasi akan datang.- Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial, Li Junhua
- “Ketidaksamaan dalam dunia makin tua kerana bukan semua penduduk dapat manfaat yang sama kesan dari pembaharuan dalam kesihatan dan pendidikan yang memacu transformasi itu.”
- “Walaupun ramai warga tua mempunyai tahap kesihatan yang sangat baik atau ‘aktif dari segi ekonomi’, terdapat penduduk yang hidup dengan penyakit atau berdepan kemiskinan.”
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua negara memikirkan semula dasar dan kembangkan peluang seiring peningkatan usia penduduk dunia, menurut laporan baharu badan dunia itu semalam.
Laporan Sosial Sedunia 2023 mengesyorkan supaya semua negara ‘memikirkan semula dasar dan amalan lapuk berkaitan dengan mata pencarian serta pekerjaan’, susulan bilangan individu berumur 65 tahun ke atas diunjurkan melebihi dua kali ganda menjelang pertengahan abad ini.
Menurut kajian diterbitkan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB, penuaan penduduk adalah trend global pada ketika ini.
Setiap negara boleh meraih manfaat dengan memberi peluang kepada semua individu yang sedang meningkat usia berada dalam keadaan sihat dengan menggalakkan peluang sama rata sejak lahir.
“Bersama-sama kita boleh menangani ketidaksamaan yang berlaku pada ketika ini untuk manfaat generasi esok, mengurus cabaran dan memanfaatkan peluang disebabkan oleh penuaan penduduk,” kata Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial, Li Junhua.
Pada 2021, 761 juta orang di seluruh dunia berumur 65 tahun ke atas dan ia diunjurkan meningkat kepada 1.6 bilion menjelang 2050 manakala bilangan orang yang berumur 80 tahun ke atas turut meningkat dengan lebih cepat.
Pada peringkat global, kanak-kanak yang dilahirkan pada 2021, secara puratanya hidup sehingga 71 tahun dengan jangka hayat wanita lebih panjang berbanding lelaki.
Ia menunjukkan jangka hayat manusia ketika ini hampir 25 tahun lebih lama berbanding bayi yang dilahirkan pada 1950.
Afrika Utara, Asia Barat dan Afrika sub-Sahara, kini mengalami pertumbuhan terpantas untuk penduduk warga tua dalam tempoh 30 tahun akan datang.
Setakat ini, Eropah dan Amerika Utara digabungkan mempunyai bahagian tertinggi penduduk berusia lanjut.
Bagaimanapun, laporan itu menunjukkan ketidaksamaan dalam dunia makin tua kerana bukan semua penduduk mendapat manfaat yang sama kesan daripada pembaharuan dalam kesihatan dan pendidikan yang memacu transformasi itu.
Walaupun ramai warga tua mempunyai tahap kesihatan yang sangat baik atau ‘aktif dari segi ekonomi’, terdapat penduduk yang hidup dengan penyakit atau berdepan kemiskinan.
Tambahnya, penduduk global yang semakin tua bermakna peningkatan keperluan untuk penjagaan jangka panjang, dengan kelemahan ini dapat dilihat ketika pandemik COVID-19.
Malangnya, perbelanjaan awam di kebanyakan negara tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.
Jangka hayat sangat dipengaruhi faktor seperti pendapatan, pendidikan, jantina, etnik dan tempat tinggal.
“Beberapa kombinasi faktor ini terlalu kerap membawa kepada kelemahan sistemik yang bermula pada awal kehidupan,” kata penulis dalam laporan berkenaan.
Mereka turut memberi amaran bahawa tanpa dasar untuk menghalangnya, kelemahan sistemik itu akan menjejaskan keseluruhan kehidupan orang ramai, yang membawa kepada jurang besar bagi kelompok lebih berusia.
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login