Terkini
Bekalan telur ayam di Kelantan belum stabil, sukar diperoleh di pasaran
Masalah bekalan telur ayam di Kelantan masih meruncing dan belum stabil apabila bahan mentah itu sukar diperoleh di pasaran.

- Tinjauan ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, hari ini, mendapati telur ayam bagi gred A, B dan C di beberapa kedai meruncing kerana bekalan habis.
- Telur ayam dijual RM16.50 bagi gred A, RM15.50 bagi gred B dan gred C pula, RM14.50.
- Mendapat bekalan sedikit dan tidak dapat penuhi permintaan pembeli, namun dia bersyukur kerana dapat mengambil bekalan dari FAMA walaupun ia masih tidak mencukupi. – Peniaga telur, Ahmad Yusran Yusuff
- “Kebanyakan kedai dan pasar raya, mereka hadkan pembelian hanya satu papan seorang pembeli. Saya harap kerajaan memantau perkara ini supaya bekalan telur ayam kembali stabil sekali gus dapat turunkan harga bahan mentah ini.” – Peniaga roti, Zuki Zakaria
KOTA BHARU: Masalah bekalan telur ayam di Kelantan masih meruncing dan belum stabil apabila bahan mentah itu sukar diperoleh di pasaran.
Tinjauan ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, hari ini, mendapati telur ayam bagi gred A, B dan C di beberapa kedai meruncing kerana bekalan habis.
Telur ayam ini dijual masing-masing RM16.50 bagi gred A, RM15.50 bagi gred B dan gred C pula, RM14.50.
Peniaga, Shahrul Fitri Mahasan, 24, berkata bekalan telur ayam sukar diperoleh sejak akhir tahun lalu dan stoknya pula terhad.
Katanya, sebelum ini, dia mengambil bekalan telur daripada pemborong di sekitar bandar ini, namun kini sukar untuk mendapat bekalan gred A, B dan C.
“Sejak awal bulan ini, saya mengambil bekalan ayam daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang diperoleh sekitar 100 papan seminggu.
“Langkah itu diambil bagi menampung permintaan orang ramai, namun ia belum mencukupi kerana kebiasaannya saya mendapat bekalan lebih 300 papan seminggu yang dibeli daripada pemborong,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Peniaga telur, Ahmad Yusran Yusuff, 31, berkata bekalan telur meruncing berikutan kedainya sukar mendapatkan stok bahan mentah itu.
Katanya, dia juga mendapat bekalan yang sedikit dan tidak dapat memenuhi permintaan pembeli, namun dia bersyukur kerana dapat mengambil bekalan daripada FAMA walaupun ia masih tidak mencukupi.
Peniaga roti, Zuki Zakaria, 48, berkata sebagai peniaga roti dia memerlukan kira-kira tiga papan telur sehari, namun ia sukar untuk mendapatkan bekalan pada masa ini.
“Saya terpaksa mencari di beberapa kedai termasuk pasar raya untuk mendapatkan stok telur ayam dan jika ada ia sangat terhad.
“Kebanyakan kedai dan pasar raya, mereka mengehadkan pembelian hanya satu papan untuk seorang pembeli. Saya harap kerajaan memantau perkara ini supaya bekalan telur ayam kembali stabil sekali gus dapat menurunkan harga bahan mentah ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian
