Terkini
SOSMA berat sebelah dan terdedah penyalahgunaan – MUDA
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) disifatkan rang undang-undang (RUU) yang sangat berat sebelah, malah kuasa menyeluruh melingkari akta itu membolehkan ia terdedah kepada penyalahgunaan.
- Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Zaidel Baharudin berpendapat satu undang-undang jauh lebih baik boleh dirangka menangani isu keselamatan melaksanakan tindakan yang cepat.
- Menurutnya, banyak negara demokrasi lain berdepan ancaman keganasan namun mereka tetap mekanisme semak imbang untuk pastikan hak individu terjamin.
- Zaidel juga mengakui SOSMA akta yang lebih progresif jika dibandingkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun memberikan banyak kuasa kepada pihak penguasa tanpa sebarang semak dan imbang.
- “Saya berpendapat kuasa yang menyeluruh seperti ini membolehkan ianya terdedah kepada penyalahgunaan,” katanya.
KUALA LUMPUR: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) disifatkan rang undang-undang (RUU) yang sangat berat sebelah, malah kuasa menyeluruh melingkari akta itu membolehkan ia terdedah kepada penyalahgunaan.
Justeru, Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Zaidel Baharudin berpendapat satu undang-undang yang jauh lebih baik boleh dirangka bagi menangani isu keselamatan, yang memberi kuasa untuk melaksanakan tindakan yang cepat namun mempunyai proses semak dan imbang yang jelas.
“Banyak negara demokrasi lain yang berdepan ancaman keganasan yang aktif mempunyai RUU khusus bagi menangani ancaman ini.
“Namun mereka tetap meletakkan mekanisme semak imbang untuk memastikan hak individu warga negara terjamin,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas pendirian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa beliau tidak bercadang untuk mengkaji semula akta SOSMA.
Menurut Saifuddin, SOSMA berbeza dengan ISA kerana ada ruang untuk proses mahkamah selepas tamat tempoh penahanan maksimum 28 hari sebagaimana ditetapkan.
Dalam pada itu, Zaidel mengakui SOSMA sebagai akta yang lebih progresif jika dibandingkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun ia memberikan banyak kuasa kepada pihak penguasa tanpa sebarang semak dan imbang.
Memberi contoh penahanan selama 28 hari tanpa perlu melalui proses mahkamah, katanya bagi seorang individu biasa ia satu hukuman yang amat berat tanpa sebarang perbicaraan atau pertuduhan.
“Kita juga telah melihat contoh lalu, bagaimana ahli Parlimen PKR sendiri yang ditahan di bawah SOSMA kerana terbabit dalam penganjuran BERSIH.
“SOSMA juga membenarkan pihak penguat kuasa memintas komunikasi secara terus tanpa sebarang mekanisme semak dan imbang yang jelas.
“Saya berpendapat kuasa yang menyeluruh seperti ini membolehkan ianya terdedah kepada penyalahgunaan,” katanya.
Malam tadi, Saifuddin mengulangi pendiriannya berhubung keperluan pelaksanaan SOSMA dengan menyatakan peruntukan itu akan membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah terancang, terutama membabitkan tangkapan ahli sindiket terbabit dalam jumlah yang ramai.
Menteri Dalam Negeri itu mengakui berdepan pelbagai kritikan berhubung pendiriannya termasuk daripada Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo yang memintanya mengkaji semula SOSMA.
Sumber : Berita Harian