Connect with us

Terkini

Pakar ekonomi draf kenyataan media buat Rafizi

Pakar ekonomi membuat draf kenyataan media untuk Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dengan topik ‘Membendung Kenaikan Harga Melalui Kebijaksanaan Kepenggunaan’.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Pakar ekonomi draf kenyataan media buat Rafizi
Foto: Rafizi Ramli (kiri), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali (kanan).
  • Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dalam kenyataan itu berkata, beliau cuba untuk menyelami hujah Rafizi dengan meneliti beberapa pandangan Ahli Parlimen Pandan itu yang dikeluarkan beberapa hari lalu.
  • Menurutnya, Rafizi cenderung melihat kepada manfaat perkongsian data bersifat analitik di mana di situ terdapat ketepatan ekonominya
  • Justeru beliau, ‘mencuba’ mentakrifkan apa sebenarnya ingin disampaikan Rafizi dengan mendraf semula kenyataan media bagi Menteri Ekonomi itu.

KUALA LUMPUR – Pakar ekonomi membuat draf kenyataan media untuk Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dengan topik ‘Membendung Kenaikan Harga Melalui Kebijaksanaan Kepenggunaan’.

Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dalam kenyataan itu berkata, beliau cuba untuk menyelami hujah Rafizi dengan meneliti beberapa pandangan Ahli Parlimen Pandan itu yang dikeluarkan beberapa hari lalu.

Menurutnya, Rafizi cenderung melihat kepada manfaat perkongsian data bersifat analitik di mana di situ terdapat ketepatan ekonominya. 

Justeru beliau, ‘mencuba’ untuk mentakrifkan apa yang sebenarnya ingin disampaikan Rafizi dengan mendraf semula kenyataan media bagi Menteri Ekonomi itu.

“Kerajaan menyedari kita kini berhadapan dengan tekanan ke atas harga, khususnya harga makanan dan kos makan diluar rumah.  Walaupun kadar inflasi keseluruhan negara berada di tahap empat peratus, kadar inflasi untuk kedua-dua kategori perbelanjaan ini meningkat lebih tinggi iaitu 7.3 peratus dan 9.6 peratus.

“Selain menangani aspek pengeluaran dan penawaran, membenteras tindakan monopolistik serta kartel yang menekan pengguna dan meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan negara, pengguna juga mempunyai peranan untuk mempengaruhi dan memastikan harga di pasaran agar menjadi harga yang adil untuk pengguna dan pengeluar.

“‘Kebijaksanaan Pengguna’ adalah kuasa pengguna yang dapat meredakan kenaikan harga, khususnya peningkatan harga yang tidak berpatutan. Pengguna berupaya mempengaruhi harga dipasaran dan mendispilinkan peniaga untuk menawarkan harga yang adil bersandarkan faktor penawaran dan permintaan asli.

“Kerajaan akan meningkatkan perkongsian data dan maklumat kepada rakyat berkaitan harga barangan dan perkhidmatan dengan lebih kerap dan terperinci bagi membolehkan pengguna membuat keputusan terbaik dalam keputusan kepenggunaan masing-masing.

“Satu pengkalan data dan info analitik bersifat ‘real time’ dan khusus-lokasi serta mudah dicapai dan difahami rakyat akan dibangunkan. Dengan maklumat terkini, lengkap dan mudah, rakyat akan boleh membuat perbandingan harga ke atas sesuatu barangan dan perkhidmatan di lokasi masing-masing, “ kata beliau dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, perkongsian maklumat dan data ini akan meningkatkan kebijaksanaan pengguna dalam membuat keputusan kepenggunaan serta mampu mendisiplinkan pengeluar atau peniaga untuk menawarkan produk dan perkhidmatan pada harga adil serta kompetitif.

Di samping itu, kesediaan pengguna untuk membuat peralihan gaya hidup yang bersesuaian tanpa menjejaskan kualiti kehidupan juga akan ditingkatkan.

Azlan Ghazali dalam kenyataan sama berkata,  usaha khusus akan digerakkan bagi meningkatkan kefahaman rakyat tentang diet dan tatacara pemakanan sihat yang mampu dilaksanakan masyarakat.

Katanya, kebijakan kepenggunaan seharusnya juga mewujudkan masyarakat sihat tubuh badan melalui pemakanan seimbang.

Beliau menambah, melaluinya rakyat akan lebih bersedia membuat perubahan dalam raga perbelanjaan makanan mereka yang juga akan meredakan peningkatan harga berlebihan.

“Kita harus menerima kenyataan dan bersedia mengubah gaya hidup bersesuaian dengan anjakan negara ke status negara maju dan berpendapatan tinggi. 

“Kerajaan akan memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat akan dapat menikmati pendapatan lebih baik dan kehidupan lebih berkualiti dengan anjakan status negara ini. Gaya hidup negara maju perlu diterapkan sebagai budaya hidup baharu.

“Kerajaan menggalakkan pembudayaan memenuhi keperluan hidup secara kendiri atau D.I.Y. – ‘Do it Yourself’. Kebiasaan makan diluar yang kini agak tinggi boleh dikurangkan dengan penyediaan makanan secara kendiri tanpa menjejaskan kualiti. 

“Penghasilan produk-produk berkaitan oleh pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) mampu memenuhi anjakan gaya hidup ini. Pengusaha kedai makan juga boleh memperkenalkan model perniagaan baharu agar dapat memenuhi keperluan makan diluar rumah pada kos berpatutan,” katanya yang mendraf semula kenyataan media untuk Menteri Ekonomi.

Justeru, katanya kerajaan menyeru rakyat untuk tampil bersama, membantu kerajaan membendung kenaikan harga tidak berpatutan. 

Tambahnya, kerajaan menyanjung kebijaksanaan kepenggunaan rakyat selain turut berazam mewujudkan pasaran sihat dan adil untuk semua. 

Juga, berusaha meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan bagi memenuhi keperluan rakyat akan terus dipertingkatkan.

Katanya, dengan persaingan sihat dan produktiviti tinggi, harga yang adil akan tercapai, menang-menang untuk kedua belah pihak, pengeluar dan pengguna di mana seiring itu kerajaan akan terus berusaha mencari jalan yang terbaik bagi membendung kenaikan harga makanan.

“Secara ringkas, hipotesis YB Menteri ialah dengan keanjalan permintaan yang lebih tinggi, kenaikan harga akan mendorong kepada pengurangan permintaan dan tindakan ini akan menyebabkan penurunan harga berlaku atau setidaknya meredakan kenaikan harga makanan.

“Setidaknya ada dua persoalan perlu dijelaskan, permintaan apa dan permintaan siapa? YB Menteri jelas merujuk kepada permintaan untuk makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang sebanyak 29.5 peratus dalam raga penggunaan yang digunakan untuk pengiraan Indeks Harga Pengguna oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. 

“Jumlah ini terdiri dari tiga komponen utama iaitu makanan dirumah (16.9 peratus), makanan diluar rumah (11.5 peratus) dan minuman (1.1 peratus).

“Berdasarkan laporan terkini yang diumumkan, sebanyak 671 (80 peratus) dari 841 items yang dipantau telah mencatat kenaikan harga. 

“Kadar inflasi untuk makanan dirumah mencecah 7.3 peratus dan kadar inflasi makan diluar rumah meningkat lebih tinggi pada kadar 9.6 peratus, berbanding kadar inflasi keseluruhan yang merangkumi semua kategori perbelanjaan iaitu 4 peratus,” kata beliau mengulas semula cadangan Rafizi yang ingin meredakan kenaikan harga makanan bersandarkan kepada keanjalan permintaan rakyat.

Cadangan itu, telah mendapat pelbagai reaksi dan disifatkan menyebabkan satu negara kecoh.

“Dengan ‘andaian’ semuanya kekal sama, penurunan dalam permintaan berpunca dari kenaikan harga (tertakluk kepada keanjalan) akan menyebabkan harga lebih rendah dan jumlah permintaan dapat dipenuhi juga akan menjadi lebih rendah. 

“Ini membawa kepada persoalan kedua-permintaan siapa? Siapakah yang akan menanggung beban mengurangkan permintaan ini? Siapakah yang perlu mengorbankan permintaan sedia ada? Si Kaya atau Si Miskin? Saranan ini menjadi polemik.

“Ramai yang hilang punca, keluar dari ehwal ekonomi negara, terus berpolitik pula,” kata beliau.

Pada 23 Disember lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata pengguna perlu berperanan menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini. 

Menurutnya, seandainya pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan. – The Merdeka Times

Sumber : Facebook ​​Noor Azlan Ghazali

 

Author