Connect with us

Terkini

Muafakat Nasional adalah NGO bukan gerakan politik – Tan Sri Annuar Musa

Muafakat Nasional (MN) akan kekal sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak terbabit dalam gerakan politik.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Muafakat Nasional adalah NGO bukan gerakan politik - Tan Sri Annuar Musa
Foto: Tan Sri Annuar Musa
  • Muafakat Nasional (MN) akan kekal sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak terbabit dalam gerakan politik.
  • Presiden, Tan Sri Annuar Musa, berkata MN akan memainkan peranan menanam nilai serta kefahaman kenegaraan berasaskan tiga prinsip, iaitu kasih sayang, perpaduan dan saling menghormati.
  • Antara yang menjadi ahli dan dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN ialah Datuk Seri Tengku Idris Sultan Abu Bakar; bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar; pakar perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz; dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
  • “Di sinilah kita rasa MN boleh memainkan peranan, di mana anggotanya adalah daripada pelbagai parti dan sebagaimana NGO lain, kita melakukan sekadar yang termampu.”- Presiden, Tan Sri Annuar Musa.

 

KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) akan kekal sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak terbabit dalam gerakan politik.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, berkata MN akan memainkan peranan menanam nilai serta kefahaman kenegaraan yang berasaskan tiga prinsip, iaitu kasih sayang, perpaduan dan saling menghormati.

Beliau menjelaskan, keahlian MN terbuka kepada semua, termasuk ahli parti politik, dan sudah menerima penyertaan hampir mencecah 20,000 orang, setakat hari ini.

Katanya, antara yang menjadi ahli dan dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN ialah Datuk Seri Tengku Idris Sultan Abu Bakar; bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar; pakar perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz; dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Selain itu, penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, dan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof serta Ummi Nazeera Nurhidayah Zainul Abidin.

“Harus ada usaha tersusun untuk melatih rakyat, terutama generasi muda supaya dapat memahami… yang mana jika rasa bertanggungjawab mahu membangunkan negara, kita menanam nilai ini dengan cara teratur.

“Di sinilah kita rasa MN boleh memainkan peranan, di mana anggotanya adalah daripada pelbagai parti dan sebagaimana NGO lain, kita melakukan sekadar yang termampu.

“Kita tidak akan menjadi satu badan yang glamor, kaya-raya, kuat serta mengancam sesiapa. Kita mahu mengambil pendekatan positif dan konstruktif,” katanya pada sidang media di pejabat MN, di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Annuar berkata, antara inisiatif awal MN ialah melancarkan Sekolah Memahami Pemahaman Negara (SEMPURNA) yang meliputi semua elemen nasionalisme tinggi berteraskan prinsip Rukun Negara.

Ditanya sama ada MN akan menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) yang menghimpunkan parti politik dan NGO pula, Annuar berkata, MN tidak akan memasuki mana-mana gabungan politik.

“Itu pendirian kita. Kalau kita buat begitu, ia akan melanggar (peraturan) Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Jadi, kita akan kekal sebagai NGO. Kita bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan atau sesiapa saja demi kebaikan negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *