Terkini
Kaji semula dasar sekat kanak-kanak pelarian dapatkan pendidikan formal – Tuanku Muhriz
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menggesa kerajaan mengkaji semula dasar yang menyekat kanak- kanak pelarian atau tanpa kerakyatan untuk mendapat akses kepada pendidikan formal.
- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan menggesa kerajaan kaji semula dasar yang menyekat kanak-kanak tanpa kerakyatan untuk mendapatkan pendidikan formal.
- Ia bertujuan menghapuskan kitaran generasi kemiskinan dalam kalangan pelarian dan bakal menjadi usaha penting yang memanfaatkan negara.
- “Jika kanak-kanak ini diberi akses kepada pendidikan, mereka akhirnya boleh hidup sendiri dan bebas daripada bantuan kerajaan,” titah baginda.
- Menurut Tuanku Muhriz, beberapa NGO telah menyahut seruan ini dan melalui kemampuan mereka, beberapa kisah kejayaan berjaya diciptakan.
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menggesa kerajaan mengkaji semula dasar yang menyekat kanak- kanak pelarian atau tanpa kerakyatan untuk mendapat akses kepada pendidikan formal.
Dalam Titah Diraja sempena Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 hari ini, baginda menggesa kajian semula terhadap dasar itu dilakukan untuk menghapuskan kitaran generasi kemiskinan dalam kalangan pelarian atau tanpa kerakyatan dan ia bakal menjadi usaha penting yang memanfaatkan negara.
“Dasar kerajaan telah menafikan kanak-kanak yang menjadi pelarian atau tanpa kerakyatan mendapat akses kepada pendidikan formal. Dasar ini mengakibatkan kitaran generasi kemiskinan dan kemelaratan yang membebankan masyarakat.
“Jika kanak-kanak ini diberi akses kepada pendidikan, mereka akhirnya boleh hidup sendiri dan bebas daripada bantuan kerajaan, titah baginda.
Menurut Tuanku Muhriz beberapa pertubuhan masyarakat sivil (CSO) atau badan bukan kerajaan (NGO) telah menyahut seruan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan ini, dan melalui kemampuan mereka, beberapa kisah kejayaan telah berjaya diciptakan.
Baginda bertitah contohnya inisiatif yang dilakukan Yayasan Chow Kit sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang mengendalikan pusat dan krisis selama 24 jam dengan menyediakan makanan, terapi, pengurusan kes dan program pendidikan untuk kanak-kanak berisiko yang tinggal di sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur.
Sehingga kini Yayasan (Chow Kit) mempunyai lebih 100 belia yang berjaya yang mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi atau menjadi pemilik perusahaan perniagaan. Kejayaan ini disebabkan oleh sedikit kelonggaran dasar kerajaan,” titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah sejak 2017, Kementerian Pendidikan telah mendaftarkan 15 pusat
pembelajaran pelarian sebagai institusi pendidikan swasta.
Tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan, kerana menurut UNHCR (Suruhanjaya Tinggi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) terdapat kira-kira 40,000 anak pelarian dan pencari suaka berdaftar di Malaysia, titah baginda.
Mengenai isu kemiskinan khususnya yang berkaitan dengan golongan miskin tegar dan gelandangan Tuanku Muhriz bertitah kerajaan telah mengambil banyak inisiatif ke arah menangani isu berkenaan, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan.
Baginda bertitah banyak CSO berusaha untuk menyediakan penjagaan bagi mereka tetapi penyelesaian holistik dan jangka panjang diperlukan dan berharap agensi kerajaan akan bekerjasama dengan CSO ini untuk mengatasi isu kemelaratan dan kehilangan tempat tinggal.
Tuanku Muhriz menyeru kerajaan untuk menjalinkan hubungan lebih rapat dengan CSO dan NGO tersebut dan mengkaji beberapa dasar.
“Melalui usaha-usaha ini, negara dapat memastikan Tiada Yang Tercicir,” tambah baginda.
Mengenai kesihatan, Tuanku Muhriz mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan kerana menggadaikan diri dan berdepan risiko dalam melaksanakan tugas mereka.
“Saya menggesa pihak berkuasa berkenaan agar sentiasa mengkaji semula kebolehcapaian kumpulan terpinggir ke kemudahan penjagaan kesihatan,” tambahnya.
Baginda bertitah sejak bertahun lamanya, kerajaan telah melakukan pelbagai perkara untuk meringankan kehidupan gollagan terpinggir manakala CSO dan NGO menerusi inisiatif sendiri telah mengisi kekosongan untuk meningkatkan lagi kehidupan golongan ini.
Hari Hak Asasi Manusia disambut pada 10 Dis setiap tahun dengan tema tahun ini ‘Strengthening and Enhancing Human Rights Towards Leaving No One Behind” (Memperkukuh dan Mempertingkatkan Hak Asasi Manusia Tanpa Meminggirkan Sesiapapun).
Sumber : BERNAMA