Connect with us

Terkini

Isu telur: Idea Mat Sabu tak masuk akal – Bos Mydin

Cadangan yang dikemukakan untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur dengan mengimport sumber protein itu dibidas bos Pasaraya Mydin. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Isu telur: Idea Mat Sabu tak masuk akal - Bos Mydin
Foto: Mohamad Sabu (kiri), Datuk Dr Ameer Ali Mydin (kanan).
  • Cadangan Mat Sabu untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur dengan mengimport sumber protein itu dibidas bos Pasaraya Mydin. 
  • Datuk Dr Ameer Ali Mydin menyifatkan cadangan itu tidak masuk akal kerana Malaysia adalah pengeksport bersih makanan itu.
  • Menurutnya, langkah terbaik adalah dengan menghentikan mengeksport telur ke Singapura dan Hong Kong. 
  • “Telur mempunyai jangka hayat singkat iaitu 21 hari dan tidak boleh dibekukan. Jadi dari aspek logistik, anda perlu mengimportnya dari negara di rantau ini,” kata Datuk Ameer.

Cadangan yang dikemukakan untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur dengan mengimport sumber protein itu dibidas bos Pasaraya Mydin. 

Pengarah Urusan Rangkaian Pasaraya Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin menyifatkan cadangan tersebut tidak masuk akal kerana Malaysia adalah pengeksport bersih makanan itu dan langkah terbaik adalah dengan menghentikan mengeksport telur ke Singapura dan Hong Kong. 

“Jika pihak berkuasa mengatakan kita mengeluarkan telur yang mencukupi untuk pasaran domestik, mana (telurnya)? Peruncit tidak mempunyai bekalan mencukupi,” katanya yang dipetik portal FMT. 

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata kerajaan bersetuju mengimport telur ayam dari beberapa sumber luar sebagai langkah jangka pendek untuk memastikan bekalan mencukupi. 

Dalam pada itu, Ameer berkata, sekiranya kerajaan memutuskan untuk meneruskan rancangan itu, pihak berkenaan perlu menjelaskan sama ada mana-mana syarikat boleh mengimport telur atau peruncit perlu melalui syarikat yang dilantik. 

“Kerajaan juga harus menyediakan senarai negara sumber telur dan senarai pengeluar yang diluluskan dari negara berkenaan. Namun sukar untuk melihat bagaimana langkah mengimport telur ini dapat menyelesaikan masalah. 

“Telur mempunyai jangka hayat yang singkat iaitu 21 hari dan tidak boleh dibekukan. Jadi dari aspek logistik, anda perlu mengimportnya dari negara di rantau ini. 

“Harga telur paling rendah adalah di Malaysia. Sedozen telur Gred C berharga RM4.92, tetapi di Thailand, ia bersamaan dengan RM7.42, Singapura (RM12.24), Indonesia (RM6.55), Brunei (RM10.15) dan Vietnam (RM5.78). 

“Saya tidak nampak bagaimana telur yang diimport mampu dimiliki rakyat Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata, satu-satunya jenis telur yang terdapat di pasaran dalam kuantiti yang mencukupi ialah telur yang tidak tertakluk kepada kawalan harga, seperti Omega 3 yang boleh mencapai harga 75 sen sebiji. 

Dakwanya, kebanyakan perniagaan terpaksa membeli telur jenis itu dan ia menyebabkan harga lebih tinggi di kedai roti dan restoran. 

“Perkara paling mudah dilaksanakan adalah kerajaan menarik balik kawalan harga. Walaupun pengeluar menaikkan harga telur sebanyak 10 sen setiap satu, ia masih lebih rendah daripada 75 sen bagi setiap telur Omega 3,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *