Antarabangsa
Diskriminasi kaum punca masalah alkohol dalam kalangan pelajar Asia Amerika
Diskriminasi kaum mungkin menyebabkan masalah berkaitan alkohol dalam kalangan pelajar Asia Amerika, demikian menurut kajian diterbitkan dalam Asian American Journal of Psychology.

- Pelajar Asia Amerika mengalami masalah penyalahgunaan alkohol disebabkan tertekan dengan diskriminasi kaum yang dialami.
- Kajian diterbitkan dalam Asian American Journal of Psychology, membabitkan lebih 1,400 pelajar Asia kelahiran Amerika Syarikat (AS) di universiti awam California Selatan sebelum pandemik.
- Semua pelajar yang ditinjau melaporkan mengalami satu insiden perkauman, dan hampir dua pertiga mengalami sekurang-kurangnya dua insiden terbabit.
- Antara diskriminasi yang dialami ialah layanan kurang sopan daripada orang lain, menerima perkhidmatan lebih buruk berbanding orang lain di restoran atau kedai dan tahap kebijaksanaan dipandang rendah.
Diskriminasi kaum mungkin menyebabkan masalah berkaitan alkohol dalam kalangan pelajar Asia Amerika, demikian menurut kajian diterbitkan dalam Asian American Journal of Psychology.
Memetik laporan NBC, kajian yang dijalankan sebelum pandemik itu membabitkan lebih 1,400 pelajar Asia kelahiran Amerika Syarikat (AS) di universiti awam California Selatan dengan majoriti pelajar Asia.
Hasil kajian mendapati majoriti pelajar itu melaporkan mengalami masalah perkauman dan meminum arak untuk mengatasi masalah tekanan psikologi mereka.
“Orang dewasa muda Asia Amerika secara amnya diabaikan dalam sains ketagihan,” kata pengarang utama dan profesor psikologi bersekutu di Universiti Maryland, Derek Iwamoto kepada NBC.
Beliau berkata, “kami mahu mengenal pasti kumpulan berisiko tinggi di kalangan orang Asia Amerika”.
Kajian baharu itu menggunakan metrik diskriminasi kaum harian bagi mengukur pengalaman pelajar dengan diskriminasi kaum (layanan kurang sopan daripada orang lain, menerima perkhidmatan yang lebih buruk berbanding orang lain di restoran atau kedai, tahap kebijaksanaan dipandang rendah), dan skala psikologi Kessler untuk menilai keresahan dan simptom kemurungan ketika rawatan sedemikian.
Indeks masalah alkohol Rutgers pula digunakan untuk mengukur masalah berkaitan alkohol.
Iwamoto dan pasukannya mendapati, perkauman mempunyai kesan yang kuat terhadap pengambilan minuman keras.
Semua pelajar yang ditinjau melaporkan mengalami satu insiden perkauman dan hampir dua pertiga melaporkan mengalami sekurang-kurangnya dua insiden perkauman.
Ramai yang melaporkan meminum arak untuk mengatasi tekanan psikologi yang disebabkan pengalaman negatif itu.
“Jika seseorang didiskriminasikan, psikologi mereka akan merasa lebih tertekan, yang seterusnya boleh membawa kepada masalah berkaitan alkohol,” katanya.
Terdahulu, kadar gangguan penyalahgunaan alkohol dalam kalangan orang Asia Amerika dilaporkan lebih rendah daripada kaum lain.
Bagaimanapun, angka itu masih lebih tinggi berbanding orang Asia yang bukan kelahiran AS.
Menurut data Tinjauan Kebangsaan mengenai Penggunaan Dadah dan Kesihatan, kadar penyalahgunaan alkohol dalam kalangan remaja Asia Amerika di seluruh negara mendatar pada kira-kira 10 peratus.
Kadar untuk kumpulan kaum lain pula bagaimanapun menurun secara berterusan. Bagi orang kulit hitam Amerika, angka itu telah menurun sebanyak separuh.
Sumber: NBC
