Connect with us

Terkini

Berlaku pertikaman lidah ketika usul percaya terhadap PM dibahas

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 sesi petang kecoh seketika apabila berlaku pertikaman lidah antara ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Berlaku pertikaman lidah ketika usul percaya terhadap PM dibahas
Foto: Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Dewan Rakyat.
  • Kekecohan itu berlaku membabitkan pertikaman lidah antara ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat.
  • Kekecohan bermula selepas Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoal kandungan usul undi percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • “Kita tidak boleh menggunakan perkataan Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu untuk mempengaruhi majlis mesyuarat,” kata Shahidan.
  • Keadaan bertambah panas apabila ahli Dewan Rakyat daripada blok pembangkang dan kerajaan saling berbalas serangan. 
  • Situasi yang berlanjutan lebih lima minit itu bagaimanapun berjaya dikawal selepas  semua ahli Parlimen diminta agar bertenang. 

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 sesi petang kecoh seketika apabila berlaku pertikaman lidah antara ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.

Kekecohan bermula selepas Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoal kandungan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Ketika bangkit mencelah, Shahidan berkata, tidak sepatutnya institusi diraja terutamanya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja digunakan untuk mempengaruhi sidang Dewan Rakyat. 

“Kita tidak boleh menggunakan perkataan Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu untuk mempengaruhi majlis mesyuarat. Kita tidak perlu pakai, kita bawa usul tanpa menggunakan benda ini.

“Bagi kami (pembangkang), kalau Yang di-Pertuan Agong sudah absah kenapa hendak bawa ke sini lagi, jadilah Perdana Menteri,” katanya. 

Ucapan Shahidan itu bagaimanapun tidak dipersetujui Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah.

Ketika bangkit mencelah, Mohd Sany berkata, apa yang dilakukan Anwar itu disebabkan keberanian Ahli Parlimen Tambun tersebut. 

“Kita berani sebab Perdana Menteri yang ada hari ini berani tidak macam Perdana Menteri yang kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dahulu,” katanya.

Keadaan bertambah panas apabila ahli Dewan Rakyat daripada blok pembangkang dan kerajaan saling berbalas serangan. 

Situasi yang berlanjutan lebih lima minit itu bagaimanapun berjaya dikawal selepas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul meminta semua ahli Parlimen supaya bertenang. 

Terdahulu, Fadilah mengemukakan usul undi percaya terhadap Anwar yang berada turutan kelapan urusan persidangan. 

Usul itu kemudiannya disokong oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Ketika ini sedang berlangsung sesi perbahasan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *