Connect with us

Terkini

Walau bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan, PH tetap janji iktiraf UEC jika menang PRU15

Pakatan Harapan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sekiranya gabungan parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Walau bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan, PH tetap janji iktiraf UEC jika menang PRU15
Foto: Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • PH akan iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat am kelayakan memasuki IPTA, sekiranya menang PRU15.
  • Dengan itu, UEC akan dinilai setaraf syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.
  • Syarat dikenakan pemohon hanya perlu memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  • Kenyataan itu direkodkan dalam manifesto PH dikenali sebagai ‘Tawaran Harapan Kita Boleh’ yang dilancarkan hari ini, menerusi laman rasmi Parti Tindakan Demokratik (DAP).

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sekiranya gabungan parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dengan itu, UEC akan dinilai setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.

Namun, syarat yang dikenakan untuk mendapat pengiktirafan itu, pemohon hanya perlu memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kenyataan itu direkodkan dalam manifesto PH dikenali sebagai ‘Tawaran Harapan Kita Boleh’ yang dilancarkan hari ini, menerusi laman rasmi Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Manifesto itu ditawarkan berikutan, sehingga kini sijil tersebut masih belum diiktiraf untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam tempatan sedangkan ia telah diterima bagi kegunaan melanjutkan program Ijazah Sarjana Muda di Universiti-universiti terkemuka di luar negara.

Bagaimanapun, katanya tahun 2004 sijil tersebut telah diiktiraf untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), selain diterima masuk ke program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Cina) di Institusi Pendidikan Guru Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan pada 2010.

Ini adalah kesinambungan daripada pendirian Pakatan Rakyat dalam beberapa siri manifesto pilihan raya umum lalu yang telah berjanji untuk memberi pengiktirafan kepada sijil UEC namun masih belum tertunai. 

Untuk rekod, setakat Julai lalu, kerajaan kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata bahawa UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), menggunakan kurikulum yang digubal serta dibangunkan Dong Zong, selain menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.

Perkara itu jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, melaksanakan kurikulum kebangsaan dan menyediakan murid untuk menduduki peperiksaan yang sama.

Malah, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raouf Husin berkata, kerajaan akan dianggap mencabul keluhuran Perlembagaan negara sekiranya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – yang sukatan pelajarannya berkiblatkan Taiwan.

Berikutan itu juga ramai golongan menentang kerajaan Malaysia mengiktiraf sijil ini untuk kemasukan ke universiti awam yang ada di dalam negara ekoran ia didakwa berupaya memberi ancaman kepada kedaulatan Malaysia.

Antara universiti yang menerima UEC sebagai kelayakan asas adalah Oxford University, University of Cambridge, Australian National University, Kyoto University, California Institute of Technology, dan Peking University.

Author