Terkini
Sekularisme harus dikikis daripada ideologi ahli politik negara – Prof. Emeritus Tan Sri Dr Kamal Hassan
Sekularisme harus dikikis daripada terus menjadi darah daging politik di Malaysia, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Kamal Hassan.
- Sekularisme akan menyebabkan masyarakat Islam tidak boleh memperjuangkan agama dalam politik selain budaya sesebuah masyarakat itu juga hanya bersandarkan nilai-nilai manusia yang relatif.
- Penerimaan ideologi ini pada penghujungnya akan memperlihatkan konsep ummah itu sendiri tenggelam ekoran konsep nasionalisme ataupun patriotisme menjadi jauh lebih penting daripada ummatisme.
- “Kita tengok di England, Amerika cara hidup pemimpin mereka, macam mana pemimpin hidup dengan girlfriend dia yang dianggap sebagai isteri walaupun tanpa perkahwinan dan ia diterima.”
- Trend sekular sememangnya sudah ada dalam dunia politik kita, malah terdapat pemimpin-pemimpin Islam sendiri mempunyai kefahaman nasionalis namun pada masa sama cenderung kepada ideologi barat itu.
KUALA LUMPUR – Sekularisme harus dikikis daripada terus menjadi darah daging politik di Malaysia, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Kamal Hassan.
Ini berikutan, menurutnya sekularisme akan menyebabkan masyarakat Islam tidak boleh memperjuangkan agama dalam politik selain budaya sesebuah masyarakat itu juga akan hanya bersandarkan nilai-nilai manusia yang relatif.
Jelasnya, penerimaan ideologi ini pada penghujungnya akan memperlihatkan konsep ummah itu sendiri tenggelam ekoran konsep nasionalisme ataupun patriotisme menjadi jauh lebih penting daripada ummatisme.
Malah, sesebuah negara itu sendiri tidak akan berupaya menegakkan hukum Allah SWT mahupun syariat-Nya sekaligus menyaksikan para pemimpin tidak lagi terikat dengan agama sebaliknya undang-undang negara.
Katanya, trend sekular sememangnya sudah ada dalam dunia politik kita, malah terdapat pemimpin-pemimpin Islam sendiri yang mempunyai kefahaman nasionalis namun pada masa sama cenderung kepada ideologi barat itu.
Pemimpin-pemimpin itu juga dikatakan mengamalkan cara hidup yang sekular ekoran bagi mereka agama tidak boleh dicampuradukkan dalam politik kerana ia bersifat urusan peribadi.
Menurutnya, pemikiran itu diwarisi daripada zaman penjajahan Inggeris di mana kita dapat menyaksikan terdapat segelintir cendekiawan elit Melayu dan mantan-mantan pentadbir berjawatan tinggi dalam pemerintahan negara berfikiran sebegitu.
Situasi itu merupakan cabaran buat negara Malaysia kerana sehingga ke hari ini pemikiran sekular itu masih ada dalam darah daging politik kita, berikutan itu beliau menyeru agar kita segera mencari jalan penyelesaian supaya pemikiran itu dapat dikikis.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan antara kesan lain bagi mana-mana pihak yang berpegang kepada sekularisme adalah akan berlakunya situasi sepertimana di barat apabila perkahwinan sejenis dianggap normal sedangkan keluarga terdiri daripada berlainan jantina disifatkan kolot.
“Kita tengok di England, Amerika cara hidup pemimpin mereka, macam mana pemimpin hidup dengan girlfriend dia yang dianggap sebagai isteri walaupun tanpa perkahwinan dan ia diterima.
“Johnson umpamanya, dia menjadi Perdana Menteri England walaupun cara hidup dia melanggar tatasusila agama. Jadi kepimpinan politik dilepaskan daripada nilai-nilai akhlak dan agama.”
“Kalau negara Islam, seperti negara Turki dulu, dia nak hapuskan pengajaran Al-Quran di sekolah, tukar tulisan Arab kepada rumi, azan ditukar kepada bahasa Turki macam-macam dia nak buat.”
“Jadi Al-Quran dan sunnah tidak boleh menjadi asas kepada kenegaraan sedangkan dalam worldview Islam asas kepada kenegaraan Islam mestilah berteraskan ajaran Al-Quran dan Sunnah,” kata beliau yang juga merupakan penulis bagi buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika’.
Sementara itu beliau turut mengatakan bahawa mana-mana individu yang mengamalkannya akan menyebabkan mereka gagal menonjolkan nilai-nilai agama malah menolak sebarang ilmu pengetahuan ataupun kebenaran yang datang daripada wahyu kerana sekular sendiri tidak mengiktirafnya.
Jelasnya, pandangan hidup golongan itu hanya bersandarkan kepada falsafah bukannya agama hingga akhirnya pergaulan bebas yang melanggar tatasusila agama itu diterima dan akhlak menjadi sangat relatif iaitu berubah dari semasa ke semasa.
Justeru, beliau menegaskan mana-mana pihak sepatutnya memahami maksud sebenar sekularisme sama ada dari falsafah mahupun sejarahnya di Eropah dan mengapa ia ditolak oleh dunia Islam.
Katanya, ideologi tersebut dahulu diperkenalkan di Eropah bagi menyelesaikan permasalahan dan isu berkaitan dunia Eropah, kerana itu ia tidak sesuai dipraktikkan umat Islam.
“Dunia Islam mempunyai sejarah, sistem dan penyelesaian sendiri di mana kita perlu mencari solusi diberikan agama bukan penyelesaian dibuat manusia sekular di Eropah.”
“Itu kena faham sejarah itu dan implikasi pemerintahan, dalam politik, ekonomi serta pendidikan. Umat Islam mesti faham bahawa Islam ini bukan hanya sistem agama tapi ia juga merangkumi peradaban dan cultural. Kefahaman Islam itu mestilah diperbetulkan oleh umat Islam itu sendiri,” kata beliau pada Isnin.
Beliau turut menambah misalnya agama seperti Kristian ataupun Yahudi dapat mengamalkan sekularisme berkemungkinan ia tiada masalah namun sekiranya ia terkait agama Islam maka jawapannya tidak boleh.
Jelasnya, “Agama Islam bukan sekadar hanya mempunyai rukun iman ataupun rukun Islam semata-mata sebaliknya ia merangkumi seluruh cara hidup manusia, dari segi agama, ekonomi, pentadbiran, politik, pengurusan, mahupun perhubungan antarabangsa.
“Dalam dunia sekular yang wahyu itu tidak dipakai, ia ditolak. Yang dipakai hanya pemikiran manusia.” -The Merdeka Times