Connect with us

Terkini

Petanda buruk buat pendidikan negara jika UEC diiktiraf – Tan Sri Rais Yatim

Gesaan berterusan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) diiktiraf kerajaan, adalah berisiko dan menjadi petanda buruk kepada masa depan pendidikan negara.

Wartawan TMT

Published

on

Petanda buruk buat pendidikan negara jika UEC diiktiraf - Tan Sri Rais Yatim
Foto: Tan Sri Rais Yatim.
  • Gesaan berterusan Dong Zong supaya UEC diiktiraf kerajaan, adalah berisiko dan jadi petanda buruk kepada masa depan pendidikan negara.
  • Tuntutan itu perlu diteliti mendalam oleh kerajaan, kerana UEC boleh menyebabkan pertembungan terhadap sistem peperiksaan sedia ada yang diamalkan dalam pendidikan negara. -Tan Sri Rais Yatim, Yang Dipertua Dewan Negara
  • Dong Zong tidak wajar menghidupkan semula gesaan itu pada ketika pembentukan Kabinet belum dimuktamadkan.
  • “Ia mencerminkan pendirian ‘opportunist’ mereka, isu pengiktirafan ini menyentuh berhubung kestabilan pendidikan negara dan perlu diteliti lebih mendalam.
  • “Kenapa perlu dibuat dua peperiksaan di negara ini, sedangkan saya yakin ada perkara dalam UEC yang boleh diserapkan sahaja dalam sistem pendidikan.

KUALA LUMPUR: Gesaan berterusan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) diiktiraf kerajaan, adalah berisiko dan menjadi petanda buruk kepada masa depan pendidikan negara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, berkata tuntutan itu perlu diteliti secara mendalam oleh kerajaan, kerana UEC dilihat boleh menyebabkan pertembungan terhadap sistem peperiksaan sedia ada yang diamalkan dalam pendidikan negara.

Mengulas lanjut, katanya, Dong Zong tidak wajar menghidupkan semula gesaan itu pada ketika pembentukan Kabinet belum dimuktamadkan lagi.

“Saya dapati tuntutan itu berbentuk menggertak sedang kerajaan baharu sahaja dibentuk. Ia mencerminkan pendirian ‘opportunist’ mereka, isu pengiktirafan ini menyentuh berhubung kestabilan pendidikan negara dan perlu diteliti lebih mendalam.

“Namun saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah biasa dengan ‘gelagat’ ini. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan kelak perlu mengambil kira untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi menjawab segala tuntutan ini.

“Ini kerana kerajaan tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu bersedia mempertahankan hak pendidikan nasional yang mengandungi sifat asas dan tidak boleh diketepikan dengan adanya pensijilan baharu,” katanya kepada BH, di sini.

Semalam, Dong Zong memohon pengiktirafan UEC dibincang secara rasional, ketika sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuatnya ketika pentadbiran kerajaan PH sebelum ini supaya UEC diiktiraf.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta supaya Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan itu.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji dasar UEC pada Oktober 2018 dan berjanji untuk mengiktiraf sijil pendidikan berkenaan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada masa sama, Rais berkata, pihaknya mahu isu berhubung pengiktirafan ini menemui titik noktah kerana ia tidak boleh menyebabkan berlakunya situasi duri dalam daging apabila gesaan mengenainya sering dibangkitkan.

Beliau berkata, negara tidak memerlukan terlalu banyak peperiksaan kerana yakin ada intipati tertentu dalam UEC itu boleh diserapkan dalam sistem pendidikan nasional.

Katanya, dalam masa sama kerajaan juga perlu meningkatkan standard pendidikan awam di negara ini, bagi memastikan lebih ramai kaum bukan Melayu berminat memasuki sekolah kebangsaan.

“Kenapa perlu dibuat dua peperiksaan di negara ini, sedangkan saya yakin ada perkara dalam UEC yang boleh diserapkan sahaja dalam sistem pendidikan.

“Saya suka menggesa supaya pendidikan di sekolah kebangsaan perlu dibuat pembetulan di semua peringkat supaya pelajar Cina, misalnya berminat untuk belajar di sekolah kebangsaan.

“Kita tidak mahu menerima pensijilan, mereka namun saya tidak nampak adanya peningkatan standard bagi capaian pendidikan di sekolah kebangsaan, sebaliknya ramai pula pelajar Melayu yang beralih ke sekolah jenis kebangsaan.

“Saya rasa ini satu dilema yang perlu diatasi oleh menteri pendidikan baharu nanti apabila selesainya pembentukan Kabinet kelak,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending