Antarabangsa
Letak kepala babi, pasang muzik kuat waktu solat bantah pembinaan masjid di Korea Selatan
Penduduk tempatan membantah pembinaan masjid di Daehyeong-dong di Daegu kerana bimbang ia mendorong lebih ramai umat Islam ke kawasan kejiranan kecil itu untuk solat, sekali gus menyebabkan kesesakan, demikian lapor OpIndia.

- Penduduk membantah pembinaan masjid di Daehyeong-dong di Daegu kerana bimbang ia mendorong lebih ramai umat Islam ke kawasan kejiranan kecil itu untuk solat, sekali gus menyebabkan kesesakan.
- Pembinaan masjid itu diluluskan pada Disember 2020, namun berhadapan pelbagai bantahan hingga tertangguh beberapa kali sebelum akhirnya mahkamah atasan mengekalkan keputusan mahkamah rendah pada September tahun lalu dengan membenarkan pembinaan diteruskan.
- Penduduk tempatan dan pendatang Islam dilihat bertelagah hinggakan ada di antara penduduk tempatan mula meletakkan kenderaan di pintu masuk tapak masjid, meletakkan kepala babi dipotong di lorong berdekatan, memasak daging babi di tempat terbuka dan memainkan muzik kuat pada waktu solat.
KOREA SELATAN – Penduduk tempatan membantah pembinaan masjid di Daehyeong-dong di Daegu kerana bimbang ia mendorong lebih ramai umat Islam ke kawasan kejiranan kecil itu untuk solat, sekali gus menyebabkan kesesakan, demikian lapor OpIndia.
Jang yang berusia 62 tahun memberitahu The Korean Herald, “Kami pernah hidup harmoni dengan masyarakat Islam di kawasan kejiranan ini sejak beberapa tahun lalu, berkongsi makanan dan hadiah semasa musim cuti. Kami tidak membuat aduan tentang perhimpunan mereka.
“Bayangkan sekumpulan besar orang melalui pintu depan rumah anda beberapa kali sehari. Bunyi orang berbual, berjalan dan menunggang basikal serta motosikal akan membuatkan anda gila,” katanya.
Seorang lagi wanita yang turut tinggal di kawasan kejiranan sama, menyalahkan masyarakat Islam kerana terlalu sesak di kawasan perumahan yang sempit itu.
Kim Keong-suk berusia 67 tahun pula memberitahu The New York Times pada Mac lalu, “Kami tidak menentang agama mereka. Kami tidak boleh mempunyai kemudahan keagamaan baharu di kawasan kejiranan kami yang sesak, sama ada Islam, Buddha atau Kristian.
“Ini meningkatkan kebimbangan tentang penghijrahan besar-besaran masyarakat tempatan dari Daehyeong-dong,” katanya.
Alasan dikemukakan penduduk itu, menjadi asbab kepada titik tolak mereka mulai menyuarakan bantahan kepada pembinaan masjid di kejiranan itu di bandar Daegu, Korea Selatan.
Pembinaan masjid itu diluluskan pada Disember 2020, namun berhadapan pelbagai bantahan hingga tertangguh beberapa kali sebelum akhirnya mahkamah atasan mengekalkan keputusan mahkamah rendah pada September tahun lalu dengan membenarkan pembinaan diteruskan.
Penduduk tempatan dan pendatang Islam dilihat bertelagah hinggakan ada di antara penduduk tempatan mula meletakkan kenderaan di pintu masuk tapak masjid, meletakkan kepala babi dipotong di lorong berdekatan, memasak daging babi di tempat terbuka dan memainkan muzik kuat pada waktu solat.
Beberapa sepanduk dipasang di kawasan kejiranan dengan tertera tulisan, ‘Islam adalah agama jahat yang membunuh orang’; ‘Kami sangat menentang pembinaan masjid Islam’; ‘Rakyat Korea Didahulukan’; ‘Sarang pengganas’ dan sebagainya.
Walaupun mendapat tentangan penduduk tempatan, pembinaan masjid itu hampir 60 peratus siap dan dijangka beroperasi penghujung 2022.
Sumber : OpIndia

You must be logged in to post a comment Login