Terkini
Isu UEC, kerajaan perlu beri titik noktah – Pakar pendidikan
Kerajaan perlu membuat keputusan muktamad dan memberi titik noktah berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) yang seolah tidak berkesudahan.

- “Pada pandangan saya, mereka ambil UEC sangat kecil walaupun dalam kalangan kaum Cina. Majoritinya ambil aliran perdana dan jika UEC dibenarkan menjadi aliran alternatif, maka kita menganiaya kaum itu sendiri.
- “Apapun saya tidak melihat UEC akan jadi saingan kepada sistem pendidikan perdana dan tidak mungkin ada dua dasar pendidikan diwujudkan. Ia hanya satu sijil tetapi apa yang penting ada sistem pelbagai aliran yang kita amalkan dalam sebuah negara kecil,” – Pakar pendidikan, Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed.
- Kerajaan perlu buat keputusan muktamad dan beri titik noktah berhubung isu pengiktirafan UEC yang seolah tidak berkesudahan.
Kuala Lumpur – Kerajaan perlu membuat keputusan muktamad dan memberi titik noktah berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) yang seolah tidak berkesudahan.
Pakar pendidikan, Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata, isu berkenaan sering digunakan pihak berkepentingan apabila berlakunya pertukaran kerajaan baharu.
“Apabila kerajaan dan Perdana Menteri baharu diangkat, masa yang paling lemah ialah pada awal sesuatu pemerintahan dan ketika ini desakan akan dipertingkatkan. Sudah tiba masa kerajaan memberi kata putus dalam hal ini.
“Namun kerajaan harus sedar bahawa pelajar dan ibu bapa yang memilih sijil UEC dibuat atas kehendak mereka sendiri dan memahami implikasinya. Mereka juga boleh mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar memiliki kedua-dua sijil itu mempunyai kelebihan menyambung pengajian ke luar negara seperti Taiwan,” katanya kepada Harian Metro.
Pada Sabtu lalu, Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), dua tahun lalu supaya UEC diiktiraf.
Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta supaya Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan itu.
Pada masa sama, Dong Zong dalam kenyataan menyebut, semua kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) termasuk mata pelajaran Sejarah digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran, yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, kurikulum SMPC juga menetapkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib, selaras Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara ini.
Semalam, Dong Zong dalam kenyataan memohon pengiktirafan UEC dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik, selain sedia berdialog dan berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman mengenai UEC.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berpandangan UEC tidak perlu diiktiraf kerana hanya terdapat kurang 10 peratus pelajar menduduki sijil yang dilaksanakan Dong Zong itu, berbanding jumlah pelajar dalam pendidikan aliran perdana.
Namun, katanya, jika pengiktirafan diberikan, ia harus disertakan syarat yang jelas dan muktamad supaya selari Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Pada pandangan saya, mereka yang mengambil UEC ini sangat kecil walaupun dalam kalangan kaum Cina. Majoritinya mengambil aliran perdana dan jika UEC dibenarkan menjadi aliran alternatif, maka kita menganiaya kaum itu sendiri.
“Apapun saya tidak melihat UEC akan menjadi saingan kepada sistem pendidikan perdana dan tidak mungkin ada dua dasar pendidikan yang akan diwujudkan. Ia hanya satu sijil tetapi apa yang penting ada sistem pelbagai aliran yang kita amalkan dalam sebuah negara kecil,” katanya.
Kerajaan sebelum ini kekal dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf UEC kerana tidak selari Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Penetapan itu bagi memenuhi aspirasi dan keperluan negara pada masa hadapan serta sebagai usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat selaras prinsip Rukun Negara.
Sumber : Harian Metro

You must be logged in to post a comment Login