Terkini
Tidak siasat buku Tommy Thomas, PH diam diri tanda bersalah – PM
Ismail Sabri pada 30 September lalu mengarahkan agensi penguat kuasa menyiasat dengan lebih lanjut dakwaan dibuat dalam memoir Thomas.

- Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob menyindir Pakatan Harapan (PH) berhubung kes jenayah Tommy Thomas.
- Beliau berkata tindakan berdiam diri biasanya menunjukkan pihak itu bersalah.
- “Saya tak tahu kenapa mereka diam (dalam kes Thomas),” – Ismail Sabri
Ismail Sabri pada 30 September lalu mengarahkan agensi penguat kuasa menyiasat dengan lebih lanjut dakwaan dibuat dalam memoir Thomas.
Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob menyindir PH kerana berdiam diri berhubung kes jenayah bekas peguam negara Tommy Thomas berkaitan memoirnya.
Bercakap pada sidang media hari ini, Ismail yang juga naib presiden Umno berkata tindakan berdiam diri biasanya menunjukkan pihak itu bersalah.
“Saya tak tahu kenapa mereka diam (dalam kes Thomas).
“Biasanya kalau orang bersalah, dia diamlah. Biasanya, saya pun tak tahu dalam hal ini,” selorohnya.
Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PH yang dikatakan menjarakkan diri daripada kes itu.
Pada tahun lalu, kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat memoirnya yang bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, yang merakamkan pengalamannya ketika memegang jawatan itu.
Pasukan petugas kemudian mengesyorkan Thomas disiasat atas kesalahan hasutan dan melanggar undang-undang kerahsiaan kerajaan. Pasukan itu juga menyatakan Thomas masuk campur dalam pelantikan hakim.
Susulan itu, Ismail Sabri pada 30 September mengarahkan agensi penguat kuasa menyiasat dengan lebih lanjut dakwaan yang dibuat dalam memoir Thomas.
Ketika itu, dia berkata siasatan antaranya di bawah Seksyen 124(I) Kanun Keseksaan – penyebaran laporan palsu; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sumber: Malaysia Kini
