Connect with us

Terkini

Pengundi muda cenderung sokong PH, berikutan kemunculan semula Rafizi – penganalisis PRU

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berpandangan antara faktor anak muda hari ini dilihat lebih cenderung memilih Pakatan Harapan (PH) berikutan kemunculan semula Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Hidayah Sani

Published

on

Pengundi muda cenderung sokong PH, berikutan kemunculan semula Rafizi - penganalisis PRU
Foto: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
  • Kekuatan Rafizi adalah mampu bawa satu isu kompleks dengan mudah, malah golongan ini lebih mempercayai Rafizi berbanding pemimpin lain.
  • Lebih 70 peratus golongan Undi 18 akan keluar mengundi ekoran kecewa politik semasa.
  • “Sentimen sudah berubah, mereka ingin keluar mengundi kerana macam-macam sudah berlaku. Ada positif ada negatif tarik mereka jadi kita melihat peratusan keluar mengundi akan meningkat,” – Penganalisis Pilihan Raya
  • Ia juga didorong undang-undang lompat parti dan usaha kempen tingkatkan kesedaran berbanding awal tahun.
  • Kita gagal beri literasi pendidikan demokrasi dan pilihan raya bahkan wakil rakyat sepatutnya bertanggungjawab adakan kempen untuk anak-anak muda selepas Undi 18 dikuatkuasakan namun tiada.
  • Perkara wajar diguna dalam manifesto untuk tarik undi anak muda; sediakan pelan perancangan kerja lima tahun, kenaikan gaji minimum, harga barangan disubsidi atau dikawal, sediakan kemudahan kenderaan persendirian atau perumahan.

KUALA LUMPUR – Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berpandangan antara faktor anak muda hari ini dilihat lebih cenderung memilih Pakatan Harapan (PH) berikutan kemunculan semula Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Beliau turut menyifatkan kekuatan Rafizi adalah mampu membawa satu isu kompleks dengan mudah, malah menurutnya golongan ini lebih mempercayai Rafizi berbanding pemimpin lain.

“Jika kita melihat sehingga 2018, PH boleh dikatakan mesra anak muda namun selepas tempoh 22 bulan itu ia menurun sedikit. Tapi sekarang selepas dalam empat hingga lima bulan ia dilihat meningkat semula, iaitu orang muda kembali kepada PH berikutan kemunculan semula Rafizi. 

Rafiz menyampaikan sesuatu isu dengan mudah macam Tun Mahathir lah. Dia buatkan orang mudah faham isu yang berlaku apa naratif dia. Jika melihat Syed Saddiq sendiri dia bawa suara anak muda tapi dia kurang terserlah seperti Rafizi. 

Dia belum terserlah dalam membawa naratif yang boleh difahami dengan cepat dan jelas. Tapi dia seorang yang ada masa depan,” kata beliau yang turut tidak menolak faktor Rafizi lebih lama dalam dunia politik antara penyumbang membuatkan dia lebih terserlah dari Syed Saddiq.

Tambahnya, antara faktor lain anak muda dilihat cenderung memilih sesuatu parti adalah faktor kepimpinan, ketaksuban, program yang diadakan dan faktor mereka didekati.

Dalam masa sama, beliau yang juga Mantan Ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya menjangkakan lebih 65 hingga 70 peratus anak muda daripada Undi 18 akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) berikutan perkembangan politik hari ini yang disifatkan mereka sebagai mengecewakan.

Jelasnya, sebelum bulan Mei dan merujuk situasi di Johor pada peringkat awal trend menunjukkan orang muda tidak mahu turun mengundi namun selepas bulan tersebut hasil kajian beliau menunjukkan trend berbeza susulan berlaku banyak perkembangan politik di Malaysia.

“Sentimen sudah berubah, mereka ingin keluar mengundi kerana macam-macam sudah berlaku. Ada positif ada negatif yang menarik mereka jadi kita melihat peratusan keluar mengundi akan meningkat walaupun enam bulan sebelum ini kita jangkakan hanya 50 peratus keluar mengundi.

Melalui perkembangan politik orang dah merasa macam kecewa dengan apa yang berlaku. Kemudian ada undang-undang lompat parti dan ada usaha kempen untuk meningkatkan kesedaran berbanding awal tahun ini,” katanya kepada The Merdeka Times.

Bagaimanapun, katanya kita telah gagal dalam memberi literasi pendidikan demokrasi dan pilihan raya bahkan menurutnya wakil rakyat sepatutnya mengambil tanggungjawab dengan mengadakan kempen untuk anak-anak muda selepas Undi 18 dikuatkuasakan namun tiada.

“Sepatutnya lepas Undi 18 diperkenalkan kita kena adakan program-program yang banyak. Apa itu parti? Apa itu politik ? Apa itu manifesto? Siapa itu wakil rakyat? Apa itu hak sebagai pengundi? Ia perlu dijelaskan.

Adakah anda tahu hak ada sebagai pengundi bila kertas undi rosak boleh ditukar? Ia boleh ditukar tapi tak ada orang pernah kata ia boleh. Tapi benda itu ada dalam undang-undang.

Kalau waktu berkempen wakil rakyat datang, kenapa dia tak datang lepas enam bulan? So kita ada hak tanya ke mana pergi wakil rakyat ketika kita ada masalah?“ katanya.

Beliau turut menjelaskan pendidikan berkaitan pilihan raya dan demokrasi sewajarnya dijalankan sejak mereka di bangku sekolah lagi iaitu bermula dengan pemilihan ketua darjah, memilih pengawas, beratur ketika memilih dan membeli makanan di mana beliau menyifatkan situasi tersebut seperti proses pilihan raya.

Tambahnya, ketika golongan ini memasuki alam universiti pula mereka sepatutnya diberi pilihan mengadakan pilihan raya sendiri tanpa campur tangan pegawai-pegawai universiti kerana tanpa pendedahan sebegitu ia boleh mendorong golongan muda ini takut untuk membuat keputusan memilih pemimpin hingga akhirnya tidak keluar mengundi.

“Biarkan mereka buat pilihan raya mereka. Pilihan raya bermula dari universiti, kolej dan dari sekolah. Mereka kena diajar apa itu demokrasi melalui politik sekolah kemudian akan masuk politik kerajaan dan negara. Jadi melaluinya baru mereka akan tahu apa itu politik dan demokrasi.

Ada golongan takut mereka ini masuk politik akan jadi jahat. Masalahnya orang yang terlibat politik itu tidak jahat, tak kotor. So kita kena mengajar integriti, profesionalisme semuanya datang dari sini,” beliau berkata pada Rabu.

Sementara itu, beliau juga mengetengahkan beberapa perkara yang wajar diguna pakai oleh para parti atau calon dalam manifesto mereka untuk menarik undi anak muda antaranya menyediakan satu pelan perancangan kerja lima tahun, kenaikan gaji minimum, harga barangan disubsidi atau dikawal, sediakan kemudahan kenderaan persendirian atau perumahan.

Namun, katanya manifesto atau janji dikemukakan perlulah munasabah bukannya menjanjikan langit dan bumi. – The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending