Terkini
CAP gesa lesen pemandu mabuk dibatalkan seumur hidup
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan agar membatalkan lesen memandu seumur hidup terhadap mereka yang memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian.
- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) cadang batalkan seumur hidup lesen pemandu mabuk menyebabkan kematian
- Tindakan tegas itu antara perlu dipertimbangkan pihak berkuasa agar kejadian ragut nyawa akibat perbuatan pemandu tidak bertanggungjawab dapat dibanteras.
- Ini berikutan, pemandu mabuk tidak bimbang undang-undang sedia ada dan tidak peduli kehidupan orang lain dengan meneruskan pemanduan meskipun berada dalam pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.
- “Kita gesa Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia kenakan hukuman berat kepada pemandu mabuk dan menyebabkan kematian.”
- “Apa juga alasan memandu dalam keadaan mabuk dan mendatangkan bahaya kepada orang tidak bersalah tidak boleh diterima, apatah lagi pada zaman sekarang yang sediakan pelbagai perkhidmatan pengangkutan awam termasuk e-hailing,” – Pegawai Pendidikan CAP
GEORGETOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan agar membatalkan lesen memandu seumur hidup terhadap mereka yang memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian.
Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, tindakan tegas itu antara yang perlu dipertimbangkan oleh pihak berkuasa agar kejadian meragut nyawa akibat perbuatan pemandu tidak bertanggungjawab dapat dibanteras.
Menurutnya, hal ini kerana pemandu mabuk dilihat tidak bimbang dengan undang-undang sedia ada dan tidak mempedulikan kehidupan orang lain dengan meneruskan pemanduan meskipun berada dalam pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.
“Walaupun kejadian kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk sering dilaporkan malah ia kini semakin meningkat dan dilihat tidak memberi pengajaran buat mereka (pemandu mabuk).
“Kita menggesa Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia mengenakan hukuman berat kepada pemandu yang mabuk dan menyebabkan kematian.
“Hukuman berat kepada pemandu berkenaan perlu dikenakan kerana menyebabkan kematian terhadap orang yang tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Subbarow berkata, pihak berkuasa perlu sentiasa melakukan pemeriksaan dan mengesan pemandu mabuk terutama pada setiap hujung minggu.
“Apa juga alasan untuk memandu dalam keadaan mabuk dan mendatangkan bahaya kepada orang yang tidak bersalah tidak boleh diterima, apatah lagi pada zaman sekarang yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pengangkutan awam termasuk e-hailing,” katanya.
Pada Ahad media melaporkan, seorang wanita maut manakala seorang lagi wanita parah akibat dilanggar pemandu kereta mabuk ketika melintas jalan di Jalan Banting-Kajang (Jalan Reko) berhampiran simpang masuk ke Taman Sri Langat, Selangor.
Sumber : Sinar Harian