Connect with us

Terkini

Zahid Hamidi bebas 40 pertuduhan rasuah, pendakwa gagal buktikan kes prima facie

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Zahid Hamidi bebas 40 pertuduhan rasuah, pendakwa gagal buktikan kes prima facie
Foto: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  • Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
  • Presiden UMNO kelihatan ceria selepas mendengar keputusan tersebut.
  • Sebelum ini, Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan terima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN.
  • Tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

SHAH ALAM – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Presiden UMNO yang hadir dengan memakai baju Melayu berwarna putih krim kelihatan ceria selepas mendengar keputusan tersebut.

Mendengar keputusan itu, hadirin yang ada di galeri awam bangun dan menepuk tangan sebelum ditegur oleh hakim itu.

Sebelum ini, Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN.

Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Author