Terkini
Keputusan kes rasuah Rosmah hari ini
Selepas hampir empat tahun perbicaraan, Datin Seri Rosmah Mansor akan mengetahui hari ini sama ada beliau akan dibebaskan atau disabitkan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

- Keputusan perbicaraan kes Datin Rosmah Mansor berkaitan tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak akan diketahui hari ini.
- Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dijadual umum keputusan jam 9 pagi di Mahkamah Terbuka.
- Namun isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu failkan permohonan saat akhir supaya hakim tersebut menarik diri daripada membuat keputusan kes atas alasan tular di media sosial pada 26 Ogos lalu bahawa berlaku kebocoran keputusan kesnya.
- Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan itu terlebih dahulu hari ini.
KUALA LUMPUR – Selepas hampir empat tahun perbicaraan, Datin Seri Rosmah Mansor akan mengetahui hari ini sama ada beliau akan dibebaskan atau disabitkan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zaini Mazlan dijadual mengumumkan keputusannya pada 9 pagi di mahkamah terbuka.
Bagaimanapun, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah memfailkan permohonan di saat akhir supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes tersebut.
Permohonan itu difailkan semalam atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran keputusan kesnya yang disediakan oleh pihak lain.
Difahamkan Mahkamah Tinggi esok akan mendengar permohonan itu terlebih dahulu.
Rosmah, 70, menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopak Sri Ram manakala peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh mewakili Rosmah.
Pada 18 Feb 2021, Rosmah diperintah membela diri di atas tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lalu selepas memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.
Najib, dijadual memberi keterangan selaku saksi pembelaan ketiga, bagaimanapun pada 10 Jan 2022, pihak pembelaan memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak akan memanggil bekas perdana menteri itu untuk memberi keterangan.
Pada 11 Dis 2020, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi dalam perbicaraan bermula 5 Feb tahun yang sama.
Antara saksi yang dipanggil ialah Saidi, bekas Pegawai Khas Rosmah Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.
Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, 46, yang didakwa dengan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah atas projek berkenaan.
Bagaimanapun pada 8 Jan 2020, sebelum perbicaraan bermula, mahkamah membebaskan Rizal daripada tuduhan setelah pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya dan Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan.
Pada 15 Nov 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan rasuah.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.
Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 billion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.
Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 Sept 2017.
Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Dis 2016, di kediaman Seri Perdana di Putrajaya.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini.
Sumber : BERNAMA
Terkini
Vape berisi cecair dadah sintetik dikesan AADK
Penggunaan peranti vape berisi cecair dadah sintetik dikesan di negara ini oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

- Penggunaan peranti vape berisi cecair dadah sintetik dikesan di negara ini oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
- Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, kes itu meliputi penggunaan dadah jenis sintetik dan tiada begitu spesifik atau berleluasa.
- “Namun, kita sememangnya ada mengesan dua atau tiga kes yang berlaku sebelum ini.
- “Bahannya kadang-kadang dadah sintetik dalam bentuk cecair dan kita berharap ianya tidak banyak di negara ini,” katanya ketika ditemui pada Program Retreat Bersama Klien AADK dan Malam Apresiasi Media, malam semalam.
KUALA SELANGOR: Penggunaan peranti vape berisi cecair dadah sintetik dikesan di negara ini oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, kes itu meliputi penggunaan dadah jenis sintetik dan tiada begitu spesifik atau berleluasa.
“Namun, kita sememangnya ada mengesan dua atau tiga kes yang berlaku sebelum ini.
“Bahannya kadang-kadang dadah sintetik dalam bentuk cecair dan kita berharap ianya tidak banyak di negara ini,” katanya ketika ditemui pada Program Retreat Bersama Klien AADK dan Malam Apresiasi Media, malam semalam.
Terdahulu penggunaan peranti vape yang makin popular dalam kalangan masyarakat kini dilaporkan melalui ‘transformasi’ apabila ramai pengguna terutama remaja memilih untuk menggunakan perisa yang mengkhayalkan.
Perisa itu dipercayai menggunakan dadah yang diubah suai kepada cecair dikenali sebagai pedon dan magic mushroom.
Pusat Racun Negara sebelum ini turut mendedahkan magic mushroom yang terkandung atau ditambah dalam vape merujuk kepada ekstrak bahan aktif iaitu Psilocybin untuk mendapatkan kesan halusinogen.
Halusinogen bermaksud kepada halusinasi iaitu keseronokan yang melampau.
Mengulas lanjut, kata Sutekno, AADK akan membuat intervensi awal dengan mendapatkan perintah mahkamah bagi individu itu menjalani rawatan pemulihan.
“Ia melibatkan faktor pengesanan sekiranya mereka didapati positif dadah sama ada menerusi peranti atau secara oral,” ujarnya.
Pada 15 Julai lalu, tindakan tiga beranak menjual campuran dadah cecair jus ganja ke dalam botol cecair vape memakan diri apabila mereka ditahan polis di sekitar Paya Pulai, Segamat, Johor.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, tiga sekeluarga yang diberkas terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang bapa masing-masing berusia 24 dan 49 tahun.
Cecair itu diedarkan kepada penagih, pelajar dan orang awam yang ingin mencuba perisa istimewa (resepi rahsia) di sekitar Segamat.
Difahamkan, sebotol cecair vape dicampur cecair ganja itu berharga lebih RM240, manakala yang kurang berkemampuan ditawarkan plan kemudahan pembelian mampu rasa kepada individu bawah usia termasuk pelajar dengan tiap titisan dijual antara RM3 hingga RM5 sahaja.
Sumber: Utusan Malaysia
-
Terkini4 days ago
(VIDEO) ‘Saya tidak pilih Islam, Islam pilih saya’ – Mualaf
-
Terkini3 days ago
KPDN anjur Jualan Rahmah Beras esok
-
Terkini1 day ago
Samakan pakai seluar pendek dengan dosa minum arak, media Cina cuba kelirukan masyarakat
-
Antarabangsa3 days ago
Model pakai mini skirt tertera dua kalimah syahadah