Terkini
“Pinda perlembagaan supaya AG bertanggungjawab terhadap keputusannya” – Lim Kit Siang
Wujud keperluan untuk meminda perlembagaan agar peguam negara dapat dipertanggungjawabkan atas keputusan yang dibuat, demikian kenyataan Lim Kit Siang, bekas penasihat DAP susulan keputusan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes saman fitnah terhadapnya baru-baru ini.

- Kenyataan untuk meminda perlembagaan supaya AG dapat dipertanggungjawabkan atas setiap keputusan yang dibuat.
- Cadangan dibuat susulan memenangi kes saman fitnah terhadapnya.
- Mahkamah memutuskan Kit Siang mempunyai justifikasi untuk menggesa bekas peguam negara, Apandi Ali untuk menjelaskan mengapa beliau membersihkan nama Najib Razak dari sebarang kesalahan berkaitan skandal 1MDB.
KUALA LUMPUR – Wujud keperluan untuk meminda perlembagaan agar peguam negara dapat dipertanggungjawabkan atas keputusan yang dibuat, demikian kenyataan Lim Kit Siang, bekas penasihat DAP susulan keputusan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes saman fitnah terhadapnya baru-baru ini.
“Peguam Negara (Attorney General) bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuatnya, jika satu perempat daripada ahli parlimen membuat usul bagi mendesak agar keputusannya disemak di Parlimen.
“Untuk merealisasikan perkara ini, Perlembagaan Persekutuan dan Perintah Tetap Dewan Rakyat perlu dipinda,” katanya dalam sebuah kenyataan pada Isnin.
Pada 23 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Kit Siang mempunyai justifikasi untuk menggesa bekas peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi menjelaskan sebab beliau membersihkan nama bekas Perdana Menteri, Najib Razak dari sebarang kesalahan berkaitan skandal 1MDB.
Di samping itu, hakim Azimah Omar dalam penghakimannya turut membangkitkan isu kuasa ‘tidak boleh diadili’ (non-justiciability) dan ‘tidak boleh disemak’ (non-reviewability) yang dimiliki peguam negara.
Beliau menjelaskan kedua-dua konsep kuasa dalam prerogatif peguam negara bukan bermaksud apa-apa larangan terhadap komentar, siasatan, dialog atau penelitian awam.
Terdahulu, mahkamah menolak saman RM10 juta yang difailkan Apandi terhadap veteran DAP itu dan rayuan telah difailkan pada 24 Mei lalu.
Sumber: Malaysia Kini
