Connect with us

Antarabangsa

Pengharaman berbikini di Itali, denda 500 Euro

Coppola berkata, pelancong yang berpakaian hampir bogel menyebabkan ketidakselesaan dan kurang disenangi penduduk tempatan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Credit to Lawrence Chismorie
Foto: Sorrento, Itali
  • Sorrento, bandar peranginan popular dunia terbaharu melarang pemakaian bikini dan pakaian renang menjolok mata termasuk individu yang berlegar tanpa memakai baju.
  • Denda 500 Euro (RM2,246.98) bagi pelancong mahupun penduduk yang ingkar.
  • Peraturan dikuatkuasakan kerana wujud ketidakselesaan dan kurang disenangi penduduk tempatan sekaligus membanteras perluasan tingkah laku tidak sopan bertentangan dengan peradaban hidup bersama.
  • Datuk Bandarnya, Massimo Coppola khuatir jika ketidakselesaan penduduk diabaikan menyebabkan kualiti kehidupan di bandar mereka jatuh, sekali gus memberi kesan kepada imej dan sektor pelancongan.
  • Beberapa kawasan di negara lain turut mengenakan larangan sama.

ROM – Sorrento di barat daya Itali menjadi bandar peranginan popular dunia terbaharu yang mengenakan larangan memakai bikini dan pakaian renang menjolok mata.

Datuk Bandarnya, Massimo Coppola baru-baru ini menguatkuasakan peraturan itu yang menetapkan denda sehingga 500 Euro (RM2,246.98) bagi pelancong mahupun penduduk yang ingkar.

Mana-mana individu yang berlegar tanpa memakai baju turut terikat peraturan itu.

Coppola berkata, pelancong yang berpakaian hampir bogel menyebabkan ketidakselesaan dan kurang disenangi penduduk tempatan.

Beliau mahu membanteras perluasan tingkah laku tidak sopan yang dilihat kebanyakan orang sebagai bertentangan dengan kesantunan yang mencirikan peradaban hidup bersama.

“Sekiranya perlakuan kurang disenangi penduduk dan juga pelancong ini berleluasa, ia boleh membawa kepada penilaian negatif terhadap kualiti kehidupan di bandar kami, sekaligus memberi kesan kepada imej dan sektor pelancongan,” katanya.

Sorrento adalah bandar pinggir laut yang popular di Teluk Naples, malah menjadi lokasi kegemaran pengaruh media sosial dan pasangan muda bergambar, berlatarbelakangkan bangunan indah di tepi pantai.

Selain Sorrento, bandar popular lain di Itali yang mengenakan etika berpakaian adalah Praia A Mare di wilayah Calabria dan Rapallo.

Beberapa bandar di Sepanyol turut mengenakan peraturan sama sekiranya berbikini di tempat salah, termasuk Barcelona yang menetapkan denda sehingga AS$445 (kira-kira RM1,970) bagi mereka yang memasuki bandar dengan bikini sahaja.

Pakaian mandi itu hanya terhad di pantai dan kolam renang yang menurut kepulauan Majorca di Sepanyol, pelancong ingkar boleh didenda AS$900 (kira-kira RM3,984).

Selain itu, Pulau Boracay di Filipina juga menetapkan larangan sama dan pernah mendenda PHP2,500 (RM197.80) terhadap seorang pelancong pada 2019 kerana memakai pakaian renang yang erotik dan lucah.

Sumber: Harian Metro

Author