Teknologi
Lancar misil pertama di luar negara, KD Lekir berjaya lakar sejarah
Kapal Diraja (KD) Lekir melancarkan misil Exocet MM40 di pesisiran pantai Hawaii, Amerika Syarikat dalam Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 pada Selasa.
- Kapal jenis korvet kelas kasturi menempa nama sebagai satu-satunya aset milik TLDM yang membuat penembakan misil di luar perairan negara dalam RIMPAC.
- Penyertaan RIMPAC bertujuan menambah nilai profesionalisme kru KD Lekir.
- Latihan RIMPAC kali ini mengambil masa 22 hari dan melibatkan 38 kapal, empat buah kapal selam dan lebih daripada 170 buah pesawat milik 26 negara.
- Latihan bersama pelbagai negara ini dapat mengukuhkan jalinan kerjasama di antara peserta.
KUALA LUMPUR – Kapal Diraja (KD) Lekir melancarkan misil Exocet MM40 di pesisiran pantai Hawaii, Amerika Syarikat dalam Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 pada Selasa.
Kejayaan yang dilakar kapal jenis korvet kelas kasturi itu sekaligus menempa nama sebagai satu-satunya aset milik TLDM yang membuat penembakan misil di luar perairan negara.
Panglima TLDM, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, untuk latihan ini sasaran yang digunakan adalah Ex-USS Rodney M Davis, sebuah Guided Missile Frigate daripada kelas Oliver Hazard Perry (OHP).
“RIMPAC menyediakan platform terbaik untuk meningkatkan interoperability di antara angkatan laut yang mengambil bahagian.
“Penyertaan ini merupakan satu pengalaman yang menambah nilai profesionalisme kru KD Lekir,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, KD Lekir telah berjaya melancarkan misil dari jenis yang sama pada 22 Mei lalu semasa Eksesais Taming Sari 21/22 di Perairan Selat Melaka Utara sebagai persediaan untuk ke RIMPAC kali ini.
“Setelah dua minggu di pelabuhan, peserta RIMPAC telah keluar untuk latihan di laut selama 22 hari mulai 11 Julai yang melibatkan 38 kapal, empat buah kapal selam dan lebih daripada 170 buah pesawat milik 26 buah negara.
“Eksesais maritim antarabangsa terbesar dunia ini merupakan satu peluang latihan bersama pelbagai negara di samping mengukuhkan jalinan kerjasama di antara peserta,” ujarnya lanjut.
(Sumber: Sinar Harian)