Terkini
Demonstrasi pemakaian kondom di sekolah sebahagian sukatan pelajaran?
Baru-baru ini tular satu video yang dirakam menerusi aplikasi TikTok memaparkan pelajar diajar cara menggunakan kondom pada patung.

- Sekumpulan pelajar lelaki memerhati rakan sekelas mereka ditunjukkan cara memakaikan kondom pada patung berkenaan oleh seorang guru di Sarawak.
- Kementerian Pendidikan bagaimanapun setakat ini tidak memberi sebarang maklum balas sama ada demonstrasi sedemikian merupakan sebahagian daripada sukatan pelajaran.
- Demonstrasi seperti ini berguna untuk pelajar, kata Rabiathul Badariah Bazeer Ahmad dari Persatuan Kesihatan Reproduktif Keluarga Selangor dan Wilayah Persekutuan.
- Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (Page), Noor Azimah Abdul Rahim berkata “kami tidak membenarkan bentuk demonstrasi seperti itu.”
PETALING JAYA: Baru-baru ini tular satu video yang dirakam menerusi aplikasi TikTok memaparkan pelajar diajar cara menggunakan kondom pada patung.
Demonstrasi itu dikatakan berlaku di sebuah sekolah di Sarawak.
Dalam klip video singkat itu, sekumpulan pelajar lelaki memerhati rakan sekelas mereka ditunjukkan cara memakaikan kondom pada patung berkenaan oleh seorang guru.
Kementerian Pendidikan bagaimanapun setakat ini tidak memberi sebarang maklum balas sama ada demonstrasi sedemikian merupakan sebahagian daripada sukatan pelajaran.
Pendidikan seks berada dalam sukatan pelajaran sekolah untuk pendidikan kesihatan dan sosial, tetapi bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching berkata, beliau tidak pasti ada demonstrasi seperti itu dibenarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif, Harry Dinesh berkata, penggunaan patung dapat membantu memberi pemahaman baik kepada pelajar berhubung cara menggunakan kondom.
Tetapi, katanya, penting untuk mempunyai modul komprehensif dan program kesedaran untuk pelajar memahami subjek itu.
“Pendidikan seks perlu didekati dari perspektif lebih luas, di mana pelajar perlu diajar seks selamat dapat mencegah penyakit, mengelak kehamilan tidak diingini dan mengurangkan kes pembuangan bayi.”
Demonstrasi seperti ini berguna untuk pelajar, kata Rabiathul Badariah Bazeer Ahmad dari Persatuan Kesihatan Reproduktif Keluarga Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, aktiviti seperti itu dapat membuka jalan dalam kalangan remaja untuk membincangkan topik sensitif dengan lebih lanjut, selain membantu guru menjalin hubungan baik dengan pelajar serta menjelaskan isu seperti itu dengan lebih baik.
Rabiathul berkata, remaja bawah 18 tahun memang aktif secara seksual dan memperbaiki pendidikan seks di sekolah dapat membantu mereka mengelakkan akibat yang tidak dijangka.
Menurut data Kementerian Kesihatan, Malaysia melaporkan 28 kehamilan remaja setiap hari antara 2017 hingga 2021, dengan purata 100 bayi dibuang setiap tahun.
Teo berkata, pakar diperlukan untuk melatih guru mengajar subjek berkenaan dengan betul.
“Kanak-kanak dengan mudah belajar semua ini dari internet. Jadi, lebih baik kita ajar mereka di sekolah, di mana mereka dibimbing guru dan kita boleh memastikan kandungannya profesional serta tepat.”
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (Page), Noor Azimah Abdul Rahim berkata: “Walaupun ia kelihatan menggelikan hati, guru tetap bertanggungjawab memastikan subjek itu diajar dengan betul tanpa melanggar sempadan.
“Tetapi, kami tidak membenarkan bentuk demonstrasi seperti itu.”
