Terkini
“Cuti haid, subsidi tuala wanita B40 masih dikaji,” – Timbalan Menteri KPWKM
Jelasnya, ketika ini terdapat kemudahan cuti sakit sedia ada yang diperuntukkan oleh majikan kepada pekerja sektor swasta dan awam.
- Timbalan Menteri, KPWKM berkata di Dewan Rakyat hari ini cadangan cuti sakit haid masih dalam kajian.
- Kajian melibatkan 57,000 responden itu dijangka siap pada Oktober ini.
- Perbincangan lanjut memerlukan penglibatan pihak berkepentingan kerana proses memperkenalkan cuti haid bukan sahaja melibatkan kesejahteraan wanita tetapi memberi implikasi dan produktiviti ekonomi negara.
- Jelasnya, ketika ini terdapat kemudahan cuti sakit sedia ada yang diperuntukkan oleh majikan kepada pekerja sektor swasta dan awam.
- Kementerian tersebut digesa segera menggubal dasar tersebut oleh Ahli Parlimen Klang.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) masih mengkaji cadangan untuk memperkenalkan cuti sakit haid kerana ia memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan, kata Timbalan Menterinya, Siti Zailah Mohd Yusof ketika membahas isu berkenaan di Dewan Rakyat pagi ini.
Beliau berkata, kajian melibatkan 57,000 responden itu dijangka siap pada Oktober ini.
“Kajian sedang dibuat dan akan siap pada Oktober tahun ini. Selepas siap, ia akan dibentangkan kepada kerajaan,” katanya yang turut menjelaskan bahawa pemberian subsidi tuala wanita kepada golongan B40 dalam usaha menangani kemiskinan haid juga masih memerlukan kajian lebih lanjut.
Dalam pada itu, Zailah berkata pengenalan cuti haid memerlukan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan sebelum dipertimbangkan untuk dilaksanakan.
Katanya, ini kerana proses memperkenalkan cuti haid bukan sahaja melibatkan kesejahteraan wanita tetapi memberi implikasi dan produktiviti ekonomi negara.
“Buat masa ini terdapat kemudahan cuti sakit sedia ada yang diperuntukkan oleh majikan kepada pekerja sektor swasta dan awam,” katanya.
Siti Zailah menjawab pertanyaan Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang, sama ada KPWKM mempunyai rancangan untuk memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40.
Charles turut menggesa penggubalan dan penguatkuasaan segera dasar cuti sakit haid kerana ia menjadi satu keperluan sekaligus menyifatkan kementerian tersebut keterbelakang kerana masih ingin membuat kajian sedangkan negara lain sudah melaksanakan dasar tersebut.
Sumber : Youtube Channel Parlimen Malaysia