Connect with us

Antarabangsa

Pengharaman seks luar nikah di Indonesia ditentang aktivis hak asasi manusia

Langkah diambil Parlimen Indonesia yang meluluskan rang undang-undang melarang hubungan seks luar nikah menerima tentangan daripada aktivis-aktivis hak asasi manusia yang mendakwa ia menjadi halangan kepada kebebasan bersuara dan hak asasi, lapor akhbar Arab News kelmarin.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pengharaman seks luar nikah di Indonesia ditentang aktivis hak asasi manusia
Foto: Aktivis membuat bantahan di hadapan bangunan Parlimen, Jakarta, Indonesia.
  • Aktivis-aktivis hak asasi manusia dakwa ia halang kebebasan bersuara dan hak asasi.
  • RUU itu diluluskan kelmarin, tiga tahun selepas RUU serupa ditangguh Presiden Joko Widodo (Jokowi) berikutan protes besar-besaran melibatkan puluhan ribu belia dakwa ia ancam kebebasan awam mereka.
  • Kanun keseksaan baharu itu terpakai untuk warga asing di Indonesia turut mengembalikan larangan menghina presiden, institusi negara atau ideologi Indonesia yang dikenali sebagai Pancasila.
  • Timbalan Pengarah Human Rights Watch bahagian Asia, Phil Robertson berkata peruntukan undang-undang baharu itu bersifat ‘menindas’ kerana ia membuka ‘pintu’ kepada pencerobohan privasi.

JAKARTA – Langkah diambil Parlimen Indonesia yang meluluskan rang undang-undang melarang hubungan seks luar nikah menerima tentangan daripada aktivis-aktivis hak asasi manusia yang mendakwa ia menjadi halangan kepada kebebasan bersuara dan hak asasi, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Rang undang-undang tersebut diluluskan kelmarin, tiga tahun selepas rang undang-undang serupa ditangguhkan oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi) berikutan protes besar-besaran yang melibatkan puluhan ribu belia yang mendakwa ia mengancam kebebasan awam mereka.

Namun kini, kanun keseksaan baharu yang turut terpakai untuk warga asing di Indonesia turut mengembalikan larangan menghina presiden, institusi negara atau ideologi Indonesia yang dikenali sebagai Pancasila.

“Kami telah cuba yang terbaik untuk menampung isu penting dan pendapat berbeza yang telah dibahaskan.

“Namun, kini masanya untuk kita membuat keputusan bersejarah bagi pindahan kanun keseksaan ini serta memansuhkan kanun jenayah penjajah (Belanda) yang diwarisi,” kata Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Yasonna Laoly.

Bagaimanapun, tidak semua pihak menyambut baik pengumuman itu kerana menurut para pengkritik, ia akan menyekat kebebasan awam.

“Kanun jenayah ini masih menebal dengan elemen penjajah dan terdapat banyak artikel yang mengancam kebebasan awam serta mengehadkan ruang demokrasi,” kata aktivis hak asasi gender, Tunggal Pawestri.

Tambahnya, meskipun pemerintah mendakwa akan cuba bersifat terbuka dan menilai pendapat daripada masyarakat awam yang lebih menyeluruh, pihaknya berpendapat ia bukan cubaan terbaik mereka.

“Kami telah banyak melaung dan memberikan pendapat namun, mereka seperti tidak menghiraukan kami,” ujar Tunggal.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Human Rights Watch bahagian Asia, Phil Robertson berkata, peruntukan undang-undang baharu itu bersifat ‘menindas’, kerana ia membuka ‘pintu’ kepada pencerobohan privasi.

“Dalam sekelip mata, situasi hak asasi manusia di Indonesia akan bertukar secara drastik dan menjadi lebih teruk.

“Kelulusan rang undang-undang ini adalah permulaan kepada bencana hak asasi di Indonesia.

“Penggubal undang-undang dan pemerintah perlu mempertimbangkan semula langkah tersebut serta memansuhkannya,” kata Robertson.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) semalam turut menyuarakan rasa tidak bersetuju dengan mendakwa, undang-undang baharu itu akan memberi kesan kepada pelaburan di negara dengan majoriti penduduk beragama Islam itu.

“Kami bimbang mengenai bagaimana perubahan ini akan menjejaskan hak asasi manusia serta kebebasan asas di Indonesia.

“Washington juga bimbang mengenai bagaimana undang-undang tersebut akan memberi kesan kepada warganegara AS yang melancong dan menetap di Indonesia selain syarikat-syarikat AS di sana,” kata jurucakap Jabatan Negara, Ned Price.

Rang undang-undang tersebut menerima undi majoriti anggota Parlimen semasa sidang kelmarin, yang menyaksikan Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Sufmi Dasco Ahmad memukul palu, menandakan teks itu telah diluluskan dan disusuli dengan jeritan ‘sah’.

Beberapa artikel utama kod yang baru diluluskan itu ialah mengkategorikan seks sebelum nikah atau sebelum berkahwin sebagai kesalahan jenayah, begitu juga bersekedudukan dengan pasangan yang belum berkahwin.

Jurucakap Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Albert Aries bagaimanapun mempertahankan pindaan sebelum pengundian dengan berkata, undang-undang itu akan melindungi institusi perkahwinan.– AFP/Agensi

Sumber : Kosmo

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *