Antarabangsa
Israel serang kafe di Gaza guna bom 230 kg buatan AS, 24 Terkorban

- Mangsa termasuk kanak-kanak, seorang wartawan, pembikin filem dan artis, manakala puluhan lagi cedera.
- Serangan di kawasan awam ini melanggar undang-undang antarabangsa dan diklasifikasikan sebagai jenayah perang.
GAZA – Tentera Israel telah menjatuhkan bom seberat 500 paun (230kg) buatan Amerika Syarikat ke atas sebuah kafe tepi pantai yang sesak di Gaza pada Isnin, mengorbankan sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin dan mencederakan puluhan yang lain.
Menurut satu siasatan oleh The Guardian, pakar senjata mengenal pasti serpihan bom tersebut sebagai sebahagian daripada bom MK-82, iaitu bom tujuan umum yang dikenali dengan radius letupannya yang dahsyat.
Antara yang terkorban termasuk kanak-kanak, seorang pembikin filem terkenal, seorang wartawan dan seorang artis. Puluhan lagi cedera, termasuk kanak-kanak.
Serangan itu menyasarkan Kafe al-Baqa, sebuah premis dua tingkat yang popular dalam kalangan keluarga dan anak muda di Bandar Gaza.
Penggunaan bom berat sebegini di kawasan awam yang diketahui menjadi tumpuan orang ramai adalah menyalahi Konvensyen Geneva dan boleh dianggap sebagai jenayah perang.
Kafe tersebut tidak terletak dalam zon pemindahan dan jelas kelihatan dari udara, menunjukkan bahawa tentera Israel menyedari kehadiran orang awam di situ.
“Pihak tentera pasti tahu bahawa kafe itu penuh dengan orang. Insiden ini perlu disiasat sebagai satu jenayah perang,” kata Gerry Simpson dari Human Rights Watch.
Dr. Andrew Forde, Pakar Undang-undang Hak Asasi Manusia dari Universiti Bandar Dublin berkata, walaupun dengan sistem penyasaran yang terbaik di dunia, penggunaan senjata berat dalam kawasan sebegini pasti membawa kepada kesan rawak sekaligus melanggar undang-undang antarabangsa.
Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka menjalankan serangan tersebut dan mendakwa telah mengambil langkah untuk meminimumkan kematian orang awam melalui pemantauan udara.
Namun begitu, kawah besar yang ditinggalkan serta jumlah korban jiwa menunjukkan sebaliknya.
Trevor Ball, bekas pakar bahan letupan tentera AS, mengesahkan bahawa serpihan yang dijumpai sepadan dengan bom MK-82 atau MPR500, senjata udara yang berkuasa dan banyak digunakan dalam operasi ketenteraan yang diketuai AS sebelum ini.
Tahun lalu, Amerika Syarikat bersetuju untuk menyambung penghantaran bom seberat 500 paun kepada Israel meskipun berlakunya genosid yang berterusan.
Menurut agensi berita Reuters, dalam tahun pertama genosid Israel di Gaza, AS dilaporkan telah menghantar sekurang-kurangnya 14,000 bom MK-84 seberat 2,000 paun, 6,500 bom 500 paun, 3,000 peluru berpandu Hellfire berpandu tepat udara-ke-darat, 1,000 bom penembus kubu, 2,600 bom kecil udara serta pelbagai jenis peluru lain. -The Merdeka Times
