Terkini
Lantik ‘tauke’ vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat: Gubal semula syarat pelantikan – Pakar Perubatan

- KKM diseru gubal semula syarat pelantikan ke Lembaga Pelawat agar bebas dari sebarang konflik kepentingan.
- Tegas Dr Amirul Amzar, individu yang diketahui mengetuai syarikat berkaitan rokok elektronik tidak sepatutnya diberikan peranan rasmi dalam mana-mana institusi kesihatan.
- “Bagaimana kita boleh memperjuangkan kesihatan awam, jika tokoh industri yang menyumbang kepada ketagihan nikotin dalam kalangan remaja diberi tempat dalam sistem kesihatan awam itu sendiri?,” soal Dr Amirul Amzar yang bimbang dengan perkembangan tersebut.
- KKM diminta hantar mesej yang jelas kepada masyarakat bahawa sistem kesihatan kita berpihak kepada rakyat, bukan kepada industri yang membawa mudarat.
KUALA LUMPUR — Seorang Pakar Perubatan Keluarga menyeru agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggubal semula syarat pelantikan ke Lembaga Pelawat agar bebas dari sebarang konflik kepentingan, susulan dakwaan seorang tokoh terkemuka dalam industri vape dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau, Negeri Sembilan.
Dr Amirul Amzar yang juga Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia menegaskan bahawa individu yang diketahui mengetuai syarikat berkaitan rokok elektronik tidak sepatutnya diberikan peranan rasmi dalam mana-mana institusi kesihatan.
Jelasnya kepada The Merdeka Times, ini bukan soal individu semata-mata, tetapi tentang mesej yang kita sampaikan kepada masyarakat.
“Bagaimana kita boleh memperjuangkan kesihatan awam, jika tokoh industri yang menyumbang kepada ketagihan nikotin dalam kalangan remaja diberi tempat dalam sistem kesihatan awam itu sendiri?,” soalnya yang bimbang dengan perkembangan tersebut.
Beliau menambah pelantikan individu terbabit juga adalah tidak wajar dan bercanggah dengan semangat kesihatan awam.
Ketika ini, katanya barisan hadapan kesihatan, termasuk doktor, jururawat dan ahli farmasi sedang bertungkus-lumus memerangi gelombang ketagihan vape, terutamanya dalam kalangan belia.
“Apabila seorang tokoh industri ini dilantik secara rasmi dalam institusi kesihatan, ia memberi gambaran bahawa perjuangan ini tidak diambil serius.
“Malah lebih membimbangkan, ia boleh menormalkan penggunaan vape dalam kalangan masyarakat, seolah-olah tiada lagi garis pemisah antara industri dan sistem kesihatan,” katanya sambil meminta KKM membatalkan pelantikan melibatkan individu sedemikian demi menjaga integriti kesihatan awam.
Dalam masa sama, Dr Amirul turut menyeru KKM agar menghantar mesej yang jelas kepada masyarakat bahawa sistem kesihatan kita berpihak kepada rakyat, bukan kepada industri yang membawa mudarat.
Pagi tadi, The Merdeka Times melaporkan seorang tokoh terkemuka dalam industri vape yang juga pengerusi kepada sebuah syarikat rokok elektronik, bernama Adzwan Abdul Manas didakwa telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau.
Surat pelantikan Adzwan yang telah ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad itu dapat dilihat di Facebook miliknya sendiri yang dimuat naik olehnya pada 23 Jun lalu.
Adzwan bagaimanapun tengah hari tadi menulis satu hantaran Facebook yang memaklumkan beliau telah melepaskan jawatan berkenaan yang pada awalnya diterima untuk membantu hubungan dua hala antara pesakit dan hospital.
Beliau memutuskan untuk meletak jawatan selepas memikirkan tentang impak dan pandangan negatif yang akan diterima disebabkan perniagaan vape.
Perkembangan itu diberitahu beliau tanpa menyatakan secara jelas tarikh peletakan jawatan tersebut, tetapi tidak lama kemudian hantaran berkenaan dilihat telah hilang begitu juga dengan hantaran bertarikh 23 Jun 2025.

Foto: Senarai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau yang tertera di laman web rasmi hospital itu.
Tinjauan di laman web rasmi Hospital Rembau petang ini mendapati nama Adzwan, masih tersenarai sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pelawat Hospital berkenaan. — The Merdeka Times
