Connect with us

Antarabangsa

21 terkorban, termasuk tujuh kanak-kanak dalam kebakaran di Gaza

Kebakaran besar yang memusnahkan sebuah rumah di utara Bandar Gaza di mana minyak disimpan, turut mengorbankan sekurang-kurangnya 21 mangsa termasuk tujuh kanak-kanak.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

21 terkorban, termasuk tujuh kanak-kanak dalam kebakaran di Gaza
Foto: Lokasi kejadian, Bandar Gaza
  • Kebakaran besar yang memusnahkan sebuah rumah di utara Bandar Gaza di mana minyak disimpan, turut mengorbankan sekurang-kurangnya 21 mangsa termasuk tujuh kanak-kanak.
  • Kumpulan Hamas, yang menguasai kawasan diduduki oleh Israel itu berkata anggota bomba berjaya mengawal kebakaran di Jabalia, yang meninggalkan rangka bangunan yang rentung selain timbunan abu apabila api dipadamkan.
  • Presiden Palestin, Mahmud Abbas, yang berpangkalan di Tebing Barat diduduki Israel, menyifatkan kebakaran itu sebagai ‘tragedi kebangsaan’.
  • Walaupun punca kebakaran belum diketahui, jurucakap Pasukan Pertahanan Awam berkata bekalan minyak disimpan dalam stor di rumah berkenaan.

JABALIA: Kebakaran besar yang memusnahkan sebuah rumah di utara Bandar Gaza di mana minyak disimpan, turut mengorbankan sekurang-kurangnya 21 mangsa termasuk tujuh kanak-kanak.

Kumpulan Hamas, yang menguasai kawasan diduduki oleh Israel itu berkata anggota bomba berjaya mengawal kebakaran di Jabalia, yang meninggalkan rangka bangunan yang rentung selain timbunan abu apabila api dipadamkan.

Pasukan Pertahanan Awam Gaza mengesahkan bahawa 21 orang terkorban dalam tragedi itu, dengan ketua Hospital Indonesia di Jabalia, Saleh Abu Laila, memberitahu AFP bahawa kemudahan itu menerima sekurang-kurangnya tujuh mayat kanak-kanak.

Walaupun punca kebakaran belum diketahui, jurucakap Pasukan Pertahanan Awam berkata bekalan minyak disimpan dalam stor di rumah berkenaan.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas, yang berpangkalan di Tebing Barat diduduki Israel, menyifatkan kebakaran itu sebagai ‘tragedi kebangsaan’.

Jurucakapnya, Nabil Abu Rudeineh, dalam satu kenyataan, berkata hari ini diisytiharkan sebagai hari berkabung, dengan semua bendera dikibarkan separuh tiang dan akan membantu keluarga mangsa bagi mengurangkan kesengsaraan.

Pegawai Pihak Berkuasa Palestin (PA), Hussein Al Sheikh, menggesa Israel membuka lintasan Erez yang menghubungkan Gaza dengan selatan Israel, yang lazimnya ditutup pada waktu malam.

“Ini akan membolehkan penghantaran mangsa dengan kecederaan serius bagi mendapatkan rawatan di luar Semenanjung Gaza jika perlu,” katanya.

Jurucakap COGAT, unit Kementerian Pertahanan Israel yang menguruskan lintasan Erez, memberitahu AFP bahawa Israel ‘akan membantu… sekadar mana yang perlu’ bagi melintasi transit itu.

Orang ramai berkerumun di lokasi kebakaran membabitkan rumah bertingkat itu ketika api masih marak, melepaskan kepulan asap tebal dari ruang atas bangunan konkrit itu.

Jabalia adalah sebuah kem pelarian tetapi sama seperti kebanyakan kem pelarian Palestin lain, kini merangkumi bangunan besar dan mirip kepada sebuah bandar yang lengkap.

Himpunan orang ramai kekal berada di lokasi kebakaran dengan ratusan polis dan kakitangan kecemasan, sehingga kebakaran dipadamkan.

Gaza, sebuah kawasan berpenduduk padat dengan 2.3 juta orang, diletakkan di bawah sekatan Israel sejak 2007, atas alasan perlu menangani ancaman kumpulan bersenjata dari Semenanjung Gaza.

Kebakaran di rumah sering berlaku di Gaza di mana bekalan elektrik tidak mencukupi di wilayah yang kurang maju itu, susulan penduduk mencari bahan bakar alternatif bagi memasak dan sumber cahaya termasuk menggunakan lampu minyak tanah.

Tahun ini, Gaza hanya menerima purata 12 jam bekalan elektrik sehari, meningkat berbanding hanya tujuh jam sehari lima tahun lalu, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Risiko kebakaran bertambah dengan ketibaan musim sejuk kerana kebanyakan penduduk menggunakan arang batu untuk memanaskan rumah. – AFP

 

Sumber: Berita Harian

Author