Terkini
Letak jawatan jika tidak berani buat Reformasi Pendidikan! – Anuar Ahmad

- Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad yang mengingatkan pemimpin pendidikan mesti berani melakukan Reformasi Pendidikan dan membina semula sistem pendidikan serba baharu sesuai keperluan anak-anak pada masa depan.
- “Kita kena lakukan Reformasi Pendidikan. Alasan kononnya sistem pendidikan negara terlalu besar, sukar untuk diubah, perlu masa dan sebagainya adalah alasan pemimpin pendidikan yang lemah. Alasan yang tidak boleh kita terima.”
- “Jangan berdolak dalih lagi. Terang-terang pencapaian pendidikan anak-anak kita sedang ketinggalan di peringkat antarabangsa. Data pencapaian OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan) dah (dan) Bank Dunia telah sahkan. Nak nafikan apa lagi?“
KUALA LUMPUR — “Jika pemimpin pendidikan yang ada tidak bersedia melakukan Reformasi Pendidikan secara segera dan tegas, jangan jadi pemimpin pendidikan lagi. Letak sahaja jawatan. Biar orang lain yang lebih berani dan tegas melakukannya.”
Itu antara penegasan Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad yang mengingatkan pemimpin pendidikan mesti berani melakukan Reformasi Pendidikan dan membina semula sistem pendidikan serba baharu sesuai keperluan anak-anak pada masa depan.
Ini kerana, ketika ini beliau tidak rasa sebarang gelombang Reformasi Pendidikan negara sedang berlaku, sedangkan berbagai data dan bukti telah mengesahkan masalah pendidikan di negara ini.
Beliau berkata ia dapat disaksikan menerusi data PISA (Program Penilaian Pelajar Antarabangsa) yang merudum, data TIMMS (Trends in International Mathematics and Science Study) merosot, data SEA-PLM (The Southeast Asia Primary Learning Metrics) yang mengecewakan dan laporan Bank Dunia yang membimbangkan, malah data kemerosotan prestasi murid sains tulen SPM serta keciciran murid juga mencemaskan.
“Kita kena lakukan Reformasi Pendidikan. Alasan kononnya sistem pendidikan negara terlalu besar, sukar untuk diubah, perlu masa dan sebagainya adalah alasan pemimpin pendidikan yang lemah. Alasan yang tidak boleh kita terima.
“Jangan berdolak dalih lagi. Terang-terang pencapaian pendidikan anak-anak kita sedang ketinggalan di peringkat antarabangsa. Data pencapaian OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan) dah (dan) Bank Dunia telah sahkan. Nak nafikan apa lagi?
“Hari ini, kita telah baca peringatan diberikan Mantan Gabenor Bank Negara,” kata Anuar menerusi hantaran di Facebook sambil memetik kenyataan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim dari laporan media tempatan artikel bertajuk, “Gaji sebenar rakyat Malaysia susut tiga kali ganda”.
Muhammad Ibrahim dipetik sebagai berkata ketika ini lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak lagi layak untuk jawatan tinggi di luar negara, terpaksa bekerja dalam negara atau hanya mampu melakukan kerja bawahan di negara jiran.
Malah, beliau menyatakan tidak akan terkejut jika suatu hari nanti, anak-anak dari Malaysia bekerja sebagai pembantu rumah di negara jiran.

Foto: Antara tangkap layar hantaran Facebook Anuar Ahmad.
Bersetuju dengan pandangan Muhammad, Anuar yang sudah berulang kali menegaskan supaya Reformasi Pendidikan dilakukan, turut mengingatkan jika pendidikan negara tidak juga berubah, kelak ramai anak-anak menjadi pekerja bawahan sahaja iaitu ‘kuli’ orang lain.
“Masyarakat mahukan Reformasi Pendidikan sepenuhnya. Maksudnya mestilah dilakukan perubahan struktural terhadap organisasi dan agensi pendidikan negara supaya lebih efisien. Mesti buang dan ganti pemimpin organisasi pendidikan yang tidak cekap.
“JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) tak cekap? Tukar orang lain. PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) tak cekap? Ganti orang lain. PGB (Pengetua/Guru Besar) sekolah tidak cekap, gantikan dengan orang lain. Lakukan, jika itu perlu demi menjayakan Reformasi Pendidikan,” katanya. — The Merdeka Times
