Antarabangsa
Perang akan berterusan selagi Hamas tidak letak senjata – Mesir beritahu Hamas

- Hamas bertegas mereka menolak sama sekali sebarang perbincangan untuk melucutkan senjata.
- “Antara cadangan yang disampaikan Mesir termasuk pembebasan separuh daripada tahanan musuh pada minggu pertama perjanjian, dan termasuk gencatan senjata sementara selama 45 hari sebagai pertukaran untuk kemasukan makanan dan tempat perlindungan.” – pemimpin Hamas.
- “Delegasi perunding kami terkejut apabila cadangan yang disampaikan Mesir mengandungi teks jelas mengenai pelucutan senjata Hamas, dan pergerakan itu telah memaklumkan kepada Mesir bahawa syarat utama bagi sebarang perjanjian adalah penghentian peperangan dan pengunduran tentera, bukan pelucutan senjata.”
GAZA – “Mesir beritahu kami bahawa persetujuan untuk hentikan perang tidak akan dapat dicapai tanpa perundingan pelucutan senjata kumpulan pejuang,” itu pendedahan seorang pemimpin Hamas mengenai intipati utama rundingan dengan Mesir.
Bagaimanapun Hamas bertegas mereka menolak sama sekali sebarang perbincangan untuk melucutkan senjata.
“Antara cadangan lain yang disampaikan Mesir kepada kami termasuk pembebasan separuh daripada tahanan musuh pada minggu pertama perjanjian, dan termasuk gencatan senjata sementara selama 45 hari sebagai pertukaran untuk kemasukan makanan dan tempat perlindungan,” katanya yang dilaporkan AlJazeera dan dipetik agensi berita Yaman, SABA.
“Namun, delegasi perunding kami terkejut apabila cadangan yang disampaikan Mesir mengandungi teks jelas mengenai pelucutan senjata Hamas, dan pergerakan itu telah memaklumkan kepada Mesir bahawa syarat utama bagi sebarang perjanjian adalah penghentian peperangan dan pengunduran tentera, bukan pelucutan senjata,” katanya.
Sementara itu, pemimpin Hamas, Taher al-Nunu, berkata musuh sedang berusaha untuk membebaskan tahanan mereka tanpa menyentuh isu-isu dalam fasa kedua perjanjian, yang merangkumi gencatan senjata kekal dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Semenanjung Gaza.
Mengenai pendirian terhadap pelucutan senjata kumpulan pejuang, Taher menegaskan ia garis merah, dan tidak boleh dirunding sama sekali.
“Kewujudan kumpulan pejuang bersenjata ini berkait rapat dengan kewujudan berterusan musuh,” jelasnya.
Semalam, delegasi perunding Hamas yang diketuai oleh Khalil al-Haya, ketua pergerakan di Semenanjung Gaza, mengadakan beberapa siri pertemuan di ibu negara Mesir, Kaherah, bersama pegawai Mesir dan Qatar, sebagai sebahagian usaha bersama antara Kaherah dan Doha untuk menstabilkan perjanjian gencatan senjata.
Langkah itu diambil susulan kegagalan perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 19 Januari dan berlangsung selama 58 hari, sebelum pihak musuh memungkiri syaratnya dan menyambung semula pencerobohan, 18 Mac 2025. – The Merdeka Times
