Antarabangsa
Israel cuba pecah belah Syria, manipulasi komuniti Druze di Lubnan

- “Israel mahu melaksanakan rancangan yang telah lama dimilikinya, iaitu untuk memecahbelahkan rantau ini kepada entiti berasaskan kepercayaan agama dan mencetuskan kekacauan.” – Pemimpin Druze di Lubnan, Walid Jumblatt.
- Israel menunjukkan minat terhadap komuniti Druze di Syria sejak pejuang yang diketuai Islamis menumbangkan pemerintah lama, Bashar al-Assad, pada Disember lalu selepas lebih 13 tahun perang.
- Walaupun pemimpin Israel cuba memenangi hati komuniti Druze, namun pemimpin Druze tetap menegaskan kesetiaan mereka untuk bersatu dengan pihak berkuasa Syria yang baharu.
BEIRUT – Pemimpin Druze di Lubnan, Walid Jumblatt, menuduh Israel mengeksploitasi pengikut agamanya yang merupakan minoriti di Syria sebagai sebahagian daripada rancangan lebih licik untuk memecah-belahkan Timur Tengah.
“Israel mahu melaksanakan rancangan yang telah lama dimilikinya… iaitu untuk memecahbelahkan rantau ini kepada entiti berasaskan kepercayaan agama dan mencetuskan kekacauan,” kata Jumblatt, tokoh utama dalam politik Lubnan selama lebih empat dekad.
“Mereka mahu memusnahkan Gaza, kemudian tiba giliran Tebing Barat… dan kini mereka cuba menggugat kestabilan Syria melalui Druze serta pihak lain.
“Ia adalah permainan yang berbahaya,” katanya dalam wawancara dengan AFP yang dipetik Al-Monitor.
Israel menunjukkan minat terhadap komuniti Druze di Syria sejak pejuang yang diketuai Islamis menumbangkan pemerintah lama, Bashar al-Assad, pada Disember lalu selepas lebih 13 tahun perang.
Sejak itu, Israel telah menghantar tentera ke zon penampan yang dipantau PBB di sepanjang garis gencatan senjata di Dataran Tinggi Golan.
Malah pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights sebelum ini melaporkan pencerobohan Israel kerap berlaku di bahagian selatan Syria.
Druze mempunyai pengikut di Israel, Lubnan, dan Syria, termasuk di Dataran Tinggi Golan yang telah dijajah Israel. Mereka merangkumi kira-kira tiga peratus daripada populasi Syria dan tertumpu di wilayah selatan Sweida.
Bulan ini, jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, berkata 10,000 pakej bantuan kemanusiaan telah dihantar kepada komuniti Druze di kawasan pertempuran di Syria dalam beberapa minggu terakhir.
Israel juga membenarkan buat pertama kali dalam beberapa dekad kepada ahli agamawan Druze di Syria bagi menunaikan ziarah ke sebuah tempat suci di Israel.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata Israel tidak akan membenarkan pemerintah baharu Syria mencederakan komuniti Druze, selepas tercetusnya pertempuran maut antara pasukan yang berkaitan dengan kerajaan dan pejuang Druze di pinggir Damsyik.
Bagaimanapun, pemimpin Druze menolak amaran Katz dan tetap menegaskan kesetiaan mereka untuk bersatu dengan pihak berkuasa Syria yang baharu.
Wakil Druze telah berunding dengan pihak berkuasa baharu Syria mengenai satu perjanjian yang akan menyaksikan kumpulan bersenjata mereka diserap ke dalam tentera nasional baharu.
Rundingan itu hampir mencapai kata sepakat, tetapi tekanan Israel ke atas beberapa pihak telah menghalang perjanjian itu daripada dimuktamadkan. – The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login