Connect with us

Terkini

Bina kuil atas tanah tidak sah bertentangan prinsip dharma agama Hindu – Malaysia Hindu Sangam

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), T.Ganesan
  • Agama Hindu tidak menyokong pembinaan kuil di atas tanah yang tidak sah kerana ia bertentangan prinsip dharma yang menekankan keadilan dan ketertiban sosial.
  • Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), T.Ganesan berkata menurut tradisi Hindu juga, pembinaan kuil perlu mengikut prinsip Sthala (lokasi), Murti (patung suci), dan Agama (kitab keagamaan) yang menetapkan kuil perlu dibina di lokasi sesuai dan mendapat kelulusan sepatutnya bagi memastikan kesuciannya dan penerimaan masyarakat.
  • “Namun, memandangkan latar belakang sejarah dan realiti masyarakat Hindu di Malaysia, isu ini harus ditangani dengan penuh sensitiviti dan penyelesaian yang menghormati hak beragama serta mematuhi perundangan negara.” – Ganesan.

KUALA LUMPUR — Agama Hindu tidak menyokong pembinaan kuil di atas tanah yang tidak sah kerana ia bertentangan prinsip dharma yang menekankan keadilan dan  ketertiban sosial. 

Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), T.Ganesan berkata menurut tradisi Hindu juga, pembinaan kuil perlu mengikut prinsip Sthala (lokasi), Murti (patung suci), dan Agama (kitab keagamaan) yang menetapkan kuil perlu dibina di lokasi sesuai dan mendapat kelulusan sepatutnya bagi memastikan kesuciannya dan penerimaan masyarakat. 

Ganesan berkata kitab-kitab Hindu seperti Dharmashastra (hukum agama) turut menegaskan kepentingan mematuhi undang-undang negara selagi tidak bercanggah keadilan. 

Sehubungan itu, katanya pembinaan kuil seharusnya dilakukan di atas tanah sah dengan kelulusan yang betul bagi mengelakkan sebarang konflik.

“Namun, memandangkan latar belakang sejarah dan realiti masyarakat Hindu di Malaysia, isu ini harus ditangani dengan penuh sensitiviti dan penyelesaian yang menghormati hak beragama serta mematuhi perundangan negara.

“Pembinaan kuil tanpa kelulusan sering berlaku di Malaysia disebabkan beberapa faktor sejarah, sosial, dan pentadbiran yang berkaitan kedudukan masyarakat Hindu di negara ini. 

“Sejarah menunjukkan banyak kuil Hindu telah dibina sejak zaman penjajahan British, apabila buruh India dibawa masuk untuk bekerja di ladang dan sektor perindustrian. 

“Pada waktu itu, kuil-kuil kecil didirikan berhampiran tempat kerja mereka tanpa sebarang pendaftaran rasmi… Apabila ladang-ladang ini dimajukan semula menjadi kawasan perumahan atau perindustrian, status tanah kuil tersebut menjadi tidak jelas atau dianggap sebagai pembinaan tanpa kebenaran,” kata Ganesan kepada The Merdeka Times di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang menurut agama Hindu apakah pembinaan kuil di tapak haram dibenarkan atau tidak.

Penjelasan itu diminta kepada MHS yang merupakan badan tertinggi bagi penganut Hindu berikutan kebelakangan ini negara kita kecoh dengan isu pembinaan kuil di tapak haram, misalnya seorang peguam pada Jumaat lalu ada menyatakan bahawa di Kedah sahaja, daripada 523 kuil Hindu yang dibina di negeri berkenaan, hanya 25 didirikan betul di atas tanah milik kuil sendiri, manakala baki lagi 498 kuil bukan dibina di atas tanah sendiri.

Mengulas lanjut, Ganesan berkata berbanding rumah ibadat agama lain, terdapat kes di mana permohonan untuk tapak kuil baru atau pemindahan kuil sedia ada menghadapi kesukaran dari segi birokrasi dan kekangan dasar kerajaan negeri tertentu.

Situasi itu menurut beliau menyebabkan masyarakat Hindu kadangkala terpaksa membina kuil secara tidak rasmi di kawasan yang mereka boleh akses, walaupun tanpa kelulusan sah. 

Selain itu, katanya keperluan komuniti setempat juga menjadi faktor utama mengapa pembinaan kuil tanpa kelulusan sering berlaku di Malaysia, memandangkan masyarakat Hindu sangat bergantung kepada kuil sebagai pusat ibadat dan aktiviti keagamaan.

Justeru, apabila terdapat pertambahan penduduk di sesuatu kawasan, keperluan untuk sebuah kuil meningkat, dan kadangkala ia dibina secara segera bagi memenuhi keperluan keagamaan tanpa menunggu kelulusan rasmi yang boleh mengambil masa bertahun-tahun. — The Merdeka Times

Author