Terkini
Aurad Muhammadiah wirid Al-Arqam difatwakan sesat, status pernikahan perlu disahkan pejabat agama – Mufti WP
Pernikahan pengikut Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) dengan menggunakan mas kahwin satu pusingan Aurad Muhammadiah adalah wirid Al-Arqam yang difatwakan sesat.
- Pernikahan pengikut Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) dengan menggunakan mas kahwin satu pusingan Aurad Muhammadiah adalah wirid Al-Arqam yang difatwakan sesat.
- Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah berkata status pernikahan yang menyebut satu pusingan Aurad Muhammadiah sebagai mas kahwin perlu disahkan jabatan pendaftaran perkahwinan pejabat agama.
- “Itu sudah ada fatwa di peringkat negeri-negeri dan kebangsaan yang difatwakan sesat,” katanya dipetik Harian Metro pada Rabu.
- Terdahulu, tular video klip dimuat naik Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS Malaysia) yang menunjukkan sesi akad nikah membabitkan pengikut GISBH.
- Dalam video berdurasi 53 saat itu, lafaz akad yang digunakan berbunyi: “Aku terima nikahnya (nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin 1 pusingan Aurad Muhammadiah”.
KUALA LUMPUR — Pernikahan pengikut Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) dengan menggunakan mas kahwin satu pusingan Aurad Muhammadiah adalah wirid Al-Arqam yang difatwakan sesat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah berkata status pernikahan menyebut satu pusingan Aurad Muhammadiah sebagai mas kahwin perlu disahkan jabatan pendaftaran perkahwinan pejabat agama.
Beliau berkata Aurad Muhammadiah adalah wirid diputuskan sesat oleh fatwa yang diamalkan jemaah Arqam suatu ketika dulu.
“Itu sudah ada fatwa di peringkat negeri-negeri dan kebangsaan yang difatwakan sesat,” katanya dipetik Harian Metro pada Rabu.
Terdahulu, tular video klip dimuat naik Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS Malaysia) yang menunjukkan sesi akad nikah membabitkan pengikut GISBH.
Dalam video berdurasi 53 saat itu, lafaz akad yang digunakan berbunyi: “Aku terima nikahnya (nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin 1 pusingan Aurad Muhammadiah”.
Ia mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk ada netizen mempersoalkan sama ada perkahwinan dijalankan itu sah di sisi undang-undang tempatan dan syariat Islam serta apakah status anak yang dilahirkan hasil daripada perkahwinan terbabit.
Susulan itu, PUKAS menyeru Jabatan Agama Islam Negeri untuk membuat siasatan dan tindakan terhadap status perkahwinan ahli jemaah kumpulan terbabit yang secara bebas dikawal pemimpin mereka, termasuk perceraian.
Mengulas sama ada perkahwinan itu sah, Luqman berkata perkahwinan mempunyai mas kahwin yang jelas adalah sah.
“Disebut dalam akad itu bukan syarat kerana kalau tidak disebut ia akan pergi kepada mahar misil iaitu apa yang sesuai dan patut diberikan kepada pengantin perempuan.
“Bagaimanapun dalam hal ini, kita kena tengok pengesahan daripada jabatan pendaftaran perkahwinan di jabatan agama Islam dan Mahkamah Syariah,” katanya.
Beliau berkata satu siasatan yang lebih jelas perlu dilakukan berhubung kedudukan anak-anak GISBH yang menggunakan bin dan binti Abdullah.
Katanya, perlu ada pendaftaran di peringkat jabatan agama Islam yang menguruskan perkahwinan.
“Jadi ada dua lapis proses iaitu penentuan nasab oleh jabatan pendaftaran perkahwinan pejabat agama sebelum ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang akan tengok kepada sijil yang dikeluarkan,” katanya.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Global dengan menyelamatkan 402 kanak-kanak dari 20 rumah perlindungan yang mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
la bagi membantu siasatan kes sebuah syarikat yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata sebahagian besar ibu bapa kepada 392 kanak-kanak penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISBH yang diselamatkan baru-baru ini, sudah dikenal pasti.
Razarudin berkata bagaimanapun, kesemua individu masih belum tampil untuk diambil keterangan dan pihaknya juga percaya ada ibu bapa tidak mengetahui anak mereka diselamatkan dari rumah amal diserbu.
“Selain itu, ada juga ibu bapa yang tidak mengakui itu anak mereka memandangkan pihak pengurusan GISBH mendakwa mereka adalah anak yatim.
“Siasatan juga mendapati, sebahagian kanak-kanak ini di ‘bin’ kan dengan Abdullah yang mana mereka tidak mengetahui status kanak-kanak berkenaan sama ada anak mereka atau tidak,” katanya dipetik media tempatan dalam sidang media di PULAPOL Kuala Lumpur, di sini pada Selasa. — The Merdeka Times