Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Ismail Haniyeh, satu-satunya PM Palestin dipilih melalui mandat pilihan raya

Ismail Haniyeh adalah pemimpin Palestin kental yang dilahirkan di tengah-tengah hiruk-pikuk kem pelarian al-Shati yang serba kekurangan di utara Gaza.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
A.R. Khan

Published

on

Foto: Pemimpin Hamas, As-syahid Ismail Haniyeh.

Ismail Haniyeh adalah pemimpin Palestin kental yang dilahirkan di tengah-tengah hiruk-pikuk kem pelarian al-Shati yang serba kekurangan di utara Gaza.

Sebelum itu, ibu bapanya yang juga warga Palestin diusir secara paksa dari tempat asal mereka yang hari ini dikenali sebagai Ashkelon selepas penubuhan negara haram Israel pada 1948.

Haniyeh merasakan sendiri cabaran dihadapi jutaan rakyat Palestin dalam menuntut kedaulatan negaranya, tetapi masa depan dan pengaruh pemimpin Palestin itu ternyata berbeza berbanding mereka yang lain.

Haniyeh merupakan siswazah Universiti Islam Gaza lulusan 1987, tahun yang sama tercetusnya penentangan besar-besaran Palestin terhadap pendudukan rejim zionis Israel yang juga dikenali sebagai ‘Intifada pertama’.

Dalam usaha membebaskan Palestin, kumpulan Hamas diasaskan dan di kalangan ahli mudanya pada ketika itu, berdirinya Ismail Haniyeh dalam perjalanannya yang bakal dikaitkan dengan kebangkitan kumpulan pembebasan Palestin itu.

Israel memenjarakan Haniyeh beberapa kali kerana mengambil bahagian dalam protes terhadap pendudukan rejim zionis.

Selepas menjalani hukumannya yang paling lama di penjara iaitu selama tiga tahun, dia dihantar keluar ke selatan Lubnan bersama ratusan anggota Hamas.

Haniyeh kembali ke Gaza pada 1993 selepas termeterainya Perjanjian Oslo dan menjadi orang kepercayaan rapat kepada pengasas Hamas, Syaikh Ahmed Yasin.

Bersama-sama, mereka terselamat daripada cubaan pembunuhan oleh rejim Israel walaupun Syaikh Ahmed Yasin akhirnya dibunuh beberapa bulan kemudian.

Pendakian Haniyeh memimpin tampuk kepimpinan menyerlah pada 2006 ketika Hamas menyertai pilihan raya legislatif Palestin. 

Haniyeh dipilih sebagai ketua biro politik Hamas pada 2017 menggantikan Khaled Meshaal, tetapi sudah menjadi tokoh terkenal selepas menjadi Perdana Menteri Palestin pada 2006 ekoran kemenangan majoriti Hamas dalam pilihan raya Parlimen tahun itu.

Namun pengaturan perkongsian kuasa yang rapuh dengan gerakan Fatah menyebabkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas tidak lama kemudiannya berpecah dan Hamas menguasai sepenuhnya wilayah Gaza pada 2007 selepas menggulingkan penyokong setia presiden itu.

Nama beliau bagaimanapun kekal sebagai satu-satunya Perdana Menteri PA yang pernah memegang jawatan selepas memperoleh mandat dalam pilihan raya popular.

Haniyeh dikatakan mengekalkan hubungan baik dengan ketua pelbagai puak Palestin, termasuk saingan Hamas sendiri.

Selepas kematiannya, Presiden Abbas mengutuk pembunuhan itu sebagai “tindakan pengecut dan (satu situasi) serangan serius”, menggesa rakyat Palestin untuk terus bersatu menentang Israel.

Pengaruh Ismail Haniyeh dalam sejarah dan politik Palestin akan terus kekal bertahun-tahun lamanya memberi impak kepada ramai sehingga dia akan tetap menjadi simbol penentangan terhadap pendudukan dan kesukaran dihadapi penduduk Palestin. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *