Connect with us

Terkini

14 MoU/MoA ditukar antara Malaysia dan China

Sebanyak 14 memorandum persefahaman, memorandum perjanjian (MoU/MoA), protokol dan kenyataan bersama melibatkan sembilan kementerian telah ditukar antara Malaysia dan China hari ini, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Perdana Menteri China Li Qiang (kiri) & Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan).
  • 14 memorandum persefahaman, memorandum perjanjian (MoU/MoA), protokol dan kenyataan bersama melibatkan sembilan kementerian ditukar antara Malaysia dan China hari ini, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang.
  • Pertukaran dokumen itu dalam lawatan rasmi Li ke Malaysia, yang juga merupakan lawatan pertamanya ke negara ini sebagai Perdana Menteri, bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
  • Sembilan kementerian itu ialah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Kewangan; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; KDN; MOSTI; KPT; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi.
  • China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. 

PUTRAJAYA — Sebanyak 14 memorandum persefahaman, memorandum perjanjian (MoU/MoA), protokol dan kenyataan bersama melibatkan sembilan kementerian telah ditukar antara Malaysia dan China hari ini, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang.

Pertukaran dokumen itu dalam lawatan rasmi Li ke Malaysia, yang juga merupakan lawatan pertamanya ke negara ini sebagai Perdana Menteri, bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Beliau berada di sini untuk lawatan rasmi selama tiga hari mulai Selasa.

Sembilan kementerian itu ialah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI);

Kementerian Kewangan; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi.

Untuk MITI, pertukaran dokumen melibatkan dua MoU, untuk mengukuhkan kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital dan menggalakkan kerjasama pelaburan dalam pembangunan hijau.

Selain MoU tersebut, Malaysia dan China turut memeterai kitaran kedua program lima tahun Malaysia-China untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan bagi meningkatkan lagi hubungan antara industri dalam sektor-sektor yang menjadi keutamaan seperti pembuatan peringkat tinggi dan ekonomi digital.

Program itu juga akan meningkatkan kerjasama dalam bidang robotik, pembangunan usahawan, inovasi dan syarikat pemula niaga, selain penyelidikan dan pembangunan dalam pertanian dan industri utama.

Bagi Kementerian Komunikasi, dua MoU telah ditukar. MoU pertama dengan China Media Group mengenai kerjasama dalam bidang media manakala MoU kedua untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pos antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan China State Postal Bureau.

Di bawah Kementerian Kewangan, pertukaran dokumen melibatkan kenyataan bersama mengenai tetingkap tunggal kebangsaan untuk inisiatif perdagangan rentas sempadan manakala di bawah KPT, MoU adalah mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

Di bawah MOSTI, MoU mengenai program pertukaran rakyat kepada rakyat sains dan teknologi serta di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pertukaran MoU untuk bidang perumahan dan pembangunan bandar.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tertutup untuk membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Seterusnya, Anwar meraikan rakan sejawatannya itu, Li dalam majlis makan tengah hari di Seri Perdana di sini.

Li turut dijadual menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Anwar dan Li juga akan menghadiri majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak dan mengakhiri jadual mereka hari ini dengan menghadiri majlis makan malam untuk ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. Tahun lepas, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah terjalin melalui penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China pada masa itu Chou En Lai pada 31 Mei 1974. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Terkini

Kadar kesuburan Malaysia menurun secara ketara – Nancy

Kadar kesuburan jumlah (TFR) rakyat Malaysia mencatatkan penurunan ketara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
  • Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata Laporan Perangkaan Penting 2023 oleh DOSM menunjukkan TFR di Malaysia menurun daripada 2.1 orang anak pada 2010 kepada 1.6 orang anak pada 2022.
  • “Terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada penurunan TFR termasuk faktor ekonomi, cara gaya hidup yang antaranya boleh mempengaruhi keputusan pilihan umur untuk berkahwin, bilangan anak dan sebagainya.
  • “Pada masa sama, masalah ketidaksuburan turut boleh mempengaruhi kadar TFR,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia tahun 2021 dan 2022 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Masyarakat (KPWKM) di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR — Kadar kesuburan jumlah (TFR) rakyat Malaysia mencatatkan penurunan ketara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata Laporan Perangkaan Penting 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa TFR di Malaysia menurun daripada 2.1 orang anak pada 2010 kepada 1.6 orang anak pada 2022.

“Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada penurunan TFR termasuklah faktor ekonomi, cara gaya hidup yang antaranya boleh mempengaruhi keputusan pilihan umur untuk berkahwin, bilangan anak dan sebagainya.

“Pada masa yang sama, masalah ketidaksuburan turut boleh mempengaruhi kadar TFR,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia tahun 2021 dan 2022 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Masyarakat (KPWKM) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata mengikut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, beberapa negara di rantau Asia dan Pasifik seperti Jepun, Australia, Singapura, Indonesia dan Thailand turut mencatatkan kadar kesuburan yang amat rendah, iaitu berada di bawah paras penggantian.

Nancy berkata sebagai respons kepada keadaan itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk menawarkan perkhidmatan rawatan kesuburan pada kos berpatutan, menyediakan klinik merawat masalah kesuburan lelaki serta memberi insentif pengecualian cukai sehingga RM8,000 kepada pasangan yang mendapatkan rawatan kesuburan.

“LPPKN juga telah diberi mandat untuk menubuhkan Pusat Subfertiliti Negara yang dilengkapi dengan segala kemudahan rawatan kesuburan di bawah satu bumbung bagi memberi perkhidmatan kesuburan serba moden dengan kos berpatutan,” katanya.

Menurut Nancy, pihaknya bagaimanapun berpandangan keputusan mempunyai anak dan penentuan bilangan anak adalah hak tersendiri setiap pasangan.

“Terdapat pelbagai faktor mempengaruhi keputusan untuk memiliki anak, bilangan anak dan penurunan TFR. KPWKM melalui LPPKN membantu dalam membuat intervensi untuk mereka yang berhadapan dengan masalah ketidaksuburan,” katanya. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending